28 Disember 2008

MEMBACA

Surah 96: Al-Alaq, Ayat 1-5
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)

Ayat al-Quran di atas kerap diulas oleh para ahli agama tentang 'kedudukan' membaca dalam Islam. Namun sedih melihat apabila ianya digunakan untuk meyakinkan umat Islam dan manusia bahawa Islam 'sebenarnya' menggalakkan umatnya membaca atau menimba ilmu. Seolah-olah kalau tiada firman di atas, maka tidak perlulah kita membaca. Lagi pilu apabila melihat kejahilan dan ketinggalannya umat dalam bidang sains dan teknologi. Lagi malu menonton para ahli agama ungkit dengan rasa 'bangga' kejayaan zaman kegemilangan Islam lampau sebagai lambang bahawa Islam menitik beratkan penguasaan ilmu, tanpa inisiatif yang pragmatik untuk menyelesaikan kemunduran umat kini. Perlukah kita meyakinkan orang ramai bahawa agama kita sebenarnya menggalakkan kita membaca?

Kenyataan yang lebih tepat dan sesuai dengan zaman kita adalah, agama kita menegaskan bahawa jatuh naiknya tamadun Islam bergantung kepada 'tabiat' membaca umatnya. Ceritakan bagaimana umat Islam terdahulu membaca karya tamadun Yunani dan Rom yang menjadi batu loncatan ketamadunan Islam. Barulah tersentak pendengarnya.

Kemunculan media elektronik telah menghakis minat manusia untuk membaca. Di alam buku Assault on Reason tulisan Al Gore, bekas naib presiden Amerika, selain membincangkan kaitan 3 komponen reason-fear-faith dan kepincangan korupsi sistem politik Amerika, terdapat satu bab di mana beliau menceritakan bagaimana cara pemikiran manusia telah berubah akibat kemunculan 'media elektronik' di persada dunia. Gambaran visual dan bunyi yang dipancarkan oleh TV dan radio mampu mempengaruhi penonton dan pendengar dengan lebih berkesan berbanding media cetak.

Media elektronik juga telah menumpul ketajaman pemikiran manusia. Apa yang berlaku adalah proses rasionalisasi tentang sesuatu isu itu telah ditentukan oleh suatu pihak dan 'dibungkus' dengan visual dan bunyi yang menyokong pendirian tersebut. Akhirnya bungkusan ini hanya ditelan oleh penonton bulat-bulat. Individu-individu merasai logik dan rasionalnya pendapat tersebut, namun pencernaan tentang suatu isu itu tidak berlaku lagi-lagilah maklumat yang diberi hanyalah daripada sebelah pihak. Al Gore menjelaskan begitu terperinci hingga ke tahap anatomi dan fisiologi otak manusia, bagaimana emosi manusia mempunyai pengaruh besar terhadap pemikirannya. Sudut emosi inilah yang dimanipulasi oleh media elektronik supaya dapat menggerakkan manusia terhadap sesuatu propaganda. Contoh yang jelas adalah bagaimana media Amerika mengeksploitasikan emosi takut di kalangan rakyatnya, menggunakan imej pengganas, letupan, pembunuhan kanak-kanak supaya menjustifikasikan perang di dalam minda mereka.

Membaca berkait rapat dengan ideologi demokrasi yang berlaku seiring dengan revolusi media cetak. Demokrasi bangkit bersandarkan pada apa yang didiskripsikan oleh Al Gore sebagai 'well-informed citizenry'. Ini bermakna rakyat berhak dan bebas memperoleh maklumat. Ini penting supaya rakyat mampu menilai sesuatu itu dengan adil, selari dengan kuasa yang dipegang mereka dalam sistem demokrasi. Di sinilah terletaknya peranan membaca. Seperti yang dikatakan di atas, media cetak adalah tiang asas demokrasi. Suratkhabar, novel, buku bukan fiksyen, majalah ekonomi, sains dan teknologi dan sebagainya melalui pembacaanya melahirkan rakyat yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran untuk menilai, matang dan bertamadun.

Terdapat perbezaan antara media cetak dan media elektronik. Ketika membacalah, sebenarnya akal pemikiran kita berfungsi pada kemampuannya. Apabila membaca, otak kita mampu bersikap analitik, kritikal, munasabah, logikal, rasional terhadap perkara yang dibaca. Apa yang tidak difahami dibaca balik, dipersoal apa yang meragukan, hadam apa yang masuk akal. Proses sedemikian tidak atau kurang berlaku apabila berdepan dengan media elektronik, di mana otak lebih kepada menerima daripada memproses kerana tiada kesempatan. Al Gore menyalahkan media elektronik sebagai salah satu punca merudumnya 'semangat' demokrasi di kalangan rakyat.

Sumber bacaan mestilah neutral atau berpihak seminimum mungkin. Ianya juga biarlah hasil penulisan yang bersifat universal dan memiliki nilai intelektual yang tinggi. Bukannya Utusan, Harakah, Malaysiakini dan sebagainya. Namun orang yang banyak membaca, berfikiran waras akan mempunyai kemahiran untuk menilai apabila membaca sumber seperti disebut kerana mereka berpengetahuan dan matang pemikiran. Manakala manusia picisan yang tidak membaca, mudah terpengaruh dengan setiap berita sumber diatas. Sebab itulah ada kawan yang datang jumpa dan berkata pada saya,"Serabutlah baca isu politik di Malaysia, bila baca suratkhabar ni katanya macam ni, bila baca berita suratkhabar tu lain pulak. Pening aku. Tak tahu nak percaya mana satu." Saya kata padanya, "Kita diperbodohkan oleh ahli politik tak kisah kerajaan ke pembangkang. Mereka tahu kita bodoh, maka diorang perbodohkan kita." Saya nasihatkannya supaya banyak membaca buku ilmiah.

Kita boleh membezakan orang yang membaca dan orang yang tidak membaca. Saya jumpa contoh yang baik di laman web iluvislam.com (sila klik sini). Kalau kita lihat di bahagian komen artikel tersebut, kita dapat asingkan dua golongan tersebut. Golongan yang membaca mampu memberi pendapat yang bernas, berhujah dan menjustifikasikannya. Manakala golongan tidak membaca atau jahil pula hanya mampu mengeluarkan ayat retorik yang diajar ustaz-ustaz mereka. Saya tidak mengatakan bahawa idea mereka salah, tetapi mereka seharusnya mampu berhujah, bukan sekadar melaungkan sesuatu dan menyorok di belakang nama agama.

Kekolotan umat Islam ketara apabila sukar untuk saya mencari buku ilmiah tulisan seorang muslim. Kebanyakan buku yang ada hanyalah tertumpu pada bidang agama seperti tauhid dan ibadat. Bukannya memperlekehkan bidang tersebut, tetapi ini menggambarkan betapa terpinggirnya umat Islam dalam aliran ilmu duniawi. Ini diburukkan lagi dengan mentaliti kita yang menganggap bahawa buku potitik, ekonomi, sosial dll hanya mampu dibaca dan difahami pakar dalam bidang tersebut sahaja.

Pada zaman dahulu, sememangnya tiada pembahagian ilmu mengikut aliran secara jelas, maka para ilmuwan dahulu dilihat mampu menguasai pelbagai bidang seperti Ibn Sina dalam bidang kimia, falsafah, matematik, astronomi dan sebagainya. Walaupun kini ilmu dibahagikan dan telah berkembang dengan lebih terperinci, ini tidak sepatutnya menghalang seseorang itu untuk membaca buku dalam pelbagai bidang. Seperti mana orang ramai perlu mengetahui tentang penjagaan kesihatan, perancangan kewangan peribadi, pendidikan anak, keterampilan diri dll walaupun mereka bukan doktor, ahli ekonomi, akauntan, guru, stailis dll.

Mesej yang ingin disampaikan di dalam ayat Quran di atas adalah betapa pentingnya membaca. Di mana melaluinya, Tuhan mengajar kita mengubah nasib individu, agama, negara dan bangsa seseorang. Dengan membaca bukan sekadar ilmu pengetahuan yang akan diperolehi, tetapi yang lebih penting, adalah pemikiran atau mentaliti yang bertamadun. Pemikiran yang telah diasah dengan membaca akan mengubah sifat, sikap, tabiat dan perbuatan seseorang. Lagi-lagilah ketika ramai umat Islam tidak menunjukkan sikap bertamadun malah memburukkan lagi memalukan agama sendiri.

Maka bacalah.


Oleh: Azzad bin Hamzah

Berikut adalah buku-buku yang berada dengan saya sekarang. Sesiapa yang berminat untuk membaca, boleh datang dan pinjam:
1.Assault On Reason, Al Gore
2.In Good Faith, Zaid Ibrahim
3.Clashes of Fundamentalism,Tariq Ali
4.Towards A Competitive Malaysia:Development Challenges in the 21st century, Bakri Musa
5.The Asian Renaissance, Anwar Ibrahim
6.Japan Rising, The Resurgence of Japanese Power and Purpose, Kenneth Pyle (hampir habis dibaca)
7.The Bible, The Biography, Karen Armstrong (belum dibaca)
8.Superclass, The Global Power Elite And The World They Are Making, David Rothkopf (belum dibaca)