08 Mac 2009

PALESTIN DAN PERJUANGANNYA

Artikel ini ditulis sebagai tindakbalas terhadap permintaan seseorang supaya setiap umat Islam memperjuangkan isu Palestin berdasarkan keupayaannya.

Apa yang saya akan tuliskan di sini, lebih bersifat realis dan pragmatik. Isu Palestin-Israel ini telah berlanjutan berdekad-dekad tanpa kelihatan tamat di hujung terowong. Pelbagai langkah telah diambil daripada perang hingga diplomasi, berbagai nasihat telah diseru daripada bersatu hingga bersabar, namun ianya tiada penghujung. Yang jelas pihak Palestin pastinya di pihak yang kalah atau kerugian pada tahap sekarang.

Realis dan pragmatik, ini adalah dua sifat yang ketandusan dalam akal muslim di seluruh dunia. Bukannya dalam isu Palestin sahaja, malah dalam banyak perkara lagi. Muslim kini adalah jenis idealis dan jika kita ingin mengubah nasib kita, maka carilah titik pertengahan antara dua sifat kontra ini.

Seorang realis perlu peka dan peluk dunia realiti. Umat Islam kini sangat lemah dan tidak berusaha untuk berubah. Yang paling tinggi tahap buta huruf, kemiskinan, kekacauan, kemunduran dan ketidaktamadunan adalah kita. Negara hegemoni seperti Amerika begitu mudah memperkotak-katikkan kita. Perang di Afghanistan dan Iraq hanya mampu kita lihat dari jauh. Pakistan, Arab Saudi dan Mesir adalah antara negara ‘allie’ Amerika. Untuk menggambar pecah-belahnya umat Islam, antara tahun 2006-07 di Palestin, Hamas dan Fatah berbunuhan sesama sendiri tatkala Israel lihat pelik dari dekat. Benarkah mereka ini pejuang Islam?

Berbanding umat Islam yang berjumlah satu billion, Yahudi Israel hanya merangkumi komuniti yang kecil namun memiliki negara Israel yang diiktiraf negara Barat. Manakala Palestin masih terkapai-kapai mengharap bantuan dan sokongan luar dalam perjuangannya. Tidak takutkah Israel apabila negaranya terletak di tengah-tengah negara-negara Arab? Tidak risaukah mereka mana-mana negara yang mengelilinginya akan bertindak balas? Menurut kitab Torah mereka, tanah Jerusalem telah dijanjikan oleh Tuhan untuk mereka sebagai ganjaran. Dan suatu hari nanti mereka akan pulang ke Jerusalem. Itu yang digunakan sebagai justifikasi oleh Zionis keagamaan mereka(Religious Zionism).

Bermula dengan Deklarasi Balfour 1917, kemudian kekejaman Nazi terhadap Yahudi semasa Perang Dunia ke-2, akhirnya orang-orang Yahudi telah dibawa ke tanah Palestin dengan dibantui sokongan daripada Amerika dan Britain pada masa itu. Ikhwanul Muslimin yang berpaksi di Mesir telah mengambil langkah drastik untuk menghadapi ancaman tersebut. Pemimpin-pemimpin muslim telah dijemput daripada seluruh pelusuk Arab untuk bertemu dan berbincang mengenai tindakan tindakbalas terhadap apa yang berlaku. Pastinya Barat degil dan bertindak menyokong dari segi ketenteraan. Hasan al-Bana, pemimpin IM yang disegani, membuat keputusan bahawa tentangan mesti diteruskan dalam bentuk peperangan. Beliau telah menghantar pemuda-pemuda Islam ke Palestin untuk berperang bagi mempertahankan hak umat Islam terhadap bumi Palestin. Mesir dan Jordan turut tidak terkecuali. Namun pihak Islam mengalami kekalahan berturut-turut, malah sebahagian kawasan Jordan dan Mesir ditakluki Israel. Pemimpin Mesir dan Jordan akibat jatuh pada tekanan, telah mengikat perjanjian perdamaian dengan Israel. Ini adalah satu tamparan yang besar untuk umat Islam malah menganggapnya sebagai tindakan khianat. Sejak itu, situasi politik di Palestin telah berubah.

Ini titik penting yang perlu disedari oleh dunia Islam. Situasi telah berubah menyebabkan cara perjuangan kita perlu berubah. Dalam buku Japan Rising tulisan Kenneth B. Pyle, beliau mengungkap tentang satu sifat unik Jepun iaitu kebolehan mereka untuk berubah secara besar-besaran untuk mengadaptasikan diri mereka terhadap perubahan sekeliling mereka. Mereka memanggilnya sebagai sekai no taisei (trends of the world), jisei (trends of the time), shizen no ikioi (natural forces) atau hitsuzen no ikioi (inexorable forces). Sikap sedemikianlah yang membenarkan mereka bangkit daripada pemerintahan feudal Tokugawa dengan Kebangkitan Meiji kepada salah satu kuasa tentera terbesar di Asia. Begitu juga daripada kemusnahan Perang Dunia ke-2, kepada kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. Perubahan masa, budaya, pemikiran, teknologi, paksi kuasa dunia, ideologi dan peristiwa dunia akan menuntut supaya manusia berubah jikalau mereka mahu kekal relevan.

Maka kekalahan perang pada pertengahan abad ke-20, perjanjian damai Mesir dan Jordan dengan Israel, pengiktirafan Israel sebagai sebuah negara oleh PBB, sokongan kuasa besar Amerika Syarikat dan Britain, sentimen anti-Islam yang dibawa oleh terrorisma, perpecahan di kalangan umat Islam dan banyak lagi, memerlukan pejuang Palestin untuk mengubah strategi bagi memenangi balik tanah Palestin. Namun kejahilan umat Islam menghalang mereka daripada melihat dengan jelas apa yang sedang berlaku. Mereka tidak nampak bahawa strategi mereka kini tidak mampu untuk mengembalikan semula hak mereka.

Perubahan yang perlu dilakukan kini adalah untuk menjadikan sekai no taisei (hala tuju dunia) menyebelahi pihak kita. Maksudnya bukan supaya kita mengubah hala tuju dunia (sesuatu yang di luar kawalan), sebaliknya menjadikan sentimen norma kini sebagai kelebihan dalam strategi kita. Ini akan diulas dengan panjang lebar dalam artikel saya yang seterusnya.

Untuk menunjukkan bagaimana strategi kita kini tidak lagi relevan, kita perhati isu yang berlaku. Hamas kini yang terhimpit di sektor Gaza, telah melancarkan roket ke kawasan diduduki Israel sebagai lambang penentangan (an act of resistance) pada Disember 2008. Walaupun telah menandatangani gencatan senjata bersama Israel sebelum ini, namun pemblokan ekonomi sektor Gaza yang dijanji akan dihapuskan sebagai salah satu syarat perjanjian tidak berlaku. Ini meletakkan Gaza dalam keadaan kesempitan makanan, barang asas dll. Israel mengatakan bahawa penghapusan blok ekonomi sepenuhnya tidak boleh dilakukan memandangkan ianya akan membolehkan Hamas membawa masuk senjata dengan mudah. Akibatnya, sebaik sahaja tamat tempoh perjanjian gencatan senjata dan sambungannya tidak dapat dipersetujui, Hamas telah melancarkan roket ke arah Israel. Roket tersebut telah dilancarkan ke sekitar kawasan pendudukan Israel tanpa mengenai infrastruktur penting. Apa yang dilaporkan, sekitar kawasan perumahan telah menjadi sasaran dan anak kecil yang takut telah lari pulang ke rumah menceritakan apa yang berlaku.

Sila tanya diri anda apa yang berjaya dicapai dengan tindakan tersebut? Hamas akan berkata ianya lambang penentangan. Jikalau roket tidak dilancarkan pun, seluruh dunia sudah tahu bahawa rakyat Palestin tidak mengiktiraf dan menentang Israel, sebahagian besar penduduk dunia tahu Israel telah merampas tanah Palestin secara tidak sah. Disebabkan lambang penentangan yang tidak memberi manfaat sedikit pun pada penduduk Palestin ini, Israel bagaikan mengharap-harap, menjangkakan kebodohan umat Islam ini, mengambil kesempatan menjadikan serangan ini sebagai alasan sah untuk menyerang Gaza. Hak untuk mempertahankan diri (the right to self-defense) dibangkitkan. Bukan sahaja serangan yang dilancarkan tidak menggambarkan niat tersebut, malah ianya lebih bertujuan untuk memusnahkan Gaza dan melemahkan rakyat Palestin. Beratus-ratus telah terkorban dan berjuta-juta nilai infrastruktur, rumah telah dimusnah. Israel telah berjaya ‘melemahkan semula’ Palestin, tetapi selepas pengunduran Israel, masih ada sebilangan ahli Hamas ‘meraikan’ kegagalan Israel untuk memusnahkan mereka. “Israel telah gagal!” sahut mereka. Inilah kejahilan yang melampau.

Israel mahu Hamas melancar roket ke arah mereka. Bukannya senantiasa kerana mereka juga tidak mahu hidup dalam ketakutan, tetapi supaya sekali-sekala, mereka mempunyai alasan sah (legitimate basis) untuk melemahkan semula Palestin dan juga supaya dunia memberi simpati kepada mereka. Bukan setakat itu sahaja, Israel dan sekutunya mahu melihat Palestin berpecah. Untuk memastikan perkara ini berlaku, Amerika Syarikat, Britain, Israel dan EU hanya berurusan dengan PLO (Palestine Liberation Organization) yang diterajui Fatah. Situasi sedemikian akan mengundang konflik dalaman antara Fatah dan Hamas. Hamas yang secara sahnya memenangi pilihanraya Palestin pastinya kecewa apabila suara mereka tidak didengar. Negara barat menjadikan alasan, tidak akan sesekali berunding dengan organisasi pelampau (terrorist organization), sedikit sebanyak terima kasih pada ‘act of resistance’ Hamas. Bukan sahaja tiada sinergi dalam perjuangan di kalangan rakyat Palestin, malah mereka sanggup berperang sesama mereka. Kita dapat lihat norma pemikiran seperti hak mempertahankan diri, hak sesebuah negara, tiada rundingan dengan pelampau dll inilah yang mencorak sentimen politik kini. Inilah antara perkara yang saya maksudkan dengan sekai no taisei. Kita dapat lihat bagaimana kuasa Barat dan Israel menggunakannya sebagai kelebihan bagi mereka. Begitulah jua sepatutnya kita.

Perubahan yang perlu berlaku tidak terhad pada Palestin, tetapi faktor penting juga terletak pada Liga Arab. Di saat Palestin ‘dibelasah’ 3 bulan lepas, Mesir degil menutup sempadan, Jordan jiran di sebelah timur tunduk kepala seolah-olah tidak nampak manakala Arab Saudi rumah kepada bumi Makkah seperti biasa menghentam tindakan Zionis dan kemudian mengesyorkan ‘mesyuarat tergempar’ berhubung krisis di Gaza. Namun tiada tindakan pragmatik diambil, malah Kuwait dan Qatar berbeza pendapat siapa yang patut menjadi tuan rumah mesyuarat sehinggakan dua mesyuarat bersidang pada waktu yang sama, dengan wakil-wakil negara Arab serta wakil Hamas dan Fatah tidak dapat hadir pada kedua-dua mesyuarat. Hasilnya hanyalah peruntukan dana berbillion ringgit untuk membina semula Gaza.

Bukannya memperlekehkan cara perjuangan Hassan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin dalam isu Palestin, tetapi seperti yang saya katakan, perubahan masa dan halatuju dunia, memerlukan perubahan cara kita. Namun pemimpin Palestin dan sentimen rakyatnya sukar untuk menerima ‘kesusahan atau kekalahan’ awal. Ianya seolah-olah menidakkan pengorbanan pejuang-pejuang mereka sebelumnya. Seolah-olah syahid mereka sia-sia. Saya percaya jikalau Hassan al-Banna hidup di waktu ini, beliau pasti akan merubah strategi perjuangan. Jikalau saya hidup di waktu beliau, saya pasti akan menyokong perjuangan melalui peperangan atau angkatan senjata bertubi-tubi.

InsyaAllah jika berkesempatan, saya akan menulis strategi baru yang mampu mengembalikan Baitulmaqdis ke tangan umat Islam. Namun ia memerlukan perubahan mentaliti yang radikal, seperti mana radikalnya pemerintah Jepun dan rakyatnya menerima budaya barat secara total sewaktu Kebangkitan Meiji satu ketika dahulu. Ini semua untuk memastikan objektif tercapai.



Oleh: Azzad bin Hamzah

28 Disember 2008

MEMBACA

Surah 96: Al-Alaq, Ayat 1-5
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)

Ayat al-Quran di atas kerap diulas oleh para ahli agama tentang 'kedudukan' membaca dalam Islam. Namun sedih melihat apabila ianya digunakan untuk meyakinkan umat Islam dan manusia bahawa Islam 'sebenarnya' menggalakkan umatnya membaca atau menimba ilmu. Seolah-olah kalau tiada firman di atas, maka tidak perlulah kita membaca. Lagi pilu apabila melihat kejahilan dan ketinggalannya umat dalam bidang sains dan teknologi. Lagi malu menonton para ahli agama ungkit dengan rasa 'bangga' kejayaan zaman kegemilangan Islam lampau sebagai lambang bahawa Islam menitik beratkan penguasaan ilmu, tanpa inisiatif yang pragmatik untuk menyelesaikan kemunduran umat kini. Perlukah kita meyakinkan orang ramai bahawa agama kita sebenarnya menggalakkan kita membaca?

Kenyataan yang lebih tepat dan sesuai dengan zaman kita adalah, agama kita menegaskan bahawa jatuh naiknya tamadun Islam bergantung kepada 'tabiat' membaca umatnya. Ceritakan bagaimana umat Islam terdahulu membaca karya tamadun Yunani dan Rom yang menjadi batu loncatan ketamadunan Islam. Barulah tersentak pendengarnya.

Kemunculan media elektronik telah menghakis minat manusia untuk membaca. Di alam buku Assault on Reason tulisan Al Gore, bekas naib presiden Amerika, selain membincangkan kaitan 3 komponen reason-fear-faith dan kepincangan korupsi sistem politik Amerika, terdapat satu bab di mana beliau menceritakan bagaimana cara pemikiran manusia telah berubah akibat kemunculan 'media elektronik' di persada dunia. Gambaran visual dan bunyi yang dipancarkan oleh TV dan radio mampu mempengaruhi penonton dan pendengar dengan lebih berkesan berbanding media cetak.

Media elektronik juga telah menumpul ketajaman pemikiran manusia. Apa yang berlaku adalah proses rasionalisasi tentang sesuatu isu itu telah ditentukan oleh suatu pihak dan 'dibungkus' dengan visual dan bunyi yang menyokong pendirian tersebut. Akhirnya bungkusan ini hanya ditelan oleh penonton bulat-bulat. Individu-individu merasai logik dan rasionalnya pendapat tersebut, namun pencernaan tentang suatu isu itu tidak berlaku lagi-lagilah maklumat yang diberi hanyalah daripada sebelah pihak. Al Gore menjelaskan begitu terperinci hingga ke tahap anatomi dan fisiologi otak manusia, bagaimana emosi manusia mempunyai pengaruh besar terhadap pemikirannya. Sudut emosi inilah yang dimanipulasi oleh media elektronik supaya dapat menggerakkan manusia terhadap sesuatu propaganda. Contoh yang jelas adalah bagaimana media Amerika mengeksploitasikan emosi takut di kalangan rakyatnya, menggunakan imej pengganas, letupan, pembunuhan kanak-kanak supaya menjustifikasikan perang di dalam minda mereka.

Membaca berkait rapat dengan ideologi demokrasi yang berlaku seiring dengan revolusi media cetak. Demokrasi bangkit bersandarkan pada apa yang didiskripsikan oleh Al Gore sebagai 'well-informed citizenry'. Ini bermakna rakyat berhak dan bebas memperoleh maklumat. Ini penting supaya rakyat mampu menilai sesuatu itu dengan adil, selari dengan kuasa yang dipegang mereka dalam sistem demokrasi. Di sinilah terletaknya peranan membaca. Seperti yang dikatakan di atas, media cetak adalah tiang asas demokrasi. Suratkhabar, novel, buku bukan fiksyen, majalah ekonomi, sains dan teknologi dan sebagainya melalui pembacaanya melahirkan rakyat yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran untuk menilai, matang dan bertamadun.

Terdapat perbezaan antara media cetak dan media elektronik. Ketika membacalah, sebenarnya akal pemikiran kita berfungsi pada kemampuannya. Apabila membaca, otak kita mampu bersikap analitik, kritikal, munasabah, logikal, rasional terhadap perkara yang dibaca. Apa yang tidak difahami dibaca balik, dipersoal apa yang meragukan, hadam apa yang masuk akal. Proses sedemikian tidak atau kurang berlaku apabila berdepan dengan media elektronik, di mana otak lebih kepada menerima daripada memproses kerana tiada kesempatan. Al Gore menyalahkan media elektronik sebagai salah satu punca merudumnya 'semangat' demokrasi di kalangan rakyat.

Sumber bacaan mestilah neutral atau berpihak seminimum mungkin. Ianya juga biarlah hasil penulisan yang bersifat universal dan memiliki nilai intelektual yang tinggi. Bukannya Utusan, Harakah, Malaysiakini dan sebagainya. Namun orang yang banyak membaca, berfikiran waras akan mempunyai kemahiran untuk menilai apabila membaca sumber seperti disebut kerana mereka berpengetahuan dan matang pemikiran. Manakala manusia picisan yang tidak membaca, mudah terpengaruh dengan setiap berita sumber diatas. Sebab itulah ada kawan yang datang jumpa dan berkata pada saya,"Serabutlah baca isu politik di Malaysia, bila baca suratkhabar ni katanya macam ni, bila baca berita suratkhabar tu lain pulak. Pening aku. Tak tahu nak percaya mana satu." Saya kata padanya, "Kita diperbodohkan oleh ahli politik tak kisah kerajaan ke pembangkang. Mereka tahu kita bodoh, maka diorang perbodohkan kita." Saya nasihatkannya supaya banyak membaca buku ilmiah.

Kita boleh membezakan orang yang membaca dan orang yang tidak membaca. Saya jumpa contoh yang baik di laman web iluvislam.com (sila klik sini). Kalau kita lihat di bahagian komen artikel tersebut, kita dapat asingkan dua golongan tersebut. Golongan yang membaca mampu memberi pendapat yang bernas, berhujah dan menjustifikasikannya. Manakala golongan tidak membaca atau jahil pula hanya mampu mengeluarkan ayat retorik yang diajar ustaz-ustaz mereka. Saya tidak mengatakan bahawa idea mereka salah, tetapi mereka seharusnya mampu berhujah, bukan sekadar melaungkan sesuatu dan menyorok di belakang nama agama.

Kekolotan umat Islam ketara apabila sukar untuk saya mencari buku ilmiah tulisan seorang muslim. Kebanyakan buku yang ada hanyalah tertumpu pada bidang agama seperti tauhid dan ibadat. Bukannya memperlekehkan bidang tersebut, tetapi ini menggambarkan betapa terpinggirnya umat Islam dalam aliran ilmu duniawi. Ini diburukkan lagi dengan mentaliti kita yang menganggap bahawa buku potitik, ekonomi, sosial dll hanya mampu dibaca dan difahami pakar dalam bidang tersebut sahaja.

Pada zaman dahulu, sememangnya tiada pembahagian ilmu mengikut aliran secara jelas, maka para ilmuwan dahulu dilihat mampu menguasai pelbagai bidang seperti Ibn Sina dalam bidang kimia, falsafah, matematik, astronomi dan sebagainya. Walaupun kini ilmu dibahagikan dan telah berkembang dengan lebih terperinci, ini tidak sepatutnya menghalang seseorang itu untuk membaca buku dalam pelbagai bidang. Seperti mana orang ramai perlu mengetahui tentang penjagaan kesihatan, perancangan kewangan peribadi, pendidikan anak, keterampilan diri dll walaupun mereka bukan doktor, ahli ekonomi, akauntan, guru, stailis dll.

Mesej yang ingin disampaikan di dalam ayat Quran di atas adalah betapa pentingnya membaca. Di mana melaluinya, Tuhan mengajar kita mengubah nasib individu, agama, negara dan bangsa seseorang. Dengan membaca bukan sekadar ilmu pengetahuan yang akan diperolehi, tetapi yang lebih penting, adalah pemikiran atau mentaliti yang bertamadun. Pemikiran yang telah diasah dengan membaca akan mengubah sifat, sikap, tabiat dan perbuatan seseorang. Lagi-lagilah ketika ramai umat Islam tidak menunjukkan sikap bertamadun malah memburukkan lagi memalukan agama sendiri.

Maka bacalah.


Oleh: Azzad bin Hamzah

Berikut adalah buku-buku yang berada dengan saya sekarang. Sesiapa yang berminat untuk membaca, boleh datang dan pinjam:
1.Assault On Reason, Al Gore
2.In Good Faith, Zaid Ibrahim
3.Clashes of Fundamentalism,Tariq Ali
4.Towards A Competitive Malaysia:Development Challenges in the 21st century, Bakri Musa
5.The Asian Renaissance, Anwar Ibrahim
6.Japan Rising, The Resurgence of Japanese Power and Purpose, Kenneth Pyle (hampir habis dibaca)
7.The Bible, The Biography, Karen Armstrong (belum dibaca)
8.Superclass, The Global Power Elite And The World They Are Making, David Rothkopf (belum dibaca)

27 November 2008

A HISTORY OF GOD by Karen Armstrong

Dalam buku ini, antara perkara utama yang dapat diungkapkan adalah manusia telah mencuba berbagai cara dalam memenuhi nalurinya untuk ‘menjumpai’ Tuhan, mengikut aliran zaman.

Di dalam aliran ‘rationalism’, manusia cuba membuktikan kewujudan Tuhan dengan menggunakan akal. Di zaman Yunani sebelum datangnya Islam lagi, kita dapat lihat ahli falsafah mereka seperti Plato dan Aristotle yang cuba meneliti jirim. Hinggakan terkenalnya frasa yang diungkapkan Aristotle iaitu ‘the unmoved mover’ yang dikaitkan dengan Tuhan. Kemudian apabila diperincikan pengunaan logik dan rasional, terbahagi pula kepada golongan gnostik dan agnostik iaitu golongan yang mempercayai bahawa sifat Tuhan itu boleh diketahui melalui akal dan golongan yang tidak.

Ada di kalangan pemikir Islam yang melihat bahawa pengaruh rationalism Yunani ini telah merosakkan Islam di kemudian hari, kerana telah mewujudkan golongan obses kepada akal semata-mata seperti muktazilah. Di dalam buku Islam Liberal, antara penulisnya, Mohd Asri bin Zainal Abidin, telah menyalahkan pengaruh falsafah Yunani yang menjadikan perkara akidah atau tauhid sukar untuk difahami. Sedangkan akidah Islam yang sepatutnya menjadi asas setiap individu, haruslah mudah untuk difahami dan bukan hanya boleh difahami oleh ahli cerdik pandai(ahli falsafah).

Kisah Nabi Ibrahim yang menolak bulan, bintang dan matahari sebagai Tuhan adalah contoh bagaimana manusia mampu menggunakan akal untuk mengenali Tuhan. Akal yang sihat mengatakan bahawa Tuhan itu haruslah kekal. Di zaman kegemilangan Islam dulu, di saat berkembangnya aliran rationalism inilah cabang ilmu agama dan duniawi berkembang pesat sehingga menjadikan tamadun Islam ketika itu terulung di dunia.

‘Mysticism’ yang muncul selepas rationalism mendekatkan manusia dengan Tuhan melalui satu perasaan yang dihuraikan sebagai ‘transcending divine sensation.’ Dikatakan mereka yang mengamalkannya dapat merasai kehadiran Tuhan. Perasaan tenang ini mampu dirasai dengan melakukan ibadat, bacaan mantera, doa, senaman dll. Imam Ghazali dikatakan dalam buku ini, yang hampir mengalami depresi mempelajari aliran rationalism, telah beralih ke aliran mysticism.

Penulis percaya bahawa ini adalah aliran utama yang diamalkan umat Islam zaman kini. Ketahuilah bahawa perkembangan mysticism pada zaman tersebut, berlaku seiring dengan kejatuhan kegemilangan empayar Islam.

Aliran Romanticism yang kemudiannya muncul, menumpu kepada emosi manusia yakni kasih sayang, belas kasihan, simpati, memaafkan dll. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam amalan Christian Evangelical di mana ayat-ayat seperti “God loves you, he just want you to love him back”, “Jesus was crucified so that God would forgive our sins” dan lain-lain membuatkan manusia merasai kasih sayang Tuhan.

Aliran ‘Empericism’ bangkit seiring dengan renaissance barat. Perkembangan sains dan kejayaan pengindustrian menjadikan manusia percaya bahawa sesuatu itu hanya benar apabila dibuktikan dengan sains. Sains bergantung hanya pada pemerhatian dan eksperimen. Di saat ini, wujud saintis yang mengakui kewujudan Tuhan akibat daripada pemerhatian ajaiban alam melalui sains. Namun kemudiannya, bangkit saintis yang mengatakan bahawa Tuhan tidak dapat dibuktikan kewujudannya melalui sains, maka Tuhan tidak diyakini wujud. Di dalam Quran banyak menyebut firman Tuhan menyuruh manusia mengguna derianya melihat, mendengar dan merasai ciptaan Tuhan di sekelilingnya supaya mereka menjadi orang yang bertakwa.

Di sini merupakan titik genting, di mana atheism berkembang dengan pesat dan secara terbuka. Ahli falsafah yang kononnya dikatakan terhebat yang pernah wujud iaitu Nietszhe telah membuat deklarasi bahawa “God is dead.” Beliau mengatakan Tuhan adalah imaginasi yang wujud di minda manusia sewaktu berada di fasa ‘human’. Dan kini apabila manusia telah tersedar (enlightened) maka manusia yakni pada fasa ‘superhuman’ tidak perlu lagi kepada Tuhan. Maka Tuhan telah mati.

Maka aliran yang mana satu yang benar? Adakah manusia akan terus mencari Tuhan dengan caranya tersendiri? Kesemua aliran atau cara-cara di atas mampu membawa kita menghampiri Tuhan tanpa ragu-ragu. Tiada satu antara yang lain salah. Akal manusia(rationalism) mampu membuktikan kewujudan Tuhan, ketenangan hati(mysticism) membolehkan kita merasai kehadiran Tuhan, buaian emosi(romanticism) memperkenalkan kita dengan sifat Tuhan dan deria manusia(empericism) memperlihat kekuasaan Tuhan.

Namun apa yang salah adalah apabila kita hanya tertumpu kepada satu aliran atau komponen semata-mata tanpa mempeduli aliran lain. Contohnya mereka yang tertumpu pada komponen mysticism boleh dikatakan terputus daripada dunia realiti, bertindak tanpa menggunakan akal, tidak mengambil kira emosi orang lain dan tidak mampu berhujah dengan fakta. Maka wujudlah golongan ekstremis, fanatik dan terrorist yang merasai ketenangan hati dan meyakini bahawa tindakan bodoh mereka itu adalah selari dengan arahan Tuhan. Golongan liberal pula terlalu taksub dengan akal dan kemajuan sains mereka sehinggakan hati busuk mereka mampu menjustifikasikan pelacuran, peperangan, seks bebas sebagai suatu hak.

Maka apakah sudah cukup dengan menggunakan akal, hati, emosi dan deria manusia untuk mengenali Tuhan? Tidak sama sekali. Di sinilah masuknya peranan rasul, nabi dan kitab-kitab daripada Zabur hingga ke Quran untuk menceritakan suatu yang tak tercapai akal manusia, yang tak pernah dirasai hati manusia, tak tersentuh emosi manusia dan yang tak diperasan deria manusia. Maka dengan itu lengkaplah agama.

Memetik kata Karen Armstrong:

“I say that religion isn’t about believing things. It's about what you do. It’s ethical alchemy. It’s about behaving in a way that changes you, that gives you intimations of holiness and sacredness.”




Oleh: Azzad bin Hamzah

03 November 2008

KEBERGANTUNGAN DALAM PERKAHWINAN

Hubungan dalam institusi perkahwinan bukanlah sekadar bersandarkan kasih sayang atau kemuncaknya iaitu cinta. Ia sebenarnya melambangkan ‘kebergantungan’(dependence) antara seorang lelaki dan seorang wanita dalam menjalani hidup. Mungkin boleh dikatakan semakin bergantung pasangan itu antara satu sama lain, maka semakin utuhlah rumah tangga mereka. Interaksi ‘saling bergantung’ ini dapat dicungkil satu persatu dalam kehidupan seharian. Seperti artikel sebelum ini, penulis gemar membandingkan perkahwinan zaman dulu dengan zaman sekarang.

Pada zaman dulu, kebergantungan dalam perkahwinan sangat erat. Memandangkan pekerjaan zaman itu lebih berorientasikan tenaga buruh (labor-oriented), lelaki memainkan peranan dominan dalam mencari nafkah untuk keluarga manakala si isteri sebagai suri rumah. Pembahagian peranan ini adalah contoh jelas kebergantungan dimana tanpanya pasangan akan menghadapi masalah memenuhi keperluan seharian. Suami juga menjadi pelindung kepada keluarga daripada unsur bahaya. Selain sebagai tempat mendapat belaian kasih sayang dan sokongan emosi, perkahwinan juga mengizinkan pasangan memenuhi naluri semulajadinya dengan cara yang diterima norma masyarakat. Yakni memenuhi nafsu batinnya dan juga keinginan untuk memperoleh zuriat.

Perkahwinan boleh disamakan dengan hubungan simbiosis yang dapat dilihat dalam fenomena alam. Setiap makhluk yang dicipta tiada yang sempurna atau dengan kata lain berbeza, dimana masing-masing mempunyai kekurangan dan kelebihan. Simbiosis membolehkan individu(jantina) menampung kekurangan masing-masing dan yang lebih penting memperolehi sesuatu yang tidak mampu dicapai secara berseorangan. Ingin dinyatakan bahawa kebergantungan ini adalah semulajadi dan merupakan sebahagian daripada hukum alam.

Bukan hendak merendahkan status manusia sama binatang, tetapi terdapat unsur ‘main peranan’ (role playing) dalam fenomena alam. Kalau dilihat pada burung, burung jantan memainkan peranan membina sarang dan mencari makanan manakala burung betina mengeram dan menetas telur. Singa jantan yang memiliki tubuh yang kuat tetapi berat bertanggungjawab menjaga kawasannya dan hanya berfungsi apabila ada singa lain cuba menceroboh. Singa betina pula yang lebih lincah, bersusah payah memburu binatang tetapi singa jantan pula yang berhak makan dahulu. Apabila sudah puas, barulah singa betina dan anak-anaknya mampu makan. Unsur main peranan ini juga merupakan faktor kebergantungan yang penting dalam perkahwinan manusia.

Kebergantungan dalam perkahwinan menjadikan hubungan lebih erat dan kukuh kerana ia mengikat pasangan secara keperluan fizikal, mental, emosi, batin, jaminan keselamatan, zuriat dan sebagainya. Ia juga membolehkan fungsi keluarga berfungsi dengan lebih efisien dan berkesan melalui main peranan.

Namun kebergantungan yang teramat juga akan memberi masalah, yang penulis lihat hanya banyak berlaku pada makhluk berintelektual tinggi seperti manusia. Sudah menjadi persepsi masyarakat, apabila hanya suami sahaja yang bertanggungjawab mencari nafkah, si isteri terdedah kepada penderaan, penganiayaan dan penindasan. Si perempuan tidak melawan, atas rasa takut atau malu, juga atas sebab bergantung kepada suami untuk mendapat nafkah. Apabila berlaku penceraian, si isteri menjadi hilang punca kerana tidak mampu berdikari mencari wang dan harta. Maka menjadi norma zaman kini untuk wanita bekerja, atas dasar ingin lebih berdikari (independent) di bawah payung feminisma. Dalam dunia yang kadar penceraian semakin meningkat dan suami yang lari daripada memberi hak kepada isteri semasa berkahwin dan selepas penceraian, kita tidak mampu untuk menidakkan hujah tersebut.

Pada zaman kini, kemodenan dunia bukan sahaja membawa arus perubahan politik dan ekonomi. Aspek sosial masyarakat seolah-olah menjadi tong sampah, menerima segala keburukan akibat pemodenan tanpa perhatian pemimpin. Akibatnya institusi perkahwinan dan keluarga semakin longgar kerana aspek sosial tidak dilihat sebagai sesuatu yang produktif. Antara cabaran yang dihadapi adalah pergaulan bebas dan hubungan seks luar nikah. Ini telah meragut perkahwinan daripada kepentingan untuk berkahwin, dimana menjanjikan pengiktirafan dan perlindungan oleh undang-undang terhadap pasangan. Negara maju seperti Rusia, Jepun dan Singapura, menunjukkan penurunan kadar kelahiran meruncing di kalangan rakyatnya, atas alasan ketidakupayaan daripada segi kewangan. Tidak boleh dinafikan bahawa antara sebab utama adalah perubahan cara hidup golongan muda yang berorientasikan kemewahan, keseronokan, kebebasan yang dilihat disekat oleh kehidupan berkahwin dan beranak. Pelacuran yang berleluasa, malah ada yang sah di sisi undang-undang di Barat, juga menepis akan perlunya perkahwinan dan memporak-porandakan institusi keluarga.

Dengan tiadanya konsep main peranan, kurang keinginan mendapat anak, penjalinan hubungan seks secara bebas, hidup berorientasikan keseronokan semata-mata, penceraian yang semakin meningkat dan perubahan arus moden yang lain, maka ‘kebergantungan’ dalam institusi perkahwinan boleh dikatakan ketandusan. Perkahwinan yang hanya mengharapkan kepada faktor cinta sahaja pastinya rapuh dan mudah goyah. Perkahwinan memerlukan sesuatu keperluan yang mampu dilihat (tangible) dan tidak mudah berubah (immutable). Juga timbul persoalan mengapa kita perlu berkahwin jika kita begitu berdikari? Sedangkan anak luar nikah, hubungan seks bebas, penceraian sudah diterima sebagai norma masyarakat seperti di barat. Kita sudah dapat apa yang kita perlu tanpa ikatan perkahwinan.

Namun pada masa yang sama tidak dinafikan bahawa perkahwinan yang berdasarkan kasih sayang semata-mata mampu bertahan dan tidak boleh dikatakan salah. Ini adalah kerana keutuhan perkahwinan bukan sekadar bergantung kepada satu faktor iaitu struktur perkahwinan sahaja, malah sikap, personaliti pasangan, kedudukan sebelum berkahwin dan lain-lain turut memain peranan. Yang pastinya perkahwinan sedemikian memerlukan sokongan keyakinan (reassurance) yang lebih kerap atau dengan kata lain, hubungan yang lebih romantis seperti memberi bunga, meluah kata cinta dll.

Mungkin penulis akan dilihat sebagai konservatif apabila berpendapat bahawa main peranan adalah tiang utama sebuah keluarga. Sebagaimana agama lain, Islam juga menekankan akan kepentingan institusi keluarga. Malah Islam mencacak teguh prinsip main peranan ini dengan menyenaraikan peranan suami dan isteri berlandaskan al-Quran dan hadith. Suami berperanan sebagai pemimpin, pelindung, pencari nafkah manakala isteri sebagai pendukung, pendidik anak-anak dan pemegang amanah. Hubungan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dengan ‘mencipta’ kebergantungan, malah menjadikan tugas lebih efisien dan kurang konflik ego.

Sebelum diherdik golongan feminisma, penulis ingin menegaskan bahawa ini bukan bermaksud bahawa wanita tidak boleh memimpin, bekerja, menjaga diri sendiri mahupun lelaki tidak perlu mendidik anak-anak, bantu mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Sebaliknya hanya memperincikan peranan utama mereka dalam institusi keluarga. Atas perubahan yang dibawa pemodenan, di samping bekerja, wanita tetap harus menggalas tanggungjawab utama mereka iaitu pendidik utama anak-anak. Mereka perlu dominan dalam perkara ini sesuai dengan kebolehan semulajadi mereka. Dalam sesetengah keluarga, wanita berperanan merancang perbelanjaan, aktiviti keluarga tanpa mempertikaikan kepimpinan suami. Dengan cabaran persekitaran zaman kini, lelaki juga perlu memain peranan lebih dalam mendidik anak-anak, membantu kerja rumah dan sebagainya.

Golongan liberal pasti melihat isu kebergantungan dalam perkahwinan dengan sinis atas rasa prejudis. Mereka pasti melihatnya sebagai chauvinistik dan satu cara menjustifikasi penindasan terhadap wanita. Mereka lagi rela mempertahankan kebebasan seks, pelacuran yang sah di sisi undang-undang, kebebasan memilih untuk bercerai. Namun, diharap hujah-hujah di atas mampu memberi pandangan yang baru dan segar dalam melihat punca kemerosotan institusi rumah tangga.



Oleh: Ninja Kura-Kura

08 Oktober 2008

ANTARA AKAL DAN CINTA

Setelah lama tidak berkarya, akhirnya saya merajinkan diri untuk menaip sebuah artikel yang rangkanya telah disiap berbulan lepas. Diri saya berasa segan untuk bertutur mengenai perkara ini, mungkin sebab rasa tidak sesuai untuk saya perkatakan atau akibatnya pada diri saya selepas mengeluarkan artikel ini.

Satu fenomena yang tidak dapat dielakkan oleh remaja zaman kini adalah berkenaan percintaan. Saya memilih untuk menghurainya secara objektif dan kritikal tanpa dibuai-buai perasaan. Dengan harapan dapat menyedarkan pembaca daripada angau bercinta.

Ia fenomena zaman kini mungkin disebabkan zaman 2-3 generasi lalu, perkahwinan jarang didahului percintaan ataupun kalau bercinta pun tidaklah bagai nak rak seperti zaman kini. Saya akan cuba membandingkan kedua-dua zaman ini agar dapat mengupas munasabahnya perkara yang saya ingin katakan.

Isu ini jadi lebih kompleks apabila kita membawa agama Islam dalam persepsi. Saya tidak akan bercerita panjang lebar tentang pandangan Islam kerana saya percaya pembaca semua tahu, selain hanya memberi contoh seperti hubungan pertunangan dan perkahwinan yang diiktiraf, hukum bercinta, peranan wali dll.

Setelah menelaah semua perkara berkaitan, didapati perkara atau masalah utama yang harus dibincang secara panjang lebar adalah isu berkenal sebelum kahwin. Kalau tak kenal maka tak cinta maka tak kahwin. Adalah perlu untuk kita berkenalan secara mendalam yakni bercinta sebelum berkahwin. Adalah tidak masuk akal untuk seseorang itu lagi-lagilah wanita untuk berkahwin dengan bakal pasangannya tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Ini adalah naluri semula jadi manusia. Ironiknya, pada zaman dulu, perkahwinan yang dirancang oleh keluarga adalah satu kebiasaan tanpa bantahan.

Lagi-lagi zaman sekarang ini di mana kadar penceraian semakin meningkat. Ditambah lagi banyak kes menipu apabila pasangan menyamar sebagai orang kaya, anak Dato’. Adalah rasional untuk kita berhati-hati dalam memilih pasangan. Pasangan yang baik tidak cukup, seboleh-bolehnya sekufu bagi memastikan perkahwinan bahagia.

Jika diperhatikan, pada zaman percintaan berleluasa inilah kadar penceraian meningkat, sebaliknya pada zaman dahulu dimana atuk dan nenek kita ada sesetengahnya hanya bertemu muka pada hari pernikahan, penceraian adalah suatu yang sangat asing. Ada yang berpendapat tidak adil untuk dibandingkan sedemikian, ini kerana para isteri yang tidak merasa bahagia atau dizalimi pada waktu dulu terikat dengan perkahwinan dan tidak mampu untuk berdikari tatkala bercerai. Juga menjadi norma pada waktu lalu untuk berasa malu yang teramat terutama si isteri sehinggakan sanggup didera daripada bercerai.

Namun kurang enak untuk melihat anak muda kerap bertukar-tukar pasangan, meskipun setiap kali bercinta bagaikan itulah cintanya awal dan akhir. Sehinggakan selepas berkahwin pun, penceraian menjadi satu perkara yang biasa. Di saat akal mengata bahawa berkenalan itu perlu tetapi realiti menunjuk bahawa ianya tiada kesan terhadap keutuhan perkahwinan, timbul persoalan adakah perkenalan atau percintaan dapat menjamin kebahagiaan?

“Love is overrated” status YM seorang kenalan. Media banyak memainkan peranan dalam menyemaikan perasaan ingin bercinta. Percintaan digambarkan dengan indah sekali menerusi pelakon yang cantik, dialog yang romantis, plot cerita yang mendayu-dayu dan pengakhiran yang bahagia. Tetapi cerita drama atau filem ini gagal menggambarkan kehidupan realiti manusia yang sebenar. Rancangan realiti pun perlu diubah, ditambah muzik dan sebagainya supaya ianya dapat menarik penonton. Kehidupan sebenar manusia sangatlah berbeza sebagaimana bezanya perkahwinan pelakon dalam filem dan kehidupan sebenar mereka. Mungkinkah perkahwinan dan percintaan tidak mempunyai kaitan?

Jika mengambil kira perkara-perkara di atas, cinta itu sangat menipu daya. Pertama seolah-olah bercinta itu boleh dengan sesiapa sahaja setelah berkerap kali bertukar pasangan. Setelah lama bercinta dan berkahwin pun boleh berakhir dengan penceraian atas alasan tidak lagi saling mencintai, tiada jodoh lagi dll, menunjukkan cinta itu tidak kekal. Maka perkahwinan yang berlandaskan cinta juga tidak akan kekal. Bibit awal percintaan memberi ‘ecstacy’ kepada pasangan, tetapi setelah lama berkenalan ‘semangat’ tersebut luntur dan membawa mereka kembali ke dunia realiti yang mereka anggap sebagai petanda perpisahan.

Yang pasti, berkenalan semestinya tidak salah. Jika kita cuba merungkai mesej-mesej yang diselitkan Islam, di sebalik keterbatasan yang diajar agama kita, kita dapati perkenalan yang diizinkan berupa sederhana. Ianya lebih kepada perkenalan menggunakan akal dan bukan perasaan. Yakni bukan buaian cinta yang menjadi penentu kesesuaian calon suami atau isteri, tetapi penilaian yang dilakukan oleh akal yang sihat. Kriteria agama yang diutamakan adalah luas, bukan sekadar agama yang dipegang tetapi termasuk juga sikap tanggungjawab, penyabar, bijaksana dan sebagainya. Ciri-ciri ini tidak mampu dinilai dengan mendahului perasaan yakni cinta, kerana di saat dilamun cinta, semua sifat pasangan diagungkan, dan pasangan juga secara tidak sedar, tidak menunjuk sifatnya yang sebenar. Senang kata akal tidak mampu menilai dengan tajam di saat perasaan dilamun cinta. Di saat membuat keputusan memilih pasangan seumur hidup, adakah kita mampu untuk lalai? Ini dibuktikan lagi dengan peranan yang diberikan kepada bapa sebagai wali untuk menolak calon pasangan atas pertimbangan yang wajar. Wali sebagai orang ketiga mampu menilai dengan tajam tanpa dipengaruhi oleh mainan perasaan cinta, sepertimana hakim sebagai orang ketiga berupaya mengadili pertelingkahan.

Manusia juga perlu dibawa kembali ke alam perkahwinan realiti. Kita harus akur bahawa keindahan perkahwinan yang tertanam di fikiran kita tidak selari dengan suasana sebenar. Kerana apabila harapan kita terlalu tinggi, perkahwinan kita tidak mencapai ‘jalan cerita’ yang diidamkan, pasangan akan kecewa dan mudah memilih jalan keluar. Bukan ingin memadam cita-cita memiliki perkahwinan yang bahagia, tetapi bagaimana yang ditakrifkan sebagai bahagia. Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Rasulullah sendiri menggalakkan perkahwinan atas dasar suka sama suka tetapi perasaan suka patut disandarkan pada agama dan bukan cinta. Cinta itu hanyalah puncak kasih sayang, tetapi kasih sayanglah yang sebenarnya membahagiakan.




Oleh: Ninja Kura-Kura
PS: Selamat Hari Raya

03 Jun 2008

ANTARA GILA KUASA DAN PENGECUT

Timbul satu masalah yang sukar untuk difahami di dalam komuniti Islam Melayu. Betapa sukarnya untuk melantik pemimpin sehingga kadang-kadang perlu dirayu-rayu, dipujuk-pujuk barulah setuju, itupun dalam hatinya seboleh-boleh tak mahu.

Ini adalah salah satu daripada ‘penyakit’ atau dogma masyarakat Islam generasi muda. Akibat kurang tepat tafsiran akan mesej yang cuba disampaikan oleh Islam, maka lain pula jadinya. Anak-anak muda diajar sejak kecil oleh guru-guru agama, ibu bapa dan orang-orang di sekeliling mereka supaya takut untuk memegang jawatan atau tanggungjawab. Dari satu sudut, ianya nampak begitu ‘cantik’ kerana ya, jawatan adalah suatu amanah yang berat untuk dilaksanakan. Tetapi dari satu sudut yang berlainan, ia menghasilkan generasi ‘pengecut’ yang lari daripada tanggungjawab memimpin sebagai ketua.

Di dalam sesebuah masyarakat, adalah fardhu kifayah untuk tampil di kalangan mereka seseorang untuk memimpin. Maka perlu ada sekelompok yang ‘berkeinginan’ untuk menjadi pemimpin dan berusaha mempersiapkan diri ke arahnya. Sebaliknya menjadi persepsi tegar daripada pandangan kita untuk melihat mereka ini sebagai golongan yang ‘gila’ kuasa dan memiliki sifat-sifat negatif (mazmumah) menurut Islam. Kita seharusnya membezakan meminta-minta kuasa seperti yang tidak disukai oleh Rasulullah, dengan kesediaan dan kesanggupan untuk menunaikan ‘kerja’ fardhu kifayah ini.

Pastinya wujud jawap balas yang mengatakan Islam tidak pernah menyuruh umatnya lari daripada tanggungjawab, cuma kita dilarang meminta-minta, mengejar-ngejar jawatan. Seperti kata Raja Petra Kamaruddin, “Islam secara teorinya cantik, tetapi realitinya tidak. Lihatlah negara mana yang termiskin, paling tinggi kadar buta hurufnya dll.” Begitulah situasinya di sini, di mana orang akan kata sedemikian, tetapi realitinya apa yang terpacak teguh di minda kita adalah “jangan jadi pemimpin”. Kita jadi takut dengan amaran bahawa pemimpin akan disoal tanggungjawabnya di akhirat kelak, dan terikut-ikut dengan kisah para ulama lampau yang menolak jawatan itu dan ini. Kata-kata dan kisah-kisah sedemikian sepatutnya melahirkan generasi pemimpin yang memerintah dengan adil dan penuh tanggungjawab tetapi sebaliknya akibat salah cara mendidik, lahirlah generasi yang takut dengan tanggungjawab.

Golongan sedemikian mungkin membentuk hanya sebahagian kecil daripada komuniti Islam. Ini amat kontra dengan dunia politik Malaysia yang tidak pernah ketandusan orang yang sanggup memegang jawatan. Tetapi jika kita fikirkan impaknya pada jenis pemimpin yang akan mendominasi pentas kepimpinan, maka kita akan berfikir dua kali.


Lagi-lagi di dalam sistem politik demokrasi sesebuah negara. Melobi-lobi sudah menjadi suatu kebiasaan dalam proses menjadi pemimpin. Dengan cara mengamalkan politik wang, mengeluar kenyataan perkauman sebagai hero, memfitnah pesaing dll, pastinya daripada suasana budaya sedemikian akan ‘diangkat’ sebagai pemimpin, mereka yang tamak kuasa, pecah amanah dan mengamalkan rasuah. Pada waktu yang sama, apa yang sedang dilakukan oleh calon pemimpin yang memiliki kualiti Islam? Mereka hanya akan bersikap pasif dan tunggu. Disebabkan dogma yang tertanam dalam diri, ‘berkeinginan’ untuk memimpin pun sudah dipadam awal-awal, apatah lagi untuk menonjolkan diri sebagai pemimpin.

Mungkin di dalam sistem khalifah dan beraja, individu berkualiti Islam yang ideal ini, yang tidak bercita-cita mahupun menonjol diri untuk menjadi pemimpin, akan dilantik sebagai pemimpin. Itupun bergantung pada jenis raja yang bagaimana. Bagaimanapun realiti dunia kini tidak mengizinkan. Untuk menjadi calon pilihanraya perlu melobi, untuk menang dalam pilihanraya perlu berkempen. Bukankah kedua-dua perkara ini menunjukkan bahawa individu berkenaan ‘inginkan’ jawatan.

Bukan bertujuan untuk menggalakkan generasi muda bercita-cita menjadi pemimpin, tetapi mesej yang ingin disampaikan oleh Islam harus diperjelaskan. Islam ingin umatnya menjadi pemimpin yang amanah dan adil, bukan melihat tanggungjawab sebagai sesuatu yang amat berat semata-mata. Kesanggupan menawar diri dan meminta-minta jawatan harus dibezakan. Meminta-minta adalah tetap salah.

Dua perkara harus diubah iaitu persepsi diri dan masyarakat Islam terhadap kepimpinan, dan cara institusi masyarakat mendidik generasi muda.

Persepsi kita terhadap ‘berkeinginan’ terhadap jawatan harus diubah. Kesudian tidak cukup, kerana pentas kepimpinan sekarang perlukan individu bertindak proaktif bukan pasif. Oleh itu istilah ‘berkeinginan’(perlengkapkan diri + sanggup + menawar diri) digunakan. Bezanya dengan meminta-minta adalah jika tidak dapat jawatan tersebut, kita tidak akan rasa kecewa, marah mahupun dengki. Kerana ini adalah salah satu kewajiban fardhu kifayah. Maka masyarakat patut berhenti memandang serong terhadap mereka.

Jika para pendidik memahami akan apa yang cuba disampaikan oleh penulis dan berubah, insyaAllah negara kita akan dibarisi oleh pemimpin yang berpegang teguh pada nilai Islam. Kata-kata klise yang selalu berkumandang di lidah mereka harus ‘ditambah’ supaya mesej tulen Islam itu sampai ke telinga pendengarnya.

Jangan meminta-minta jawatan kerana ianya tidak disukai nabi......... tetapi hendaklah kita sentiasa memperlengkapkan diri dengan kualiti kepimpinan sejati supaya bila dipanggil kelak, kita mampu melaksanakan tanggungjawab kita dan kebajikan masyarakat terjamin.


Beban seorang pemerintah itu sungguh berat, setiap tindakannya dan amanahnya akan dipersoal di akhirat kelak............... tetapi jangan sesekali kita gusar, pemimpin itu perlu, jadikanlahnya pemangkin atau pembakar semangat untuk menjadi pemimpin yang amanah dan adil.


Jangan contohi pemimpin si ‘anu’ tu yang gila dan tamak kuasa......... berpeganglah pada tanggungjawab yang sudah ada atau setakat yang mampu, jika ditambah lagi, takut hak orang lain diabaikan.






Oleh: Azzad bin Hamzah