15 Mei 2010

TRILOGI ANJAKAN MINDA: EPISOD 1: PESISIR AKAL MANUSIA

Segala perkongsian pemikiran di dalam artikel ini adalah pendapat penulis semata-mata. Ianya tidak harus dianggap sebagai mewakili Islam. Namun semoga ianya memberi pahala kepada penulis dan manfaat kepada pembaca.

Salam,
Manusia ciptaan unggul

Evolusi mendeskripsi manusia sebagai makhluk unggul, hasil daripada segala proses percambahan dan ‘pemilihan semulajadi’(natural selection). Keunggulan manusia adalah pada akalnya, di mana dalam masa 100 tahun generasi kita, kita dapat lihat dunia telah berubah daripada enjin stim kepada kecanggihan telekomunikasi.

Ahli falsafah Nietzhe pula melontarkan idea, bahawa pada satu tahap manusia boleh meninggalkan kebergantungannya kepada Tuhan(yang sebenarnya diada-adakan oleh minda manusia), untuk mencapai tahap manusia super(superhuman). Ini menggambarkan superioriti manusia di kalangan makhluk semulajadi.

Kehebatan akal

Kalau hendak dibandingkan dengan haiwan, iaitu makhluk yang lebih inferior, ketiadaan akal atau intelek tinggi, menjadikan mereka tidak mampu mempersoal, merungkai dan mencari jawapan terhadap fenomena di sekeliling mereka. Malah haiwan ‘cerdik’ seperti chimpanzee, ikan lumba-lumba dan anjing hanya mampu mempelajari helah mudah dan perkiraan asas.

Namun manusia dengan intelek tingginya memiliki keupayaan meneroka dunia falsafah, sains dan teknologi, politik, ekonomi dan sosial dan sebagainya.

Jika sedemikian, bagaimana pula jika saya katakan wujud makhluk yang berintelek agung, yang mengatasi akal manusia. Apakah yang mereka mampu lakukan yang di luar kemampuan kita? Adakah kita akan masih lagi bongkak dengan keupayaan akal kita? Mengapa kita menganggap kita paling superior?

Had akal manusia

Setiap manusia berasal daripada generasi sebelumnya. Begitu juga flora dan fauna. Alam semesta(yang merangkumi semua) pula, berdasarkan kajian saintis, tercipta daripada proses ‘big bang’, satu letupan yang menghasilkan kepulan-kepulan awan galaksi, galaksi bima sakti, sistem suria dan juga bumi kita.

Jangan kita berhenti setakat di situ. Bagaimana boleh berlakunya letupan ini? Mana mungkin ia secara spontan berlaku?

Creationist berkata ianya proses ciptaan Tuhan. “Penggerak yang tidak bergerak” kata Plato. Adakah kita akan berhenti setakat di sini?

Jika Tuhan itu wujud, dari mana pula asal-Nya? Apakah zat-Nya? Logikkah terdapat zat yang senantiasa ada, tiada penciptaan dan tiada tamat? Ahli agama jumud akan menegah kita daripada memikirkannya.

Pasti minda pembaca mula bercelaru, tertekan dan tidak selesa. Kerana kita telah sampai ke ‘tebing akal manusia’. Di sinilah kita boleh perasan terdapatnya had pada akal manusia. Di mana, perkara menjadi tidak logik, namun pada masa yang sama tiada jawapan atau penjelasan. Maka isu menjadi tergantung atau dipersoalkan.

Tebing akal manusia

Manusia bersenjatakan akal telah dilantik menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Cukupkah dengan akal?

Di samping ketamadunan yang telah dibina manusia, terdapat pelbagai masalah umum yang sukar untuk ditangani. Isu seperti kesaksamaan ekonomi, peningkatan jenayah, keruntuhan institusi sosial masyarakat, walaupun cuba ditangani dengan percambahan pemikiran dan ideologi, masih belum dapat dileraikan dengan berkesan.

Mungkinkah manusia telah sampai ke tebing akalnya dalam mencari penyelesaian? Jika lembu tidak reti mengira kerana kebodohannya, adakah masalah dunia tiada penyelesaian kerana bodohnya manusia?

Pesisir akal manusia

Daripada pemerhatian dan renungan, terdapat perkara yang tidak tergapai oleh akal manusia – namun jika diberi panduan, manusia mampu melihat logiknya. Ini penulis panggil sebagai berada di ‘pesisir akal manusia’.

Di mana kita boleh keluar daripada tebing(had) akal manusia, dan nampak sesuatu yang tidak logik, menjadi logik. Ianya tidak memerlukan manusia berintelek Einstein untuk mengecapi ‘pesisir akal manusia’. Apabila kita mengecapinya, ia membuat kita menjerit “Eureka”(spt Archimedes).

Panduan tersebut tidak lain, tidak bukan, adalah daripada kitab-kitab Allah. Bermula dengan semangat inkuiri dan bersifat sederhana kritikal, inilah yang penulis dapati setelah meneliti sebahagian daripada ajaran Islam.

InsyaAllah, di dalam beberapa artikel seterusnya, penulis akan cuba merungkai firman-firman yang tidak logik, barbarik atau tidak bertamadun, secara ilmiah dan rasional. Dengan harapan, kita semua akan meninggalkan budaya taqlid(mengikut secara membuta).

Supaya ahli agama berasa malu kerana mereka malas berfikir.

Salam

07 Mei 2010

SEKULARISMA YANG TIDAK DICERITAKAN

Artikel ini telah siap ditulis sejak November tahun lepas, namun tidak di terbit ketika itu, atas sebab-sebab yang tertentu.

Salam
Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya) dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya) dan Dia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.

 Az-Zumar 39:5
Saya ingin ajak pembaca menerokai tentang sekularisma.

Sekularisma boleh dikatakan bermula kurun ke-16, di mana ketika itu Nicolaus Copernicus telah mengeluarkan hypothesis matahari sebagai pusat alam (heliocentric) manakala bumi serta planet lain mengelilinginya. Ini bertentangan dengan pendirian Gereja Katolik ketika itu yakni, berdasarkan interpretasi mereka terhadap kitab bible ketika itu, bumi sebagai pusat alam (Ptolemaic). Galilei Galileo turut bersetuju dengan pendapat itu berdasarkan pemerhatian pergerakan planet-planet. Kedua-dua mereka telah dilarang gereja untuk menyebarkan kajian tersebut. Akibat menerbit buku The Dialogue on the Two Chief World Systems, Galileo telah dipenjara seumur hidup.

Sikap gereja ketika itu berbeza dengan sejarah sebelum ini di mana mereka melahirkan ahli falsafah seperti Thomas Aquinas. Jangan terkejut bila tahu, Galileo sebenarnya merupakan penganut Katolik yang taat. Beliau kecewa dan berpendapat pihak gereja tidak patut campur tangan jika sebuah hasil kerja saintifik itu bertentangan dengan interpretasi kitab bible.

Jika kita lihat ayat 39:5 di atas, ia juga nampak menggambarkan bahawa bulan dan matahari mengelilingi bumi, lagi-lagi jika kita hidup di abad sebelum ke-16. Namun jika kita hidup di abad ke-20, kita akan tahu tiada percanggahan antara ayat tersebut dan penemuan saintifik. Kerana kita tahu bahawa matahari tetap beredar, tetapi bukan mengelilingi bumi, sebaliknya pada paksinya di dalam bima sakti.

Charles Darwin juga menerima cemuhan dan ejekan daripada gereja malah rakan saintis lain apabila beliau mengajukan teori evolusi-nya yang dihujahkan atas pemilihan semulajadi(natural selection) di dalam bukunya The Origin of Species. Manusia dikatakan bernenek moyangkan monyet bertentangan dengan ajaran gereja bahawa mereka berasal daripada keturunan Adam dan Hawa yang turun dari syurga.
Malah penemuan tersebut juga bertentangan dengan ajaran Islam. Maka teori tersebut ditolak mentah-mentah oleh kita.

Namun ahli saintis berpegangan agama yang terbuka mindanya, kini bersetuju dengan teori tersebut cuma ianya berlaku pada kadar yang minima(microevolution) namun tidak sampai hingga ke skala mampu mengubah monyet menjadi manusia(macroevolution). Masakan tidak, jika manusia semua bernenek moyangkan Adam dan Hawa, maka bagaimana wujud pelbagai bangsa dengan berbagai warna kulit, raut wajah, ketinggian, warna mata dan sebagainya. Sekali lagi, penemuan saintifik tidak lari daripada ajaran agama.

Namun kedua-dua peristiwa inilah contoh sebab berlakunya pemecahan antara 'semangat' agama dan 'semangat' sains. Seolah-olah kita perlu memilih antara Tuhan dan mencari kebenaran, sedangkan ianya patut datang bersama.

Sudah nyata lagi jelas bahawa hanya Allah yang Maha Mengetahui. Bagaimana manusia membuat interpretasi pun, hak sesuatu perkara itu hanya Allah yang ketahui. Ini mengingatkan saya tentang penerangan Aistotle/Plato bahawa kita hanya mampu mengetahui dengan lebih mendalam sesuatu itu dari semasa ke semasa. Namun kita tidak akan dapat tahu sifat hakiki sesuatu itu sampai bila-bila.

Sekularisma bukan sahaja 'terpaksa' dibentuk akibat penapisan penemuan sains oleh ahli agama, malah juga disebabkan penyalahgunaan kuasa dan penindasan oleh mereka dalam pentadbiran di empayar-empayar Eropah atas nama agama.

Kenapakah Renaissance mampu bangkit di Eropah ketika itu? Kerana mereka telah 'meninggalkan' agama mereka dan memilih untuk mencari kebenaran melalui sains, kerana mereka 'terpaksa' memilih.

Sejarah berulang lagi. Seperti mana gereja telah membawa Eropah ke Zaman Gelap-nya, sebegitulah, 'ahli-ahli agama' Islam jugalah yang telah membawa kejatuhan tamadun Islam. Di puncak ketamadunan satu ketika dulu, ketika itulah ahli-ahli agama telah mengajak umat Islam 'meninggalkan' urusan dunia lari daripada kehidupan materialistik. Disangkakan kemusnahan dunia semakin hampir, umat diajar mengasingkan diri dan menjebakkan diri dalam kesufian(mysticism). Maka wujudlah kelompok umat Islam yang tidak mempedulikan hal dunia, dan hanya memerap di masjid mengagung-agungkan guru-guru tarekat mereka, suatu keganjilan berbanding Islam yang diajar nabi. Ahli-ahli agama juga telah menjadikan Islam 'keras', dengan terlalu tertumpu pada fiqah agama dengan terlalu terperinci(berapa pergerakan dibenarkan dalam solat, berapa nafas ketika membaca fatihah, pembacaan niat dan sebagainya).

Di zaman kegelapan Islam sekarang ini, ahli-ahli agama jugalah yang menjadi pembakar semangat kepada pejuang berani mati yang meletupkan diri membunuh orang awam atas nama Islam(seperti pengeboman hotel di Jakarta). Dan mereka yakin bahawa mereka akan masuk ke syurga, masakan tidak setelah mempercaya bulat-bulat apa yang diajar tok guru mereka, hanyalah jika mereka mempunyai kewarasan walaupun sedikit.

Ramai juga yang melibatkan diri dalam pergerakan tabligh, yang pada hemat saya tidak memahami 'semangat Islam. Pergi meninggalkan isteri dan anak-anak di rumah, sampai seminggu hingga berbulan, sesetengah hingga ke luar negara untuk mencari ketenangan di rumah Allah. Setelah pulang, mula ketagih balik ketenangan yang telah dikecapi, maka tinggallah lagi si polan anak isterinya. Bukankah ketenangan yang dikurniakan Allah itu boleh dikecapi di mana-mana? Tahajud itu sendiri boleh diamalkan di rumah.

Inilah cerita sekularisma yang tidak diceritakan. Sekularisma yang sebenarnya patut dipersalahkan pada ahli agama. Sekularisma ini memisahkan umat Islam daripada dunia realiti melahirkan umat yang jumud dari segi politik, ekonomi dan sosial. Umat yang tumpul akal fikirannya disebab tidak berani mempersoal, cetek pengetahuan kerana memperendah urusan dunia.

Rakan saya pernah bertanya, "Kenapa kau selalu salahkan orang agama?"

Inilah sebahagian daripada jawapannya. Mereka adalah punca kita berada pada keadaan kita sekarang. Namun tiada siapa yang berani bersuara malah mungkin tiada siapa pun pernah sangka.

Kerana apa? Kerana mereka adalah pihak authoratif di dalam bidang agama, dan sebahagian daripada mereka menggunakannya pada jalan yang salah.

Kenapa? Panjang ceritanya, kalau ada masa nanti saya ceritakan.

04 April 2010

INDAHNYA DUNIA, JIKA SEMUA WANITA HODOH.

Indahnya dunia,
   Jika semua wanita hodoh,
Nescaya lelaki,
   Kan pilih wanita,
Atas tulus hatinya,
   Baik budi pekertinya,
Atas rancak kata-katanya,
   Sokongan tak terhingga,
Atas kekuatan kelembutannya,
   Teguh kesetiaannya.

Indahnya dunia,
   Jika semua wanita hodoh,
Kuranglah satu dilema,
   Bagi seorang teruna,
Memilih seorang teman hidup,
   Di saat susah dan senang,
Bukan nafsu kayu pengukurnya,
   Nafsu yang tiada penghujung,
Tapi cantik sifat dalaman wanita,
   Yang mampu dimiliki semua,
   Tiada yang lahir dengannya,
   Tidakkan tua dimamah usia,
   Malah makin tua,
   Makin asyik cantiknya.


Indahnya dunia,
   Jika semua wanita hodoh,
Bukan peha atau dada sebagai penarik,
    Tiada bonjolan melemas kewarasan,
Bukan mascara mahupun gincu yang dikejar,
   Tiada bedah plastik yang perlu dirahsia,
Maka tidak resah gelisah hati,
   Tidak kusut bercelaru fikiran,
   Tatkala seorang teruna,
   Melihat seorang wanita.

Alangkah indahnya dunia,
   Jika semua wanita hodoh,
Alangkah mudahnya hidup,
   Hidup seorang teruna,
   Seperti saya.




Gambar di atas diambil secara rawak daripada Google Images. Tiada sebarang niat menceroboh peribadi sesiapa. Cuma ingin menghidupkan suasana sajak. Sesiapa yang berumur bawah 21 tahun, tinggalkan laman ini segera.

16 Februari 2010

OHH LANGIT!

Òhh langit,
Kau cukup hebat,
Birumu berubah-ubah,
Awan putihmu mengasyikkan,
Membentuk gumpalan sesuka hatimu,
Bergerak perlahan-lahan,
Engkaulah idola kesabaran.




Ohh langit,
Tahukah betapa pentingnya engkau dalam hidupku?
Di saat aku tertekan, mengaku kalah dan kesunyian,
Engkaulah sumber ketenangan,
Kerana padamu aku nampak Tuhan,
Di saat aku kejauhan.




Ohh langit,
Kau menakjubkan,
Jadilah temanku seketika,
Ketika ini,
Hidupku penuh keluhan,
Memerlukan seorang teman.
Ceritakanlah rahsiamu, di manakah Tuhan?

09 Januari 2010

ALLAHUAKBAR - JAHANAM MEREKA

Salam,

Kejadian membakar gereja di Malaysia baru-baru ni menggempar rakyat Malaysia daripada tidurnya, bahawa keamanan yang kita perolehi selama ini bukanlah atas nasib, warisan atau pemberian. Sebaliknya ianya adalah atas dasar toleransi yang wujud (walau anda tidak sedar) antara agama dan kaum di Malaysia selama ini.

Mungkin bagi ramai antara kita, ini adalah perkara yang merisaukan dan perlu diberi perhatian. Namun ada juga yang sebenarnya secara separa sedar suka melihat apa yang berlaku.

Isunya bermula 'hanya' atas sebuah 'nama', anggapan orang ramai. Namun saya percaya ia tidaklah semudah itu. Kalau hendak diringkaskan untuk pemahaman semua, ianya disebabkan kontangnya budaya berdebat dan berbeza pendapat di kalangan kita rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Dan juga, walaupun ramai di kalangan anda pembaca tidak suka membacanya, namun saya akan kata juga, ianya disebabkan sentimen 'semakin rugi' dan 'semakin dipijak'yang dirasai sesetengah bangsa.

Aik tunggu dulu. Sebelum anda mainkan permainan salah menyalah atau bangau oh bangau anda, izinkan saya merungkai sedikit sebanyak berkenaan kenyataan saya di atas. Kerana saya sudah bosan mendengar kenyataan orang yang mengguna separuh akal apatah lagi yang hatinya sarat dek perasaan benci akibat permainan politik Malaysia. Pendapat anda tidak relevan di mata saya.

Oh ahli politik di luar sana. Sampai bila anda hendak mempergunakan rakyat jelata. Kenapa anda perlu mempolitikkan isu-isu sebegini? Saya ingin jelaskan di sini untuk pembaca. Ada ahli politik di luar sana yang sengaja mengapi-apikan rakyat untuk mengikut kehendak mereka.

Anda jangan salah faham pula. Orang kerajaan dan orang pembangkang kedua-duanya. Aik mengapa orang pembangkang pula sekali? Anda tidak baca ke kenyataan salah menyalah di akhbar selepas kejadian bakar gereja berlaku. Mereka semua mengambil kesempatan untuk terus menanam perasaan benci. Golongan inilah yang sebenarnya suka secara separa sedar. Suka malah berharap ekonomi negara jatuh, suka bila FDI turun, suka bila menteri buat silap, suka tengok negara porak-poranda. Tidak kurang juga yang suka main isu perkauman, suka menindas lawan, suka mengambil rasuah. Kerana waktu inilah mereka menerjah peluang dan mengambil kesempatan.

Ahli politik sepatutnya terdiri daripada negarawan. Tahukah anda apa itu negarawan? Mereka yang meletakkan kepentingan negara lebih daripada diri dan parti. Mereka akan cuba menyelesaikan masalah bukan kerja salah menyalah. Di saat inilah kita lihat harimau mana yang menunjuk belang.

Pendirian saya mudah di dalam isu nama Allah. Kedua-dua belah pihak mempunyai hujah yang munasabah. Saya boleh hidup dengan keputusan yang menyebelahi mana-mana pihak.

Namun menjadi tabiat mentaliti rakyat Malaysia yang tidak menghormati lawannya. Sebaliknya memperlekeh, memperbodoh, membenci dan menolak mentah hujah lawan. Inilah yang berlaku di dalam isu ini. Apabila sebahagian umat Islam dan bukan Islam menolak/menegah penggunaan nama Allah di akhbar Catholic Daily, mereka digambarkan sebagai kolot, ekstremis, didalangi UMNO, bodoh, tidak berpengetahuan(tidak tahu Kristian Arab dan Indonesia juga guna Allah). Apabila sebahagian umat Islam dan Kristian menyokong/membenar penggunaan nama Allah, mereka dilabel sebagai cuba mengelirukan umat Islam, cuba menyebar agama Kristian, menjual agama sendiri, cuba meraih undi.

Jadi bukan hujah dijadikan kayu pengukur. Kerana walaupun mereka baca dan dengar, sebenarnya mereka buta dan pekak. Perasaan takut atau benci menghalang diri daripada mempertimbangkan hujah lawan dek kerana sentimen politik. Jadi hasilnya tuduh menuduh, salah menyalah jadi pertukaran di dalam perdebatan.

Bayangkan kenyataan berikut:-
Kerajaan akan membina rumah kos rendah untuk rakyat miskin. Maklumbalas: Bagus.
Kerajaan UMNO akan membina rumah kos rendah untuk rakyat miskin. Maklumbalas: Celaka UMNO. Kau halau penduduk rumah setinggan dari rumah yang dah didiami lebih 50 tahun. Ni mesti orang UMNOputra yang dapat kontrak punya pasal. Inilah keadilan di Bolehland. Semua boleh.

Maka saya menyeru anda pembaca semua, mencari mereka yang berbeza pendapat dengan anda di dalam isu nama Allah, isu politik negara, rasuah, badan kehakiman, polis, polisi ekonomi, DEB, hak orang melayu dan sebagainya. Ajak mereka duduk dan bertukar pendapat sambil minum teh atau kopi.

Percayalah walaupun lawan kita berbeza agama dan bangsa, memang orang jahat, kafir, kufur, nampak bodoh, bersifat perkauman, di sebalik setiap hujah-hujah mereka, pasti ada kebenarannya walaupun sedikit. Namun yang sedikit-sedikit inilah yang akan mengajar kita melihat sesuatu isu pada pandangan yang berbeza dan menjadikan kita lebih matang.

Antara perbualan saya dengan kawan beragama Buddhist semasa makan tengahari sama-sama di McDonald pada suatu hari:

Bermula dengan,
Dr TKJ: Azzad kalau seorang perempuan yang berpakaian seksi dirogol seorang lelaki, siapa yang kamu salahkan?
Dr Azzad: Hahaha. Hmmm(pura-pura berfikir lama). Saya salahkan lelaki itu. Kamu jangan percaya sangat Nik Aziz tu.

Dr TKJ: Patut ke seorang yang mencuri kena potong tangan?
Setelah 1 jam setengah berdebat,

Dr TKJ: Saya ada kawan Kristian yang macam kamu jugak Azzad.
Dr Azzad: Oh ye ke? Perkenalkanlah pada saya.
Dr TKJ: Taknak, nanti kamu mesti bergaduh punya. Haha.
Dr Azzad: Manader, saya berfikiran terbuka.

Perbualan di atas telah diubahsuai mengikut selera penulis.
Penulis malas mencari gambar untuk artikel kali ini.

04 Januari 2010

SAYA SUKA, KASIHAN DAN SEDIH

SAYA SUKA,
  1. Saya suka jalan atas travellator(escalator mendatar tu) di KLIA. Rasa seperti kita orang penting.
  2. Saya suka bawa motor pukul 12 malam di waktu kedai sudah tutup. Rasa seperti masalah dunia sudah berakhir.
  3. Saya suka bila dipasang lagu Micheal Learns To Rock di dalam panggung, sebelum wayang bermula. Rasa tenang.
  4. Saya suka bertutur perkara yang ilmiah dengan wanita cerdik sambil curi-curi pandang matanya. Rasa seronok.
SAYA KASIHAN,
  1. Saya kasihan lihat perempuan yang sedar kehadiran saya dan mengharap saya pandang dia(ke saya yang perasan). Kadang-kadang saya pandang, kadang-kadang tidak.
  2. Saya kasihan lihat kawan-kawan yang daripada riak mukanya, tampak perit hidupnya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
  3. Saya kasihan lihat perempuan yang berdamping dengan pasangannya di Taman Tasik Titiwangsa(tempat saya jogging). Kerana saya tahu, tidak ramai lelaki yang tahu tanggungjawab yang diberi pada mereka.
SAYA SEDIH,
  1. Saya sedih kerana masih belum peroleh keghairahan(passion) di dalam kerja saya. Harap akan jumpa.
  2. Saya sedih lihat pramugari yang berlagak seperti mereka memiliki segala-galanya. Padahal mereka tidak.
  3. Saya sedih kerana Allah(bukan yang dimaksudkan Catholic Daily, bukan yang beranak, bukan 3 dalam 1) masih belum pertemukan saya dengan bakal isteri saya. Harap saya dapat terus bersabar.