06 November 2010

KOSONG JIWA


Kosong jiwa,
Kosong kerana dosa,
Senak dada,
Sesuatu tidak kena.


Salah diri,
Serba tidak kena,
Ulangi lagi,
Nak salahkan siapa?


Angkat diri sendiri,
Jangan pernah putus asa,
Diri tanggungjawab sendiri,
Bergerak menuju ke syurga.

15 September 2010

SUNYI

Lesu,
Dan terus lesu,
Kugiran gitar hanya,
Sikit membantu.

Sunyi,
Di bilik ini,
Di luar tingkap,
Berpegang tangan,
Suami dan isteri.


Sayu,
Tetap sayu,
Malu,
Dengan perbuatan sendiri.

Sampai bila harus begini,
Kan ku terus cari jalan-Mu Ilahi.

24 Jun 2010

TRILOGI ANJAKAN MINDA: EPISOD 3: UNDANG-UNDANG BARBARIK

Salam,
Graviti isu

Ada satu bidang yang menjadi ‘taboo’ untuk dibincangkan secara terbuka, kerana ia antara isu yang sukar untuk dihuraikan oleh umat Islam. Ianya ialah sistem perundangan Islam.

Kalau ISA dilabelkan ‘draconian’ di Malaysia, di barat undang-undang Islam dilabelkan sebagai undang-undang barbarik. Hukuman memotong tangan, rejam antaranya,bunuh untuk bunuh bertentangan dengan munasabah minda tamadun manusia kini.

Namun satu perkara penting kita perlu sedar, undang-undang sedemikian pernah diterima pada zaman dahulu di tamadun lain.

Nilai yang dipegang

Satu perkara yang fundamental di dalam isu ini adalah nilai moral yang dipegang oleh manusia. Timbul persoalan adakah nilai moral itu sesuatu yang relatif? Kerana jika ia sesuatu yang relatif mengikut keadaan dan masa, maka ini menjadi batu penghalang utama dalam penerimaan undang-undang Islam. Kerana menjadi ciri utamanya sesuai sepanjang zaman.

Di zaman samurai Jepun dahulu kala, maruah menjadi nilai agung bagi mereka, sehinggakan ‘harakiri’(bunuh diri) demi menjaga maruah dianggap perbuatan yang mulia. Nilai malu mendapat tempat yang tinggi di dalam budaya Melayu, sehinggakan mereka sanggup ditindas dalam banyak perkara.

Maka di zaman ini yang berpegang teguh kepada nilai hak asasi manusia, undang-undang Islam pasti kelihatan barbarik. Zina dianggap jijik oleh Islam, tetapi satu kebiasaan di barat. Hatta pasti berlaku pertelingkahan dalam falsafah perundangan apabila nilai yang dipegang bertentangan.

Semangat Islam

Bagaimanapun pada pihak umat Islam juga terdapat kecelaruan kerana gagal memahami semangat Islam. Golongan literalist hanya mengikut ajaran setiap ayat al-Quran tanpa berfikir dengan meluas. Mereka tidak faham akan ‘semangat Islam’ yakni apa yang cuba dicapai di dalam setiap ajaran-Nya.

Dengan memahami semangat Islam, kita tahu mengapa Rasulullah saw melarang Saidina Ali ra berkahwin dua, menangguh-nangguhkan hukuman rejam seorang wanita penzina yang mengandung.

Elemen/unsur undang-undang Islam

Undang-undang perlu dilihat semula daripada pandangan atas. Mengapakah kita memerlukan undang-undang? Majoriti akan mengatakan bahawa ianya untuk menghukum pesalah.

Satu elemen asas dalam undang-undang Islam, namun semakin pudar dalam undang-undang konvensional adalah elemen pencegahan. Undang-undang bukan sekadar menghukum tetapi juga, malah lebih penting, sebagai pencegah kepada jenayah. Kita lebih mahu hidup dalam suasana yang tiada jenayah, di mana kita tidak berasa takut untuk keluar rumah, tidak risau tentang anak-anak tanpa pemerhatian. Bukan sekadar penjenayah dihukum.

Maka disebabkan itu hukuman hudud dan qisas mengenakan hukuman yang amat ‘kejam’ terhadap perbuatan-perbuatan yang dianggap musuh terhadap sistem sosial masyarakat. Kerana ia menimbulkan rasa gerun pada manusia supaya mengelak daripada melakukan jenayah. Di sini keberkesanan undang-undang dirasai tanpa perlu melaksanakannya. Cuba bandingkan dengan undang-undang negara kita terhadap penjualan VCD ciplak.

‘Di khalayak ramai’

Satu lagi ciri perundangan Islam adalah ianya dilaksanakan di khalayak ramai. Sekali lagi ini perbuatan yang tidak bertamadun. Mengapakah kita perlu memalukan pesalah sedemikian sekali?

Kita selalu melihat di pameran kereta antarabangsa, seorang wanita cantik berpakaian ketat dan seksi(saya suka) dipamerkan bersebelahan kereta yang cuba dikomersilkan. Mereka menggunakan konsep conditioning’ Pavlov(spt eksperimen anjing dan air liur tu). Dalam klasifikasi ‘mind controlling’, ini terletak di bawah kategori ‘behavior control’. Di mana minda akan mengaitkan rasa ‘ghairah’ terhadap wanita tersebut dengan perasaan kita terhadap kereta tersebut.

Sains kognitif juga mendapati dalam kajian terkini, bahawa otak manusia memiliki satu struktur yang dipanggil mirror neurons’ yang membuatkan minda kita mencipta semula perasaan yang dialami seseorang dengan hanya melihatnya, sehinggakan seolah-olah kita merasainya sendiri.

Dengan menghukum di khalayak ramai, ianya mengaitkan perasaan gerun terhadap hukuman yang dilaksanakan dengan jenayah yang telah dilakukan pesalah di dalam minda pemerhati(conditioning). Mirror neurons juga mampu menghidupkan perasaan penyesalan yang dirasai pesalah apabila saksi melihatnya. Adakah ini mampu mengajar individu dan masyarakat supaya takut melakukan jenayah?

Sekali lagi, elemen pencegahan undang-undang Islam juga dapat dilihat pada waktu hukuman dilaksanakan.

‘Prerequisite’

Perlaksaan undang-undang Islam juga perlu diperhalusi dengan jelas sebelum kita boleh menilainya dengan betul. Begitu juga dengan apa-apa isu. Syarat-syarat yang diperkenakan sebelum hukuman boleh dilaksanakan, dengan rasional yang mudah menunjukkan bahawa ianya bukan sekadar menghukum dan menghukum. Sebaliknya ianya mempunyai hikmah yang tinggi.

Dengan menerap semangat Islam, memahami dengan terperinci undang-undang Islam, penggunaan akal yang rasional dan kritikal, ianya mampu membawa pemikir ke tahap logik baru, yakni seperti yang saya telah perjelaskan sebelum ini , ke ‘pesisir akal manusia’. Hanyalah jika kita berfikir.

Jadi selepas ini, jika ada insan bertanya berkenaan undang-undang Islam, jangan sekadar mengulangi kata ustaz-ustaz pondok, ini undang-undang Allah dan Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Gunakanlah akal kita untuk memperhalusi ajaran Islam. Banyak lagi yang akan kita nampak.

Kita gelakkan mereka yang berkata “Bukan semua ajaran Islam itu boleh difahami akal.” Padahal merekalah golongan yang malas berfikir.

Salam

01 Jun 2010

BAITULMAQDIS BUKAN MILIK KITA

Baitulmaqdis bukan milik kita,
Itulah hakikatnya,
Lima ratus tahun berlalu,
Barulah Salahuddin datang mengubah sejarah,
Itulah hakikatnya,
Darah Palestin ditoreh-toreh,
Hamas dan Fatah sempat bermusuhan,
Itulah hakikatnya,
Dunia Islam memekik melolong,
Tangan tetap di dalam kocek,
Itulah hakikatnya.

Baitulmaqdis kini bukan milik kita,
Itulah hakikatnya,
Supaya kita sedar,
Bukan sekadar melaung hak dan sejarah,
Hanya meraung bagaikan dicuri peragut,
Terasa rugi setelah terlepas dari genggaman,
Sebaliknya berjuang dengan persis,
Dengki dengan kekuatan musuh,
Benci dengan keadaan diri,
Berkemahuan membuak-buak merampas Baitulmaqdis,
Daripada pemiliknya kini,
Itulah hakikat yang sepatutnya.

Baitulmaqdis bukan milik kita,
Bukan kini,
Bukan dalam masa terdekat,
Kerana Baitulmaqdis menjual mahal,
Mahu pengetuk pintu kotanya,
Generasi fisabilillah,
Yang kaya dengan ilmu,
Gagah dengan kekuatan,
Bersemangat keIslaman yang tulen,
Yang menguasai zaman,
Yang bersatu padu,
Yang digentari ramai,
Itu bukan kita!

22 Mei 2010

TRILOGI ANJAKAN MINDA: EPISOD 2: LELAKI YANG SUPERIOR, PEREMPUAN YANG INFERIOR

Salam,

Menongkah Arus

Sigmund Freud ada melontarkan kenyataan yang menarik berkenaan wanita. Mengikut struktur model beliau berkenaan psyche(Id, ego dan super-ego), beliau mengatakan wanita membentuk super-ego yang lemah disebabkan mereka tidak memiliki penis(hahaha). Tanpa penis, mereka tidak mampu membentuk castration complex, yang penting dalam membentuk super-ego. Dengan super-ego yang lemah, mereka kurang mampu bersifat kritikal, mengawal diri dan menjunjung nilai moral. `

Dalam dunia sekarang, kenyataan sedemikian akan dicemuh sebagai sexist. Di mana minda kita sudah tertanam dengan dogma dan stigma, contohnya dalam kes ini, kesamarataan lelaki dan perempuan. Namun seperti biasa, saya peduli apa. Maka kali ini saya ingin mengajak pembaca mengembara idea yang mengatakan lelaki lebih superior daripada perempuan(wanita).

Acuan terkini

Sebelum itu, penting untuk kita eksplorasi tentang dogmatisma. Dogma – sesuatu konsep yang dianggap benar dan tidak perlu dipersoalkan. Contohnya demokrasi ciptaan barat yang diagung-agungkan semua. Sehinggakan ada sarjana Islam cuba menyatakan bahawa demokrasi turut disemai semasa zaman Nabi Muhammad dahulu lagi. Begitulah taksubnya kita dengan demokrasi.

Dogma ada tempatnya, namun dari semasa ke semasa ia perlu dilawati dan diselidiki semula.

Wahyu bagaikan kejutan elektrik

Surah An-Nisaa’ 4:34

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,.....

Daripada ayat di atas, jelas Allah mengatakan bahawa lelaki telah diberikan kelebihan berbanding wanita dari segi kebolehan, kedudukan dan juga tanggungjawab. Malah perempuan disuruh taat pada suaminya. Malah seorang lelaki boleh beristeri empat namun tidak pula sebaliknya, malah lelaki diberi hak lebih dalam mewarisi harta dan sebagainya.

Namun ini bertentangan dengan logik akal yang mengatakan ini suatu yang tidak adil, diskriminasi dan penindasan terhadap wanita. Maka semestinya Islam itu tidak adil.

Hypothesis

Apa kata kita membuat hypothesis atau anjuran bahawa lelaki itu memang superior daripada wanita. Sekadar hypothesis, bahawa di dalam sistem alam semulajadi ini, lelaki diciptakan lebih superior daripada wanita. Maka ia akan diiringi dengan hak dan tanggungjawab yang lebih memihak kepada lelaki.

Kemudian kita menidak kelebihan(hak) mereka, kita samaratakan hak dengan wanita akibat daripada dogma yang kita peluk kini. Mungkinkah ini dikira sebagai pencabulan hak lelaki, penindasan terhadap mereka? Adakah ini akan mengubah corak hubungan antara lelaki dan wanita, suami dan isteri, ibu dan anak dan sebagainya? Dan jika kita melihat pada skop yang lebih besar, adakah ini akan mengacau struktur rumah tangga hingga ke peringkat masyarakat?

Ianya pasti akan memberi kesan, namun kesan yang bagaimana? Perlukah lagi lelaki mempunyai intuisi melindung wanita, menolong dan melayan dengan lemah lembut terhadap mereka? Patutkah lelaki berbelas kasihan apabila melihat seorang wanita menangis, atau patut dia melihat mereka sebagai seorang lelaki(samarata) yang menangis? Mungkinkah disebabkan itu, kini lelaki sudah tidak memainkan lagi peranan sebagai pelindung kepada kaum wanita?

Penggantian

Jika di dalam hypothesis tersebut, anda bersetuju dengan kenyataan di atas, maka kita berbalik ke persoalan pangkal. Adakah lelaki dan wanita itu sama dan patut dilayan dengan sama? Lelaki dan perempuan sangat jelas perbezaannya dari segi fizikal, fisiologi, pemikiran, sifat, kecenderungan dan sebagainya.

Namun persoalan superior-inferior ini membawa perasaan yang tidak selesa kepada wanita moden. Jadi mungkin lebih 'politically correct' menggunakan perkataan ‘berbeza’ dalam mencirikan hubungan antara lelaki dan wanita(bukan superior-inferior), dan menggantikan kesamarataan dengan ‘keadilan’ yang mengikut definisi sarjana Islam – meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adakah lelaki dan wanita itu berbeza? Ya, jawapan akal yang waras.

Indah khabar daripada rupa

Peralihan kepada hubungan yang disyorkan oleh Islam tidak semudah yang dipandang. Kelebihan dan hak pada lelaki bukan mutlak tanpa dipersoal, dan juga datang dengan pakejnya seperti bertanggungjawab membelanjakan nafkah pada isteri, membuka pintu kereta untuk isteri(haha), mengorbankan tubuhnya menepis peluru(hahaha) dan sebagainya.

Adakah hubungan sedemikian akan menyelesaikan masalah sosial yang melanda kita? Buang bayi luar nikah, suami yang mendera isteri, tidak menunaikan nafkah dan sebagainya. Tidak sepenuhnya, kerana ianya bergantung pada lelaki untuk faham akan hak dan tanggungjawabnya. Seperti kuasa yang diberi pada pemerintah, begitulah jua pada lelaki, adakah mereka akan menggunakannya dengan saksama.

Anjakan minda

Begitulah konsep yang menggegar minda manusia, apabila logik minda kita dilonjak ke tahap ‘pesisir minda manusia’ yang hanya mampu dicapai dengan merenungi ayat al-Quran. Apabila sesetengah sarjana Islam dan pendukung Islam liberal cuba mempertahankan bahawa Islam melayan lelaki dan perempuan secara sama rata, al-Quran membawa pemikir kepada hakikat lelaki dan wanita itu, yang mungkin akhirnya membawa kita kepada penyelesai masalah ketamadunan manusia. 'Quantum leap' minda inilah yang membuktikan al-Quran sebagai satu mukjizat. Jadi di sinilah tercetusnya idea bahawa dogma yang kita junjungi tidaklah seindah kata.

Terserah pada Allah swt.
Yeehhaaa lelaki lagi superior!!
Salam

20 Mei 2010

SAJAK UNTUK UMMU

Ummu,
Hadirmu mengubah persepsi,
Apa itu cantik,
Bukan sekadar retorik,
Malah hakikatnya,
Tidak perlu menggedik-gedik,
Tidak perlu bertentangan mata,
Tiada apa perlu ditonjol,
Hanya kesopanan dan kewanitaan.

Ummu,
Mungkinkah kau wanita melayu terakhir,
Berbaju kurung,
Merah jambu bertukar putih,
Dipadankan selipar warnanya,
Malu tetapi berkeyakinan diri,
Petah bertutur,
Lembut pergerakan,
Mungkinkah?

Pabila kau menghidangkan aku,
Ku terasa,
Akulah lelaki terpenting di dunia,
Dibelai perhatian dan kelembutan,
Buat ku,
Hilang segala tekanan,
Begitu sahaja,
Lalu ku beranikan diri,
Siapa nama?
Kau jawab "Ummu".