08 Oktober 2008

ANTARA AKAL DAN CINTA

Setelah lama tidak berkarya, akhirnya saya merajinkan diri untuk menaip sebuah artikel yang rangkanya telah disiap berbulan lepas. Diri saya berasa segan untuk bertutur mengenai perkara ini, mungkin sebab rasa tidak sesuai untuk saya perkatakan atau akibatnya pada diri saya selepas mengeluarkan artikel ini.

Satu fenomena yang tidak dapat dielakkan oleh remaja zaman kini adalah berkenaan percintaan. Saya memilih untuk menghurainya secara objektif dan kritikal tanpa dibuai-buai perasaan. Dengan harapan dapat menyedarkan pembaca daripada angau bercinta.

Ia fenomena zaman kini mungkin disebabkan zaman 2-3 generasi lalu, perkahwinan jarang didahului percintaan ataupun kalau bercinta pun tidaklah bagai nak rak seperti zaman kini. Saya akan cuba membandingkan kedua-dua zaman ini agar dapat mengupas munasabahnya perkara yang saya ingin katakan.

Isu ini jadi lebih kompleks apabila kita membawa agama Islam dalam persepsi. Saya tidak akan bercerita panjang lebar tentang pandangan Islam kerana saya percaya pembaca semua tahu, selain hanya memberi contoh seperti hubungan pertunangan dan perkahwinan yang diiktiraf, hukum bercinta, peranan wali dll.

Setelah menelaah semua perkara berkaitan, didapati perkara atau masalah utama yang harus dibincang secara panjang lebar adalah isu berkenal sebelum kahwin. Kalau tak kenal maka tak cinta maka tak kahwin. Adalah perlu untuk kita berkenalan secara mendalam yakni bercinta sebelum berkahwin. Adalah tidak masuk akal untuk seseorang itu lagi-lagilah wanita untuk berkahwin dengan bakal pasangannya tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Ini adalah naluri semula jadi manusia. Ironiknya, pada zaman dulu, perkahwinan yang dirancang oleh keluarga adalah satu kebiasaan tanpa bantahan.

Lagi-lagi zaman sekarang ini di mana kadar penceraian semakin meningkat. Ditambah lagi banyak kes menipu apabila pasangan menyamar sebagai orang kaya, anak Dato’. Adalah rasional untuk kita berhati-hati dalam memilih pasangan. Pasangan yang baik tidak cukup, seboleh-bolehnya sekufu bagi memastikan perkahwinan bahagia.

Jika diperhatikan, pada zaman percintaan berleluasa inilah kadar penceraian meningkat, sebaliknya pada zaman dahulu dimana atuk dan nenek kita ada sesetengahnya hanya bertemu muka pada hari pernikahan, penceraian adalah suatu yang sangat asing. Ada yang berpendapat tidak adil untuk dibandingkan sedemikian, ini kerana para isteri yang tidak merasa bahagia atau dizalimi pada waktu dulu terikat dengan perkahwinan dan tidak mampu untuk berdikari tatkala bercerai. Juga menjadi norma pada waktu lalu untuk berasa malu yang teramat terutama si isteri sehinggakan sanggup didera daripada bercerai.

Namun kurang enak untuk melihat anak muda kerap bertukar-tukar pasangan, meskipun setiap kali bercinta bagaikan itulah cintanya awal dan akhir. Sehinggakan selepas berkahwin pun, penceraian menjadi satu perkara yang biasa. Di saat akal mengata bahawa berkenalan itu perlu tetapi realiti menunjuk bahawa ianya tiada kesan terhadap keutuhan perkahwinan, timbul persoalan adakah perkenalan atau percintaan dapat menjamin kebahagiaan?

“Love is overrated” status YM seorang kenalan. Media banyak memainkan peranan dalam menyemaikan perasaan ingin bercinta. Percintaan digambarkan dengan indah sekali menerusi pelakon yang cantik, dialog yang romantis, plot cerita yang mendayu-dayu dan pengakhiran yang bahagia. Tetapi cerita drama atau filem ini gagal menggambarkan kehidupan realiti manusia yang sebenar. Rancangan realiti pun perlu diubah, ditambah muzik dan sebagainya supaya ianya dapat menarik penonton. Kehidupan sebenar manusia sangatlah berbeza sebagaimana bezanya perkahwinan pelakon dalam filem dan kehidupan sebenar mereka. Mungkinkah perkahwinan dan percintaan tidak mempunyai kaitan?

Jika mengambil kira perkara-perkara di atas, cinta itu sangat menipu daya. Pertama seolah-olah bercinta itu boleh dengan sesiapa sahaja setelah berkerap kali bertukar pasangan. Setelah lama bercinta dan berkahwin pun boleh berakhir dengan penceraian atas alasan tidak lagi saling mencintai, tiada jodoh lagi dll, menunjukkan cinta itu tidak kekal. Maka perkahwinan yang berlandaskan cinta juga tidak akan kekal. Bibit awal percintaan memberi ‘ecstacy’ kepada pasangan, tetapi setelah lama berkenalan ‘semangat’ tersebut luntur dan membawa mereka kembali ke dunia realiti yang mereka anggap sebagai petanda perpisahan.

Yang pasti, berkenalan semestinya tidak salah. Jika kita cuba merungkai mesej-mesej yang diselitkan Islam, di sebalik keterbatasan yang diajar agama kita, kita dapati perkenalan yang diizinkan berupa sederhana. Ianya lebih kepada perkenalan menggunakan akal dan bukan perasaan. Yakni bukan buaian cinta yang menjadi penentu kesesuaian calon suami atau isteri, tetapi penilaian yang dilakukan oleh akal yang sihat. Kriteria agama yang diutamakan adalah luas, bukan sekadar agama yang dipegang tetapi termasuk juga sikap tanggungjawab, penyabar, bijaksana dan sebagainya. Ciri-ciri ini tidak mampu dinilai dengan mendahului perasaan yakni cinta, kerana di saat dilamun cinta, semua sifat pasangan diagungkan, dan pasangan juga secara tidak sedar, tidak menunjuk sifatnya yang sebenar. Senang kata akal tidak mampu menilai dengan tajam di saat perasaan dilamun cinta. Di saat membuat keputusan memilih pasangan seumur hidup, adakah kita mampu untuk lalai? Ini dibuktikan lagi dengan peranan yang diberikan kepada bapa sebagai wali untuk menolak calon pasangan atas pertimbangan yang wajar. Wali sebagai orang ketiga mampu menilai dengan tajam tanpa dipengaruhi oleh mainan perasaan cinta, sepertimana hakim sebagai orang ketiga berupaya mengadili pertelingkahan.

Manusia juga perlu dibawa kembali ke alam perkahwinan realiti. Kita harus akur bahawa keindahan perkahwinan yang tertanam di fikiran kita tidak selari dengan suasana sebenar. Kerana apabila harapan kita terlalu tinggi, perkahwinan kita tidak mencapai ‘jalan cerita’ yang diidamkan, pasangan akan kecewa dan mudah memilih jalan keluar. Bukan ingin memadam cita-cita memiliki perkahwinan yang bahagia, tetapi bagaimana yang ditakrifkan sebagai bahagia. Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Rasulullah sendiri menggalakkan perkahwinan atas dasar suka sama suka tetapi perasaan suka patut disandarkan pada agama dan bukan cinta. Cinta itu hanyalah puncak kasih sayang, tetapi kasih sayanglah yang sebenarnya membahagiakan.




Oleh: Ninja Kura-Kura
PS: Selamat Hari Raya