08 Mac 2008

Selamat Hari Wanita



Saya ingin mengucapkan selamat hari wanita kepada semua wanita yang saya kenali. Diharapkan semua wanita di dunia ini dihargai.

2 hari lepas ada seorang yang telah berikan saya satu soalan sempena hari wanita. Jawapan saya ada di post sebelum ni.

Apakah peranan wanita dalam membentuk masyarakat Islam?

Sebelum menjawab soalan di atas, wanita muslimah seharusnya memahami akan cabaran yang mereka hadapi pada masa ini kerana tidak pernah dalam sejarah ketamadunan Islam, seseorang muslimah harus bangun menghadapi cabaran sedemikian.

‘Cabaran’

Wanita Islam dinihari dilihat oleh masyarakat moden terutamanya golongan feminis sebagai mereka yang telah ditindas dan dizalimi oleh golongan lelaki, budaya dan agama mereka. Gambaran yang dijaja oleh media, wanita-wanita di Afghanistan dan Iraq yang berlitupan (hijab) seperti niqab dan burqa, cukup untuk mempengaruhi akal yang sihat dan rasional bahawa mereka ditindas. Wanita yang bagaimana sudi berpakaian sedemikian ?

Timbul persoalan di sini. Adakah mereka benar-benar dizalimi? Seorang ekstremis hanya akan menjawab bahawa ini adalah tuntutan Islam yang termaktub di dalam al-Quran. Semahu-mahunya kita ingin mempertahankan kod etika pakaian di dalam Islam, jangan sesekali kita menutup minda kita daripada menilai dengan rasional dan adil terhadap isu yang berkaitan.

Wanita dilarang menuntut ilmu di sekolah, pembunuhan mereka demi maruah (honor killing), mengahwinkan mereka demi wang oleh si bapa, penderaan mereka dll amat nyata bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara pertama yang harus diiktiraf “acknowledged” oleh umat Islam, adalah sebahagian wanita Islam di sesetengah tempat di muka bumi ini “memang” ditindas, dan yang paling hina adalah bahawa tindakan sedemikian dilakukan atas hujah-hujah al-Quran yang diputarbelitkan.

Penjualan anak untuk dikahwinkan adalah khianat terhadap tanggungjawab si bapa untuk mencarikan calon yang sekufu untuk anaknya. Penderaan isteri adalah khianat terhadap kebenaran yang diberikan untuk 'memukul' si isteri setelah dinasihati. Satu kecelakaan apabila “honour killing” dikaitkan dengan sekeping ayat al-Quran. Umat Islam tidak patut berdolak-dalik dan takut untuk menentang kesalahan yang berlaku dalam masyarakat mereka, yang berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.

Laungan feminism pada zaman kita, memerlukan wanita Islam itu sendiri menentang diskriminasi terhadap mereka dan pada masa yang sama bersuara memperbetulkan tanggapan yang salah Barat terhadap wanita Islam. Kerna lemahnya muslimah zaman kini, kita dapat lihat feminism dipelopori dan diterajui oleh mereka tidak miliki jati Islam dalam diri.

Lihat saja contoh seperti Sisters in Islam. Tolaklah tanggapan sebagaimanapun, tetapi hakikatnya merekalah yang telah membantu wanita Islam yang didiskriminasi. Janda-janda yang beranak, yang bekas suaminya tidak membayar nafkah ketika edah, nafkah untuk anak-anak mereka, siapakah yang bangun untuk mempertahan dan membantu mereka, kalau bukan golongan feminis ini. Di manakah golongan muslimah pada waktu runcing ini? Tiada seorangpun yang datang untuk membantu mereka. Jadi wajarkah kita mengutuk golongan feminis ini menyebarkan dakyah-dakyah mereka sedangkan muslimah kita berpuas hati dengan hanya menjaga suami dan anak di rumah.

Wanita Islam itu sendiri tidak memahami kedudukan mereka di sisi Islam. Apakah yang anda faham apabila dikatakan Islam melihat hubungan wanita dan lelaki lebih kepada ‘complementary’ daripada ‘equality’?

Dogma-dogma ‘judgemental’ yang wujud dalam masyarakat Islam juga harus dihapuskan. Masyarakat Islam harus berhenti menilai wanita hanya dengan pakaiannya semata-mata kerana ianya tidak adil dan tidak tepat. Kerana kita takut mereka yang baik hatinya akan semakin menjauhi Islam semata-mata kerna benci akan cara kita menegur mereka.

Kebiasaan kita untuk menyalahkan wanita dalam isu seperti peningkatan jenayah rogol, gejala maksiat dll harus diubah. Kenyataan seperti “Peningkatan gejala maksiat di kalangan generasi muda adalah disebabkan peningkatan bilangan ibu yang bekerja sehinggakan didikan anak-anak terabai” seharusnya diubah kepada “Negara menghadapi masalah gejala sosial di kalangan generasi muda disebabkan kehilangan peranan yang dimainkan oleh ibubapa yang kini menumpukan kepada keperluan material”.

Apa yang ingin dinyatakan adalah janganlah kita terlalu cepat menghukum wanita. Berikanlah mereka ruang untuk berfikir, membuat pilihan dan memperbaiki diri sendiri.

Lebih daripada itu, kini Islam dan wanitanya menghadapi serangan Islamophobia yang semakin menular. Penghentam-penghentam Islam ini sungguh licik. Mereka mendalami hujah-hujah Islam dan menjadikannya sebagai bahan untuk diperkotak-katikkan. Klip video “Submission”(part 1) (part 2) oleh Theo van Gogh yang mengundang kemarahan umat Islam adalah contoh dakyah kelas tinggi. Namun pembunuhannya oleh seorang muslim sendiri amat dikesali.

‘Peranan’

Ada dua perkara yang memerlukan komitmen yang tinggi daripada golongan muslimah.

Pertamanya adalah, wanita Islam perlu bersuara dan mengeluarkan pendapat terhadap isu-isu yang dihadapi. Mereka tidak boleh lagi melihat peranan mereka begitu sempit dalam masyarakat seperti sekarang. Merobak mentaliti mereka adalah perkara yang sukar.

Muslimah harus berani menolak diskriminasi dan penindasan terhadap mereka. Isu etika pemakaian wanita dalam Islam harus diperjelaskan oleh mereka sendiri supaya ianya tidak dilihat sebagai paksaan oleh lelaki, budaya atau agama. Peranan seorang ibu, seorang suri rumah dan seorang isteri yang dijunjung oleh Islam, tidak patut dibenarkan dilihat sebagai konservatif atau kolot.

Dalam usaha menjelaskan pendirian Islam di dalam isu-isu tersebut, kita harus faham bahawa dalil aqli adalah senjata utama selain dalil nakli untuk mematahkan serangan mereka. Kerana dalil nakli hanya boleh diterima oleh orang Islam yakni orang yang mempercayai al-Quran. Umat Islam yang sudah lama ditenggelami kegelapan, pasti menghadapi kesukaran dalam perkara ini. Jawapan paling menakjubkan yang pernah didengar oleh penulis tentang rasionalnya etika pemakaian wanita Islam, keluar dari mulut seorang bukan Islam. Jawapannya membuat penulis tergamam. Tidak malukah muslimah dalam hal ini?

Peranan ini jangan dihadkan daripada individu ke individu, sebaliknya dimanifestasikan pada peringkat persatuan, pertubuhan dan kerajaan, nasional dan global. Jangan kita benarkan golongan heretik dan sekular menguasai pentas pertubuhan bukan kerajaan(NGO).

Keduanya, pada pendapat peribadi penulis, imej wanita Islam harus berubah. Seperti kata Pak Lah, “Packaging is everything”. Penglibatan busana muslimah dalam industri fesyen seperti Islamic Fashion Festival(IFF) baru-baru ini adalah satu lonjakan yang diperlukan.

Fesyen wanita yang berlandaskan etika pemakaian Islam harus dibangunkan dan diperkembangkan. Penulis percaya bidang fesyen busana muslimah mampu mengubah imej penindas, kuno dan pelik di mata orang bukan Islam terhadap Islam dalam sekelip mata kerana percayalah bahwa wanita Islam adalah imej Islam. Ini juga selaras dengan naluri wanita yang ingin kelihatan cantik. Dengan itu wanita Islam mampu mengisi nalurinya dan pada masa yang sama memenuhi kriteria etika pemakaian Islam tanpa rasa tertekan.

Menjadi harapan pada masa hadapan, akan bertebaran brand designer berkonsepkan busana muslimah yang menjadi igauan peminat fesyen. Imej muslimah tidak lagi dilihat sebagai radikal sebaliknya satu cabang daripada bidang fesyen. Tetapi seperti biasa, sekarang ini industri busana muslimah diterajui oleh mereka yang kurang punyai jati diri Islam di peringkat antarabangsa.

Jadi kita berbalik semula kepada masalah mentaliti Islam dan Melayu yang selalu penulis jajakan di kalangan rakan-rakan. Jika wanita Islam mampu melepasi ‘mental barrier’ ini, insyaallah, Islam mampu bangkit semula.





Oleh:
Azzad bin Hamzah

02 Februari 2008

Euphoria!

Sudah lama saya tidak post. Baru tadi saya dapat komen pertama untuk blog saya.Yea! Mungkin dalam masa beberapa minggu lagi saya akan aktif balik dengan blog saya(berbekalkan semangat komen pertama).

Bulan lepas saya telah letakkan jawatan sebagai Pengerusi Kelab UMNO Volgograd. Yahuuu, akhirnya bebas. Jadi mungkin lepas ni, artikel yang saya akan keluarkan mungkin akan lebih banyak berbaur politik. Yelah kalau cakap politik masa jadi pengerusi nanti orang kata kita nak sebar dakyah UMNO lak.

Sebelum ni kebanyakan artikel saya dipampang di majalah Ulul Albab(majalah rasmi KU Volgograd), tapi lepas ni mungkin blog saya akan diutamakan dulu dan sebahagian artikel yang tidak sesuai hanya akan boleh dibaca di blog saya sahaja.

Merdeka! Merdeka!

Yang sudah merdeka,
Azzad @ NKK(Ninja Kura-Kura)

16 Disember 2007

BERJUANG DI ALAM MAYA


Assalamu’alaikum,
Bismillah,
Kemodenan dunia kini mendedahkan manusia termasuklah muslim kepada kebebasan dalam pelbagai bentuk. Bergantung pada kita bagaimana untuk mengeksploitasikannya. Berikut adalah beberapa laman web menarik yang dibina oleh beberapa orang muslim yang menjadikannya sebagai landasan untuk memperjuangkan pandangan dan impian mereka.

SPIRIT 21- http://www.spirit21.co.uk/

Blog ini adalah hasil pena Shelina Zahra Janmohamed, seorang gadis muslim yang menetap di London. Beliau banyak mengulas isu dunia terkini, kehidupan Muslim di London, suasana politik dan Islam di UK, dan membetulkan salah anggapan terhadap orang Islam. Yang terbaru adalah berkenaan pendakwaan seorang guru warga UK atas menamakan “beruang teddy” Muhammad di kelasnya di Sudan. Buah fikirannya terhadap beberapa isu mendapat perhatian pihak berkuasa Britain.
P.S. Dunia Islam perlukan wanita Islam bersuara mempertahankan Islam. Setakat mengajak orang ke ceramah, masak untuk majlis, tidak cukup….

ISLAMIC RELIEF - http://www.islamic-relief.com/

Laman web ini mengajak orang Islam melibatkan diri dengan kerja philantrofi sejajar dengan ajaran Islam. Kumpulan ini mengumpul dan menyumbang bantuan kepada semua mangsa bencana alam tanpa mengira agama. Taufan Sidr yang melanda Bangladesh baru-baru ini adalah antara projek terbaru mereka. Ini adalah medium untuk umat Islam menyumbang sesuatu kepada dunia.
P.S. Sudah tiba masa umat Islam bantu saudara sendiri yang kesusahan. Jangan kecoh, marah orang lain sebar dakyah mereka padahal kita tak buat apa.

BISMIKA ALLAHUMA- http://www.bismikaallahuma.org/
Laman web yang ditubuhkan oleh warga Malaysia ini bertujuan untuk menjawap balas segala dakyah dan polemik anti-Islam yang semakin berkembang di dunia internet. Artikel disumbang daripada penulis-penulis daripada dalam dan luar negara sebagai jawapan spesifik terhadap beberapa artikel di laman web lain. Artikel-artikel yang dipampang dikenakan syarat yang ketat supaya membawa imej yang matang, sistematik dan berdasarkan pertimbangan intelektual yang tinggi.
P.S. Contoh baik untuk warga Muslim Malaysia. Berjuang untuk Islam bukan dengan meloncat-loncat, menjerit-jerit.

Mereka yang terlibat dalam laman web di atas adalah contoh umat Islam yang telah meninggalkan kepompong mereka dan melakukan sesuatu yang pragmatik untuk Islam. Umat Islam harus sedar, bahawa kemunduran kita adalah disebabkan oleh salah kita bukan anasir luar. Imej buruk yang dipikul oleh Islam sekarang harus diperbetulkan dengan tindakan yang zahir bukan dengan menceritakan zaman kegemilangan Islam lama ataupun menyalahkan kuasa luar. Mereka ini lebih berharga nilainya daripada penceramah tetap mingguan Ahad di masjid.

Salam,
Azzad bin Hamzah

BERSIHkah?







Kerajaan bangkit jatuh,
Kerna bodohnya manusia,
Ideologi musuh dijunjung,
Tanahair jadi pampasan.

Oh ibu Indonesia,
Anak mu kerap tersadung,
Angkara ahli buku mu,
Tidak pernah letih,
Melaung-laung kebenaran,
Meniup-niup arang kebencian,
Sanggup disembur dihentak,
Puas melihat anak mu tersadung.

Adakah kamu bodoh,
Sudah kau bangkitkan,
Kini kau jatuhkan,
Apa yang kamu impikan,
Yang pasti bukan Islam,
Kerja mu jahanam,

Laung takbir,
Allahu akbar,
Laung shahadah,
Sebagai perisai,
Lambang perjuangkan Islam,

Jangan ingat aku buta pekak,
Kamu hanya pejuang picisan,
Kamu hanya reti,
Menyuap anjing kelaparan,
Jangan kamu angkuh,
Bahwa Islam bersama mu,
Siapa kamu,
Bukan kamu tentukan,
Itu kerja Tuhan..

Takbirmu shahadahmu,
Hanyalah suapan,
Bagi hatimu,
Kontang kekosongan,
Untuk meyakini,
Hidupmu ada signifikan.

Wahai pejuang picisan,
Zaman mu kelak berakhir,
Kau sendiri sedar,
Bertekak sekuat mahu,
Ianya berakhir juga.
Mati kamu cepat,
Masuklah ke syurgamu,
Yang kamu impikan.

Dunia Islam,
Tidak sedikitpun,
Malah sedikitpun,
Merindui kamu,
Kerna kamu,
Hanya pejuang picisan,
Selama kamu hidup,
Tidak sedikit pun membawa kesan,
Pada perjuangan dunia,
Menegakkan Islam.

Pergilah ke syurgamu,
Kamu hanyalah beban,
Dunia Islam kini,
Gunung perlu didaki,
Selat perlu direnangi,
Bukan tempat untukmu.
Pejuang picisan,
Selamat tinggal.

Oleh:
NKK

28 Oktober 2007

Negarakuku

Assalamu’alaikum

Beberapa bulan yang lepas, suatu perkara yang kecil asalnya, diperbesarkan di media Malaysia, iaitu penghasilan satu klip video rap “negarakuku”, yang berlatarbelakangkan lagu Negaraku yang telah diubahsuai. Berbekalkan kata-kata benci dan “hina”, ianya menjadi satu pakej lengkap mengundang kontroversi.

Sebagai Negara yang berbilang agama, adalah menyakitkan hati apabila ada di antara kita yang masih tidak boleh menerima sebaliknya mengutuk amalan agama selain daripada agama kita. Di dalam kes ini, ianya melibatkan agama Islam. Alasan berdasarkan kreativiti dan konsep rap tidak sama sekali membenarkan seseorang menghina lagu patriotik Negara.
Namun, disebabkan ianya mendapat maklumbalas yang negatif pada pihak kerajaan, adalah rugi apabila tidak diberi perhatian akan kandungan lain iaitu antara luahan perasaan seseorang rakyat Malaysia yang berbangsa Cina. Antaranya adalah tersisih daripada peluang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, polis dan rasuah, batasan dalam ekonomi, tindasan oleh Dasar Ekonomi Baru(DEB) dll.

Dalam membincangkan isu DEB, sebagai rakyat Malaysia kita harus faham akan sejarahnya. Selepas peristiwa 13 Mei, DEB diperkenalkan di bawah pimpinan Allahyarhan Tun Abdul Razak(. Ianya ketika itu merupakan satu langkah yang radikal iaitu memperkenalkan pertumbuhan berdasarkan ekuiti dengan bermatlamatkan penguasaan 30% ekonomi oleh orang bumiputra. Haruslah diingat bahawa rancangan ini dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bumiputra dan bukan bumiputra pada ketika itu di atas kesedaran pentingnya kestabilan kuasa ekonomi di kalangan rakyat yang berbilang kaum bagi membawa keamanan kepada negara. DEB telah diletakkan sasaran kejayaan dan mengikut perancangan akan diimplementasikan selama 20 tahun.

Namun sehingga kini, 20 tahun sudah berlalu, dan sasaran masih tidak tercapai. Pemimpin negara wajib tahu dan faham bahawa jangkamasa yang diberikan mempunyai signifikannya. DEB adalah bukan untuk selama-lamanya, kerana ianya mengandungi unsur diskriminasi. Pada asalnya, DEB dirancang supaya dapat melonjakkan atau mempercepatkan pemilikan ekuiti bumiputra di dalam ekonomi Negara kerana kita tahu kebaikan daripada pencapaian sasaran ini mengatasi keburukan diskriminasi yang terpaksa dialami, dengan syarat ianya tidak boleh berpanjangan. Kita telah sampai kepada satu tahap di mana ketegangan kaum akibat diskriminasi ini telah mula meningkat dan melampaui kebaikan daripada polisi DEB apatah lagi nilai sasaran dan realiti masih jauh berbeza. Ini diburukkan lagi dengan pembudayaan rasuah di dalam melaksanakan polisi. Perancangan yang baik, tetapi perlaksanaan yang lemah.
Sudah tiba masa untuk kerajaan memikirkan cara baru untuk mencapai penguasaan ekuiti bumiputra. Kita telah tersalah langkah di dalam perlaksanaan dan amalan rasuah yang terpaksa dipikul tidak memudahkan kita untuk meneruskan perancangan lama. Orang bumiputra harus didedahkan dengan persaingan supaya menjadi lebih kompetitif dan mampu berdikari tanpa bantuan kerajaan. Lambat laun kita akan sedari bahawa ini adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan.

Cadangan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya diadakan medium untuk berdiskusi antara kaum berkenaan isu-isu sensitif adalah satu idea yang matang dan bernas. Ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan antara kaum. Ia juga membolehkan pihak yang merasa tertindas ketahui bahawa suara mereka didengar dan memberi peluang kepada kerajaan untuk menerangkan justifikasi polisi mereka. Untuk mengajar rakyat bersuara bebas tetapi dengan bertanggungjawab memerlukan kerajaan memberi ruang untuk mereka bersuara.
Pensyarah Psikologi, Miss Guba pernah berkata, “Why do we need negative emotions when we have positive emotions?”, “Because without negative emotions how do we know or appreciate positive emotions.”

Ianya boleh dianalogikan di dalam situasi kita. Janganlah kita tunggu negara porak poranda barulah kita mahu menghargai keamanan yang kita ada. Jika wujud golongan yang batu api di kalangan kita, janganlah kita mengipas-ngipaskannya. Janganlah kita bergaduh, marilah kita cari jalan penyelesaian bersama. InsyaAllah satu hari nanti kita semua rakyat Malaysia akan dapat melihat negara kita Malaysia bukan sebagai negaraku, bukan juga negarakuku, sebaliknya negarakita.

Reference:
Bakri Musa, 2007, Towards a competitive Malaysia.