28 Disember 2008

MEMBACA

Surah 96: Al-Alaq, Ayat 1-5
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)

Ayat al-Quran di atas kerap diulas oleh para ahli agama tentang 'kedudukan' membaca dalam Islam. Namun sedih melihat apabila ianya digunakan untuk meyakinkan umat Islam dan manusia bahawa Islam 'sebenarnya' menggalakkan umatnya membaca atau menimba ilmu. Seolah-olah kalau tiada firman di atas, maka tidak perlulah kita membaca. Lagi pilu apabila melihat kejahilan dan ketinggalannya umat dalam bidang sains dan teknologi. Lagi malu menonton para ahli agama ungkit dengan rasa 'bangga' kejayaan zaman kegemilangan Islam lampau sebagai lambang bahawa Islam menitik beratkan penguasaan ilmu, tanpa inisiatif yang pragmatik untuk menyelesaikan kemunduran umat kini. Perlukah kita meyakinkan orang ramai bahawa agama kita sebenarnya menggalakkan kita membaca?

Kenyataan yang lebih tepat dan sesuai dengan zaman kita adalah, agama kita menegaskan bahawa jatuh naiknya tamadun Islam bergantung kepada 'tabiat' membaca umatnya. Ceritakan bagaimana umat Islam terdahulu membaca karya tamadun Yunani dan Rom yang menjadi batu loncatan ketamadunan Islam. Barulah tersentak pendengarnya.

Kemunculan media elektronik telah menghakis minat manusia untuk membaca. Di alam buku Assault on Reason tulisan Al Gore, bekas naib presiden Amerika, selain membincangkan kaitan 3 komponen reason-fear-faith dan kepincangan korupsi sistem politik Amerika, terdapat satu bab di mana beliau menceritakan bagaimana cara pemikiran manusia telah berubah akibat kemunculan 'media elektronik' di persada dunia. Gambaran visual dan bunyi yang dipancarkan oleh TV dan radio mampu mempengaruhi penonton dan pendengar dengan lebih berkesan berbanding media cetak.

Media elektronik juga telah menumpul ketajaman pemikiran manusia. Apa yang berlaku adalah proses rasionalisasi tentang sesuatu isu itu telah ditentukan oleh suatu pihak dan 'dibungkus' dengan visual dan bunyi yang menyokong pendirian tersebut. Akhirnya bungkusan ini hanya ditelan oleh penonton bulat-bulat. Individu-individu merasai logik dan rasionalnya pendapat tersebut, namun pencernaan tentang suatu isu itu tidak berlaku lagi-lagilah maklumat yang diberi hanyalah daripada sebelah pihak. Al Gore menjelaskan begitu terperinci hingga ke tahap anatomi dan fisiologi otak manusia, bagaimana emosi manusia mempunyai pengaruh besar terhadap pemikirannya. Sudut emosi inilah yang dimanipulasi oleh media elektronik supaya dapat menggerakkan manusia terhadap sesuatu propaganda. Contoh yang jelas adalah bagaimana media Amerika mengeksploitasikan emosi takut di kalangan rakyatnya, menggunakan imej pengganas, letupan, pembunuhan kanak-kanak supaya menjustifikasikan perang di dalam minda mereka.

Membaca berkait rapat dengan ideologi demokrasi yang berlaku seiring dengan revolusi media cetak. Demokrasi bangkit bersandarkan pada apa yang didiskripsikan oleh Al Gore sebagai 'well-informed citizenry'. Ini bermakna rakyat berhak dan bebas memperoleh maklumat. Ini penting supaya rakyat mampu menilai sesuatu itu dengan adil, selari dengan kuasa yang dipegang mereka dalam sistem demokrasi. Di sinilah terletaknya peranan membaca. Seperti yang dikatakan di atas, media cetak adalah tiang asas demokrasi. Suratkhabar, novel, buku bukan fiksyen, majalah ekonomi, sains dan teknologi dan sebagainya melalui pembacaanya melahirkan rakyat yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran untuk menilai, matang dan bertamadun.

Terdapat perbezaan antara media cetak dan media elektronik. Ketika membacalah, sebenarnya akal pemikiran kita berfungsi pada kemampuannya. Apabila membaca, otak kita mampu bersikap analitik, kritikal, munasabah, logikal, rasional terhadap perkara yang dibaca. Apa yang tidak difahami dibaca balik, dipersoal apa yang meragukan, hadam apa yang masuk akal. Proses sedemikian tidak atau kurang berlaku apabila berdepan dengan media elektronik, di mana otak lebih kepada menerima daripada memproses kerana tiada kesempatan. Al Gore menyalahkan media elektronik sebagai salah satu punca merudumnya 'semangat' demokrasi di kalangan rakyat.

Sumber bacaan mestilah neutral atau berpihak seminimum mungkin. Ianya juga biarlah hasil penulisan yang bersifat universal dan memiliki nilai intelektual yang tinggi. Bukannya Utusan, Harakah, Malaysiakini dan sebagainya. Namun orang yang banyak membaca, berfikiran waras akan mempunyai kemahiran untuk menilai apabila membaca sumber seperti disebut kerana mereka berpengetahuan dan matang pemikiran. Manakala manusia picisan yang tidak membaca, mudah terpengaruh dengan setiap berita sumber diatas. Sebab itulah ada kawan yang datang jumpa dan berkata pada saya,"Serabutlah baca isu politik di Malaysia, bila baca suratkhabar ni katanya macam ni, bila baca berita suratkhabar tu lain pulak. Pening aku. Tak tahu nak percaya mana satu." Saya kata padanya, "Kita diperbodohkan oleh ahli politik tak kisah kerajaan ke pembangkang. Mereka tahu kita bodoh, maka diorang perbodohkan kita." Saya nasihatkannya supaya banyak membaca buku ilmiah.

Kita boleh membezakan orang yang membaca dan orang yang tidak membaca. Saya jumpa contoh yang baik di laman web iluvislam.com (sila klik sini). Kalau kita lihat di bahagian komen artikel tersebut, kita dapat asingkan dua golongan tersebut. Golongan yang membaca mampu memberi pendapat yang bernas, berhujah dan menjustifikasikannya. Manakala golongan tidak membaca atau jahil pula hanya mampu mengeluarkan ayat retorik yang diajar ustaz-ustaz mereka. Saya tidak mengatakan bahawa idea mereka salah, tetapi mereka seharusnya mampu berhujah, bukan sekadar melaungkan sesuatu dan menyorok di belakang nama agama.

Kekolotan umat Islam ketara apabila sukar untuk saya mencari buku ilmiah tulisan seorang muslim. Kebanyakan buku yang ada hanyalah tertumpu pada bidang agama seperti tauhid dan ibadat. Bukannya memperlekehkan bidang tersebut, tetapi ini menggambarkan betapa terpinggirnya umat Islam dalam aliran ilmu duniawi. Ini diburukkan lagi dengan mentaliti kita yang menganggap bahawa buku potitik, ekonomi, sosial dll hanya mampu dibaca dan difahami pakar dalam bidang tersebut sahaja.

Pada zaman dahulu, sememangnya tiada pembahagian ilmu mengikut aliran secara jelas, maka para ilmuwan dahulu dilihat mampu menguasai pelbagai bidang seperti Ibn Sina dalam bidang kimia, falsafah, matematik, astronomi dan sebagainya. Walaupun kini ilmu dibahagikan dan telah berkembang dengan lebih terperinci, ini tidak sepatutnya menghalang seseorang itu untuk membaca buku dalam pelbagai bidang. Seperti mana orang ramai perlu mengetahui tentang penjagaan kesihatan, perancangan kewangan peribadi, pendidikan anak, keterampilan diri dll walaupun mereka bukan doktor, ahli ekonomi, akauntan, guru, stailis dll.

Mesej yang ingin disampaikan di dalam ayat Quran di atas adalah betapa pentingnya membaca. Di mana melaluinya, Tuhan mengajar kita mengubah nasib individu, agama, negara dan bangsa seseorang. Dengan membaca bukan sekadar ilmu pengetahuan yang akan diperolehi, tetapi yang lebih penting, adalah pemikiran atau mentaliti yang bertamadun. Pemikiran yang telah diasah dengan membaca akan mengubah sifat, sikap, tabiat dan perbuatan seseorang. Lagi-lagilah ketika ramai umat Islam tidak menunjukkan sikap bertamadun malah memburukkan lagi memalukan agama sendiri.

Maka bacalah.


Oleh: Azzad bin Hamzah

Berikut adalah buku-buku yang berada dengan saya sekarang. Sesiapa yang berminat untuk membaca, boleh datang dan pinjam:
1.Assault On Reason, Al Gore
2.In Good Faith, Zaid Ibrahim
3.Clashes of Fundamentalism,Tariq Ali
4.Towards A Competitive Malaysia:Development Challenges in the 21st century, Bakri Musa
5.The Asian Renaissance, Anwar Ibrahim
6.Japan Rising, The Resurgence of Japanese Power and Purpose, Kenneth Pyle (hampir habis dibaca)
7.The Bible, The Biography, Karen Armstrong (belum dibaca)
8.Superclass, The Global Power Elite And The World They Are Making, David Rothkopf (belum dibaca)

27 November 2008

A HISTORY OF GOD by Karen Armstrong

Dalam buku ini, antara perkara utama yang dapat diungkapkan adalah manusia telah mencuba berbagai cara dalam memenuhi nalurinya untuk ‘menjumpai’ Tuhan, mengikut aliran zaman.

Di dalam aliran ‘rationalism’, manusia cuba membuktikan kewujudan Tuhan dengan menggunakan akal. Di zaman Yunani sebelum datangnya Islam lagi, kita dapat lihat ahli falsafah mereka seperti Plato dan Aristotle yang cuba meneliti jirim. Hinggakan terkenalnya frasa yang diungkapkan Aristotle iaitu ‘the unmoved mover’ yang dikaitkan dengan Tuhan. Kemudian apabila diperincikan pengunaan logik dan rasional, terbahagi pula kepada golongan gnostik dan agnostik iaitu golongan yang mempercayai bahawa sifat Tuhan itu boleh diketahui melalui akal dan golongan yang tidak.

Ada di kalangan pemikir Islam yang melihat bahawa pengaruh rationalism Yunani ini telah merosakkan Islam di kemudian hari, kerana telah mewujudkan golongan obses kepada akal semata-mata seperti muktazilah. Di dalam buku Islam Liberal, antara penulisnya, Mohd Asri bin Zainal Abidin, telah menyalahkan pengaruh falsafah Yunani yang menjadikan perkara akidah atau tauhid sukar untuk difahami. Sedangkan akidah Islam yang sepatutnya menjadi asas setiap individu, haruslah mudah untuk difahami dan bukan hanya boleh difahami oleh ahli cerdik pandai(ahli falsafah).

Kisah Nabi Ibrahim yang menolak bulan, bintang dan matahari sebagai Tuhan adalah contoh bagaimana manusia mampu menggunakan akal untuk mengenali Tuhan. Akal yang sihat mengatakan bahawa Tuhan itu haruslah kekal. Di zaman kegemilangan Islam dulu, di saat berkembangnya aliran rationalism inilah cabang ilmu agama dan duniawi berkembang pesat sehingga menjadikan tamadun Islam ketika itu terulung di dunia.

‘Mysticism’ yang muncul selepas rationalism mendekatkan manusia dengan Tuhan melalui satu perasaan yang dihuraikan sebagai ‘transcending divine sensation.’ Dikatakan mereka yang mengamalkannya dapat merasai kehadiran Tuhan. Perasaan tenang ini mampu dirasai dengan melakukan ibadat, bacaan mantera, doa, senaman dll. Imam Ghazali dikatakan dalam buku ini, yang hampir mengalami depresi mempelajari aliran rationalism, telah beralih ke aliran mysticism.

Penulis percaya bahawa ini adalah aliran utama yang diamalkan umat Islam zaman kini. Ketahuilah bahawa perkembangan mysticism pada zaman tersebut, berlaku seiring dengan kejatuhan kegemilangan empayar Islam.

Aliran Romanticism yang kemudiannya muncul, menumpu kepada emosi manusia yakni kasih sayang, belas kasihan, simpati, memaafkan dll. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam amalan Christian Evangelical di mana ayat-ayat seperti “God loves you, he just want you to love him back”, “Jesus was crucified so that God would forgive our sins” dan lain-lain membuatkan manusia merasai kasih sayang Tuhan.

Aliran ‘Empericism’ bangkit seiring dengan renaissance barat. Perkembangan sains dan kejayaan pengindustrian menjadikan manusia percaya bahawa sesuatu itu hanya benar apabila dibuktikan dengan sains. Sains bergantung hanya pada pemerhatian dan eksperimen. Di saat ini, wujud saintis yang mengakui kewujudan Tuhan akibat daripada pemerhatian ajaiban alam melalui sains. Namun kemudiannya, bangkit saintis yang mengatakan bahawa Tuhan tidak dapat dibuktikan kewujudannya melalui sains, maka Tuhan tidak diyakini wujud. Di dalam Quran banyak menyebut firman Tuhan menyuruh manusia mengguna derianya melihat, mendengar dan merasai ciptaan Tuhan di sekelilingnya supaya mereka menjadi orang yang bertakwa.

Di sini merupakan titik genting, di mana atheism berkembang dengan pesat dan secara terbuka. Ahli falsafah yang kononnya dikatakan terhebat yang pernah wujud iaitu Nietszhe telah membuat deklarasi bahawa “God is dead.” Beliau mengatakan Tuhan adalah imaginasi yang wujud di minda manusia sewaktu berada di fasa ‘human’. Dan kini apabila manusia telah tersedar (enlightened) maka manusia yakni pada fasa ‘superhuman’ tidak perlu lagi kepada Tuhan. Maka Tuhan telah mati.

Maka aliran yang mana satu yang benar? Adakah manusia akan terus mencari Tuhan dengan caranya tersendiri? Kesemua aliran atau cara-cara di atas mampu membawa kita menghampiri Tuhan tanpa ragu-ragu. Tiada satu antara yang lain salah. Akal manusia(rationalism) mampu membuktikan kewujudan Tuhan, ketenangan hati(mysticism) membolehkan kita merasai kehadiran Tuhan, buaian emosi(romanticism) memperkenalkan kita dengan sifat Tuhan dan deria manusia(empericism) memperlihat kekuasaan Tuhan.

Namun apa yang salah adalah apabila kita hanya tertumpu kepada satu aliran atau komponen semata-mata tanpa mempeduli aliran lain. Contohnya mereka yang tertumpu pada komponen mysticism boleh dikatakan terputus daripada dunia realiti, bertindak tanpa menggunakan akal, tidak mengambil kira emosi orang lain dan tidak mampu berhujah dengan fakta. Maka wujudlah golongan ekstremis, fanatik dan terrorist yang merasai ketenangan hati dan meyakini bahawa tindakan bodoh mereka itu adalah selari dengan arahan Tuhan. Golongan liberal pula terlalu taksub dengan akal dan kemajuan sains mereka sehinggakan hati busuk mereka mampu menjustifikasikan pelacuran, peperangan, seks bebas sebagai suatu hak.

Maka apakah sudah cukup dengan menggunakan akal, hati, emosi dan deria manusia untuk mengenali Tuhan? Tidak sama sekali. Di sinilah masuknya peranan rasul, nabi dan kitab-kitab daripada Zabur hingga ke Quran untuk menceritakan suatu yang tak tercapai akal manusia, yang tak pernah dirasai hati manusia, tak tersentuh emosi manusia dan yang tak diperasan deria manusia. Maka dengan itu lengkaplah agama.

Memetik kata Karen Armstrong:

“I say that religion isn’t about believing things. It's about what you do. It’s ethical alchemy. It’s about behaving in a way that changes you, that gives you intimations of holiness and sacredness.”




Oleh: Azzad bin Hamzah

03 November 2008

KEBERGANTUNGAN DALAM PERKAHWINAN

Hubungan dalam institusi perkahwinan bukanlah sekadar bersandarkan kasih sayang atau kemuncaknya iaitu cinta. Ia sebenarnya melambangkan ‘kebergantungan’(dependence) antara seorang lelaki dan seorang wanita dalam menjalani hidup. Mungkin boleh dikatakan semakin bergantung pasangan itu antara satu sama lain, maka semakin utuhlah rumah tangga mereka. Interaksi ‘saling bergantung’ ini dapat dicungkil satu persatu dalam kehidupan seharian. Seperti artikel sebelum ini, penulis gemar membandingkan perkahwinan zaman dulu dengan zaman sekarang.

Pada zaman dulu, kebergantungan dalam perkahwinan sangat erat. Memandangkan pekerjaan zaman itu lebih berorientasikan tenaga buruh (labor-oriented), lelaki memainkan peranan dominan dalam mencari nafkah untuk keluarga manakala si isteri sebagai suri rumah. Pembahagian peranan ini adalah contoh jelas kebergantungan dimana tanpanya pasangan akan menghadapi masalah memenuhi keperluan seharian. Suami juga menjadi pelindung kepada keluarga daripada unsur bahaya. Selain sebagai tempat mendapat belaian kasih sayang dan sokongan emosi, perkahwinan juga mengizinkan pasangan memenuhi naluri semulajadinya dengan cara yang diterima norma masyarakat. Yakni memenuhi nafsu batinnya dan juga keinginan untuk memperoleh zuriat.

Perkahwinan boleh disamakan dengan hubungan simbiosis yang dapat dilihat dalam fenomena alam. Setiap makhluk yang dicipta tiada yang sempurna atau dengan kata lain berbeza, dimana masing-masing mempunyai kekurangan dan kelebihan. Simbiosis membolehkan individu(jantina) menampung kekurangan masing-masing dan yang lebih penting memperolehi sesuatu yang tidak mampu dicapai secara berseorangan. Ingin dinyatakan bahawa kebergantungan ini adalah semulajadi dan merupakan sebahagian daripada hukum alam.

Bukan hendak merendahkan status manusia sama binatang, tetapi terdapat unsur ‘main peranan’ (role playing) dalam fenomena alam. Kalau dilihat pada burung, burung jantan memainkan peranan membina sarang dan mencari makanan manakala burung betina mengeram dan menetas telur. Singa jantan yang memiliki tubuh yang kuat tetapi berat bertanggungjawab menjaga kawasannya dan hanya berfungsi apabila ada singa lain cuba menceroboh. Singa betina pula yang lebih lincah, bersusah payah memburu binatang tetapi singa jantan pula yang berhak makan dahulu. Apabila sudah puas, barulah singa betina dan anak-anaknya mampu makan. Unsur main peranan ini juga merupakan faktor kebergantungan yang penting dalam perkahwinan manusia.

Kebergantungan dalam perkahwinan menjadikan hubungan lebih erat dan kukuh kerana ia mengikat pasangan secara keperluan fizikal, mental, emosi, batin, jaminan keselamatan, zuriat dan sebagainya. Ia juga membolehkan fungsi keluarga berfungsi dengan lebih efisien dan berkesan melalui main peranan.

Namun kebergantungan yang teramat juga akan memberi masalah, yang penulis lihat hanya banyak berlaku pada makhluk berintelektual tinggi seperti manusia. Sudah menjadi persepsi masyarakat, apabila hanya suami sahaja yang bertanggungjawab mencari nafkah, si isteri terdedah kepada penderaan, penganiayaan dan penindasan. Si perempuan tidak melawan, atas rasa takut atau malu, juga atas sebab bergantung kepada suami untuk mendapat nafkah. Apabila berlaku penceraian, si isteri menjadi hilang punca kerana tidak mampu berdikari mencari wang dan harta. Maka menjadi norma zaman kini untuk wanita bekerja, atas dasar ingin lebih berdikari (independent) di bawah payung feminisma. Dalam dunia yang kadar penceraian semakin meningkat dan suami yang lari daripada memberi hak kepada isteri semasa berkahwin dan selepas penceraian, kita tidak mampu untuk menidakkan hujah tersebut.

Pada zaman kini, kemodenan dunia bukan sahaja membawa arus perubahan politik dan ekonomi. Aspek sosial masyarakat seolah-olah menjadi tong sampah, menerima segala keburukan akibat pemodenan tanpa perhatian pemimpin. Akibatnya institusi perkahwinan dan keluarga semakin longgar kerana aspek sosial tidak dilihat sebagai sesuatu yang produktif. Antara cabaran yang dihadapi adalah pergaulan bebas dan hubungan seks luar nikah. Ini telah meragut perkahwinan daripada kepentingan untuk berkahwin, dimana menjanjikan pengiktirafan dan perlindungan oleh undang-undang terhadap pasangan. Negara maju seperti Rusia, Jepun dan Singapura, menunjukkan penurunan kadar kelahiran meruncing di kalangan rakyatnya, atas alasan ketidakupayaan daripada segi kewangan. Tidak boleh dinafikan bahawa antara sebab utama adalah perubahan cara hidup golongan muda yang berorientasikan kemewahan, keseronokan, kebebasan yang dilihat disekat oleh kehidupan berkahwin dan beranak. Pelacuran yang berleluasa, malah ada yang sah di sisi undang-undang di Barat, juga menepis akan perlunya perkahwinan dan memporak-porandakan institusi keluarga.

Dengan tiadanya konsep main peranan, kurang keinginan mendapat anak, penjalinan hubungan seks secara bebas, hidup berorientasikan keseronokan semata-mata, penceraian yang semakin meningkat dan perubahan arus moden yang lain, maka ‘kebergantungan’ dalam institusi perkahwinan boleh dikatakan ketandusan. Perkahwinan yang hanya mengharapkan kepada faktor cinta sahaja pastinya rapuh dan mudah goyah. Perkahwinan memerlukan sesuatu keperluan yang mampu dilihat (tangible) dan tidak mudah berubah (immutable). Juga timbul persoalan mengapa kita perlu berkahwin jika kita begitu berdikari? Sedangkan anak luar nikah, hubungan seks bebas, penceraian sudah diterima sebagai norma masyarakat seperti di barat. Kita sudah dapat apa yang kita perlu tanpa ikatan perkahwinan.

Namun pada masa yang sama tidak dinafikan bahawa perkahwinan yang berdasarkan kasih sayang semata-mata mampu bertahan dan tidak boleh dikatakan salah. Ini adalah kerana keutuhan perkahwinan bukan sekadar bergantung kepada satu faktor iaitu struktur perkahwinan sahaja, malah sikap, personaliti pasangan, kedudukan sebelum berkahwin dan lain-lain turut memain peranan. Yang pastinya perkahwinan sedemikian memerlukan sokongan keyakinan (reassurance) yang lebih kerap atau dengan kata lain, hubungan yang lebih romantis seperti memberi bunga, meluah kata cinta dll.

Mungkin penulis akan dilihat sebagai konservatif apabila berpendapat bahawa main peranan adalah tiang utama sebuah keluarga. Sebagaimana agama lain, Islam juga menekankan akan kepentingan institusi keluarga. Malah Islam mencacak teguh prinsip main peranan ini dengan menyenaraikan peranan suami dan isteri berlandaskan al-Quran dan hadith. Suami berperanan sebagai pemimpin, pelindung, pencari nafkah manakala isteri sebagai pendukung, pendidik anak-anak dan pemegang amanah. Hubungan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dengan ‘mencipta’ kebergantungan, malah menjadikan tugas lebih efisien dan kurang konflik ego.

Sebelum diherdik golongan feminisma, penulis ingin menegaskan bahawa ini bukan bermaksud bahawa wanita tidak boleh memimpin, bekerja, menjaga diri sendiri mahupun lelaki tidak perlu mendidik anak-anak, bantu mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Sebaliknya hanya memperincikan peranan utama mereka dalam institusi keluarga. Atas perubahan yang dibawa pemodenan, di samping bekerja, wanita tetap harus menggalas tanggungjawab utama mereka iaitu pendidik utama anak-anak. Mereka perlu dominan dalam perkara ini sesuai dengan kebolehan semulajadi mereka. Dalam sesetengah keluarga, wanita berperanan merancang perbelanjaan, aktiviti keluarga tanpa mempertikaikan kepimpinan suami. Dengan cabaran persekitaran zaman kini, lelaki juga perlu memain peranan lebih dalam mendidik anak-anak, membantu kerja rumah dan sebagainya.

Golongan liberal pasti melihat isu kebergantungan dalam perkahwinan dengan sinis atas rasa prejudis. Mereka pasti melihatnya sebagai chauvinistik dan satu cara menjustifikasi penindasan terhadap wanita. Mereka lagi rela mempertahankan kebebasan seks, pelacuran yang sah di sisi undang-undang, kebebasan memilih untuk bercerai. Namun, diharap hujah-hujah di atas mampu memberi pandangan yang baru dan segar dalam melihat punca kemerosotan institusi rumah tangga.



Oleh: Ninja Kura-Kura

08 Oktober 2008

ANTARA AKAL DAN CINTA

Setelah lama tidak berkarya, akhirnya saya merajinkan diri untuk menaip sebuah artikel yang rangkanya telah disiap berbulan lepas. Diri saya berasa segan untuk bertutur mengenai perkara ini, mungkin sebab rasa tidak sesuai untuk saya perkatakan atau akibatnya pada diri saya selepas mengeluarkan artikel ini.

Satu fenomena yang tidak dapat dielakkan oleh remaja zaman kini adalah berkenaan percintaan. Saya memilih untuk menghurainya secara objektif dan kritikal tanpa dibuai-buai perasaan. Dengan harapan dapat menyedarkan pembaca daripada angau bercinta.

Ia fenomena zaman kini mungkin disebabkan zaman 2-3 generasi lalu, perkahwinan jarang didahului percintaan ataupun kalau bercinta pun tidaklah bagai nak rak seperti zaman kini. Saya akan cuba membandingkan kedua-dua zaman ini agar dapat mengupas munasabahnya perkara yang saya ingin katakan.

Isu ini jadi lebih kompleks apabila kita membawa agama Islam dalam persepsi. Saya tidak akan bercerita panjang lebar tentang pandangan Islam kerana saya percaya pembaca semua tahu, selain hanya memberi contoh seperti hubungan pertunangan dan perkahwinan yang diiktiraf, hukum bercinta, peranan wali dll.

Setelah menelaah semua perkara berkaitan, didapati perkara atau masalah utama yang harus dibincang secara panjang lebar adalah isu berkenal sebelum kahwin. Kalau tak kenal maka tak cinta maka tak kahwin. Adalah perlu untuk kita berkenalan secara mendalam yakni bercinta sebelum berkahwin. Adalah tidak masuk akal untuk seseorang itu lagi-lagilah wanita untuk berkahwin dengan bakal pasangannya tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Ini adalah naluri semula jadi manusia. Ironiknya, pada zaman dulu, perkahwinan yang dirancang oleh keluarga adalah satu kebiasaan tanpa bantahan.

Lagi-lagi zaman sekarang ini di mana kadar penceraian semakin meningkat. Ditambah lagi banyak kes menipu apabila pasangan menyamar sebagai orang kaya, anak Dato’. Adalah rasional untuk kita berhati-hati dalam memilih pasangan. Pasangan yang baik tidak cukup, seboleh-bolehnya sekufu bagi memastikan perkahwinan bahagia.

Jika diperhatikan, pada zaman percintaan berleluasa inilah kadar penceraian meningkat, sebaliknya pada zaman dahulu dimana atuk dan nenek kita ada sesetengahnya hanya bertemu muka pada hari pernikahan, penceraian adalah suatu yang sangat asing. Ada yang berpendapat tidak adil untuk dibandingkan sedemikian, ini kerana para isteri yang tidak merasa bahagia atau dizalimi pada waktu dulu terikat dengan perkahwinan dan tidak mampu untuk berdikari tatkala bercerai. Juga menjadi norma pada waktu lalu untuk berasa malu yang teramat terutama si isteri sehinggakan sanggup didera daripada bercerai.

Namun kurang enak untuk melihat anak muda kerap bertukar-tukar pasangan, meskipun setiap kali bercinta bagaikan itulah cintanya awal dan akhir. Sehinggakan selepas berkahwin pun, penceraian menjadi satu perkara yang biasa. Di saat akal mengata bahawa berkenalan itu perlu tetapi realiti menunjuk bahawa ianya tiada kesan terhadap keutuhan perkahwinan, timbul persoalan adakah perkenalan atau percintaan dapat menjamin kebahagiaan?

“Love is overrated” status YM seorang kenalan. Media banyak memainkan peranan dalam menyemaikan perasaan ingin bercinta. Percintaan digambarkan dengan indah sekali menerusi pelakon yang cantik, dialog yang romantis, plot cerita yang mendayu-dayu dan pengakhiran yang bahagia. Tetapi cerita drama atau filem ini gagal menggambarkan kehidupan realiti manusia yang sebenar. Rancangan realiti pun perlu diubah, ditambah muzik dan sebagainya supaya ianya dapat menarik penonton. Kehidupan sebenar manusia sangatlah berbeza sebagaimana bezanya perkahwinan pelakon dalam filem dan kehidupan sebenar mereka. Mungkinkah perkahwinan dan percintaan tidak mempunyai kaitan?

Jika mengambil kira perkara-perkara di atas, cinta itu sangat menipu daya. Pertama seolah-olah bercinta itu boleh dengan sesiapa sahaja setelah berkerap kali bertukar pasangan. Setelah lama bercinta dan berkahwin pun boleh berakhir dengan penceraian atas alasan tidak lagi saling mencintai, tiada jodoh lagi dll, menunjukkan cinta itu tidak kekal. Maka perkahwinan yang berlandaskan cinta juga tidak akan kekal. Bibit awal percintaan memberi ‘ecstacy’ kepada pasangan, tetapi setelah lama berkenalan ‘semangat’ tersebut luntur dan membawa mereka kembali ke dunia realiti yang mereka anggap sebagai petanda perpisahan.

Yang pasti, berkenalan semestinya tidak salah. Jika kita cuba merungkai mesej-mesej yang diselitkan Islam, di sebalik keterbatasan yang diajar agama kita, kita dapati perkenalan yang diizinkan berupa sederhana. Ianya lebih kepada perkenalan menggunakan akal dan bukan perasaan. Yakni bukan buaian cinta yang menjadi penentu kesesuaian calon suami atau isteri, tetapi penilaian yang dilakukan oleh akal yang sihat. Kriteria agama yang diutamakan adalah luas, bukan sekadar agama yang dipegang tetapi termasuk juga sikap tanggungjawab, penyabar, bijaksana dan sebagainya. Ciri-ciri ini tidak mampu dinilai dengan mendahului perasaan yakni cinta, kerana di saat dilamun cinta, semua sifat pasangan diagungkan, dan pasangan juga secara tidak sedar, tidak menunjuk sifatnya yang sebenar. Senang kata akal tidak mampu menilai dengan tajam di saat perasaan dilamun cinta. Di saat membuat keputusan memilih pasangan seumur hidup, adakah kita mampu untuk lalai? Ini dibuktikan lagi dengan peranan yang diberikan kepada bapa sebagai wali untuk menolak calon pasangan atas pertimbangan yang wajar. Wali sebagai orang ketiga mampu menilai dengan tajam tanpa dipengaruhi oleh mainan perasaan cinta, sepertimana hakim sebagai orang ketiga berupaya mengadili pertelingkahan.

Manusia juga perlu dibawa kembali ke alam perkahwinan realiti. Kita harus akur bahawa keindahan perkahwinan yang tertanam di fikiran kita tidak selari dengan suasana sebenar. Kerana apabila harapan kita terlalu tinggi, perkahwinan kita tidak mencapai ‘jalan cerita’ yang diidamkan, pasangan akan kecewa dan mudah memilih jalan keluar. Bukan ingin memadam cita-cita memiliki perkahwinan yang bahagia, tetapi bagaimana yang ditakrifkan sebagai bahagia. Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Rasulullah sendiri menggalakkan perkahwinan atas dasar suka sama suka tetapi perasaan suka patut disandarkan pada agama dan bukan cinta. Cinta itu hanyalah puncak kasih sayang, tetapi kasih sayanglah yang sebenarnya membahagiakan.




Oleh: Ninja Kura-Kura
PS: Selamat Hari Raya

03 Jun 2008

ANTARA GILA KUASA DAN PENGECUT

Timbul satu masalah yang sukar untuk difahami di dalam komuniti Islam Melayu. Betapa sukarnya untuk melantik pemimpin sehingga kadang-kadang perlu dirayu-rayu, dipujuk-pujuk barulah setuju, itupun dalam hatinya seboleh-boleh tak mahu.

Ini adalah salah satu daripada ‘penyakit’ atau dogma masyarakat Islam generasi muda. Akibat kurang tepat tafsiran akan mesej yang cuba disampaikan oleh Islam, maka lain pula jadinya. Anak-anak muda diajar sejak kecil oleh guru-guru agama, ibu bapa dan orang-orang di sekeliling mereka supaya takut untuk memegang jawatan atau tanggungjawab. Dari satu sudut, ianya nampak begitu ‘cantik’ kerana ya, jawatan adalah suatu amanah yang berat untuk dilaksanakan. Tetapi dari satu sudut yang berlainan, ia menghasilkan generasi ‘pengecut’ yang lari daripada tanggungjawab memimpin sebagai ketua.

Di dalam sesebuah masyarakat, adalah fardhu kifayah untuk tampil di kalangan mereka seseorang untuk memimpin. Maka perlu ada sekelompok yang ‘berkeinginan’ untuk menjadi pemimpin dan berusaha mempersiapkan diri ke arahnya. Sebaliknya menjadi persepsi tegar daripada pandangan kita untuk melihat mereka ini sebagai golongan yang ‘gila’ kuasa dan memiliki sifat-sifat negatif (mazmumah) menurut Islam. Kita seharusnya membezakan meminta-minta kuasa seperti yang tidak disukai oleh Rasulullah, dengan kesediaan dan kesanggupan untuk menunaikan ‘kerja’ fardhu kifayah ini.

Pastinya wujud jawap balas yang mengatakan Islam tidak pernah menyuruh umatnya lari daripada tanggungjawab, cuma kita dilarang meminta-minta, mengejar-ngejar jawatan. Seperti kata Raja Petra Kamaruddin, “Islam secara teorinya cantik, tetapi realitinya tidak. Lihatlah negara mana yang termiskin, paling tinggi kadar buta hurufnya dll.” Begitulah situasinya di sini, di mana orang akan kata sedemikian, tetapi realitinya apa yang terpacak teguh di minda kita adalah “jangan jadi pemimpin”. Kita jadi takut dengan amaran bahawa pemimpin akan disoal tanggungjawabnya di akhirat kelak, dan terikut-ikut dengan kisah para ulama lampau yang menolak jawatan itu dan ini. Kata-kata dan kisah-kisah sedemikian sepatutnya melahirkan generasi pemimpin yang memerintah dengan adil dan penuh tanggungjawab tetapi sebaliknya akibat salah cara mendidik, lahirlah generasi yang takut dengan tanggungjawab.

Golongan sedemikian mungkin membentuk hanya sebahagian kecil daripada komuniti Islam. Ini amat kontra dengan dunia politik Malaysia yang tidak pernah ketandusan orang yang sanggup memegang jawatan. Tetapi jika kita fikirkan impaknya pada jenis pemimpin yang akan mendominasi pentas kepimpinan, maka kita akan berfikir dua kali.


Lagi-lagi di dalam sistem politik demokrasi sesebuah negara. Melobi-lobi sudah menjadi suatu kebiasaan dalam proses menjadi pemimpin. Dengan cara mengamalkan politik wang, mengeluar kenyataan perkauman sebagai hero, memfitnah pesaing dll, pastinya daripada suasana budaya sedemikian akan ‘diangkat’ sebagai pemimpin, mereka yang tamak kuasa, pecah amanah dan mengamalkan rasuah. Pada waktu yang sama, apa yang sedang dilakukan oleh calon pemimpin yang memiliki kualiti Islam? Mereka hanya akan bersikap pasif dan tunggu. Disebabkan dogma yang tertanam dalam diri, ‘berkeinginan’ untuk memimpin pun sudah dipadam awal-awal, apatah lagi untuk menonjolkan diri sebagai pemimpin.

Mungkin di dalam sistem khalifah dan beraja, individu berkualiti Islam yang ideal ini, yang tidak bercita-cita mahupun menonjol diri untuk menjadi pemimpin, akan dilantik sebagai pemimpin. Itupun bergantung pada jenis raja yang bagaimana. Bagaimanapun realiti dunia kini tidak mengizinkan. Untuk menjadi calon pilihanraya perlu melobi, untuk menang dalam pilihanraya perlu berkempen. Bukankah kedua-dua perkara ini menunjukkan bahawa individu berkenaan ‘inginkan’ jawatan.

Bukan bertujuan untuk menggalakkan generasi muda bercita-cita menjadi pemimpin, tetapi mesej yang ingin disampaikan oleh Islam harus diperjelaskan. Islam ingin umatnya menjadi pemimpin yang amanah dan adil, bukan melihat tanggungjawab sebagai sesuatu yang amat berat semata-mata. Kesanggupan menawar diri dan meminta-minta jawatan harus dibezakan. Meminta-minta adalah tetap salah.

Dua perkara harus diubah iaitu persepsi diri dan masyarakat Islam terhadap kepimpinan, dan cara institusi masyarakat mendidik generasi muda.

Persepsi kita terhadap ‘berkeinginan’ terhadap jawatan harus diubah. Kesudian tidak cukup, kerana pentas kepimpinan sekarang perlukan individu bertindak proaktif bukan pasif. Oleh itu istilah ‘berkeinginan’(perlengkapkan diri + sanggup + menawar diri) digunakan. Bezanya dengan meminta-minta adalah jika tidak dapat jawatan tersebut, kita tidak akan rasa kecewa, marah mahupun dengki. Kerana ini adalah salah satu kewajiban fardhu kifayah. Maka masyarakat patut berhenti memandang serong terhadap mereka.

Jika para pendidik memahami akan apa yang cuba disampaikan oleh penulis dan berubah, insyaAllah negara kita akan dibarisi oleh pemimpin yang berpegang teguh pada nilai Islam. Kata-kata klise yang selalu berkumandang di lidah mereka harus ‘ditambah’ supaya mesej tulen Islam itu sampai ke telinga pendengarnya.

Jangan meminta-minta jawatan kerana ianya tidak disukai nabi......... tetapi hendaklah kita sentiasa memperlengkapkan diri dengan kualiti kepimpinan sejati supaya bila dipanggil kelak, kita mampu melaksanakan tanggungjawab kita dan kebajikan masyarakat terjamin.


Beban seorang pemerintah itu sungguh berat, setiap tindakannya dan amanahnya akan dipersoal di akhirat kelak............... tetapi jangan sesekali kita gusar, pemimpin itu perlu, jadikanlahnya pemangkin atau pembakar semangat untuk menjadi pemimpin yang amanah dan adil.


Jangan contohi pemimpin si ‘anu’ tu yang gila dan tamak kuasa......... berpeganglah pada tanggungjawab yang sudah ada atau setakat yang mampu, jika ditambah lagi, takut hak orang lain diabaikan.






Oleh: Azzad bin Hamzah

18 Mei 2008

SAJAK: MERAIH CINTA








Sudah tiba usia,
Mengadu domba cinta,
Mekarnya naluri di hati,
Mencari pasangan gerangan makhluk seni,
Yang terkial-kial di dunia fantasi,
Akan bahagia bakal menanti,
Dicucuri romantis kisah dunia,
Memisah akal dari realiti.

Sudah berjuta cerita tersebar,
Masjid dibina masjid diruntuh,
Tidak sedar lagikah jiwa,
Cinta itu harapan palsu,
Diri mengeluh,
Pandang ke langit mencari jawapan,
Pelik sungguh makhluk seni-Mu
Berubah seangkatan zaman.

Kini hidupku, tiba giliranku,
Meraih kasih wanita,
Usah alpa fenomena realiti,
Mungkin, tidak mahupun ku andaikan,
Bekas langkah jangan diturut,
Namun jiwa tidak menentu,
Lain dihajat, lain dipeluk erat,
Sumpahan manusia hingga akhirat.

Ingatkah jiwa janji istikharah,
Sekotor manapun takuk lamamu,
Janganlah bermain dengan cinta,
Penyebab hati mual dunia,
Biar pekak jeritan humanisma,
Merperolok pilihan kata,
Tiada cinta sebelum ikatan,
Tiada cinta melainkan isteri.



Oleh:
Azzad bin Hamzah

10 Mei 2008

POLITIK KEPARTIAN

Politik berdasarkan parti adalah sesuatu yang meletihkan. Hinggakan ada orang yang datang berjumpa meminta justifikasi atas sesuatu perkara yang saya sendiri tidak suka malah tidak tahu menahu.

Politik kepartian merencatkan minda dan pemikiran generasi muda sekarang. Ia menyebabkan individu begitu sempit pertimbangan akalnya sehingga sukar menerima pandangan oleh pihak pembangkang(parti lawan masing-masing). Tidak kira samada ianya betul atau salah, secara sedar atau separuh sedar mereka sebenarnya hanyalah merasionalisasikan apa yang diperkatakan oleh rakan politik mereka tanpa pertimbangan akal yang tajam mahupun penyelidikan yang terperinci.

Hanya pertimbangan akal yang sihat mampu melihat kebenaran, merancang masa hadapan dengan teliti dan juga memilih keputusan yang terbaik untuk masyarakat. Sikap prejudis yang terbentuk sejak kecil lagi atas kecenderongan politik persekitaran mereka menyebabkan mereka buta bila melihat kesalahan pihak sendiri, pekak bila mendengar amaran dan teguran, dan bisu apabila pemimpin mereka yang disanjung melakukan kesilapan besar.

Individu yang suka cepat menilai individu lain atas paksi politik sungguh menjijikkan dan kotor. Mereka bongkak merasakan kepuasan dalam diri kerana menjadi pejuang Tuhan mereka, pejuang hak asasi atau apa-apa sahaja yang diperjuangkannya, sedangkan perasaan itu hanyalah mainan buaian syaitan. Kata-kata aku sanggup mati demi itu, berani bunuh dia kerana menghina ini, sangat meyakinkan bahawa hidup mereka ini bermakna. Mereka ini adalah pesakit mental atau gila.

Tidak usah bangga berkata aku membaca sumber bacaan daripada kedua-dua belah pihak dan menilai. Jika otak kamu sudah gila politik kepartian, tiada gunanya. Hanya minda yang mampu mengkritik tanpa rasa takut demi kebenaran yang akan mampu melihat tembus hijab kejahilan. Adakah anda fikir anda sudah melepasinya? Ya jika anda mampu melihat dan berani menyatakan kepincangan dalam kepimpinan politik ahli-ahli agama hari ini dan ya jika anda dapat kenalpasti banyak amalan yang dianggap biasa diamalkan pendokong kerajaan sebagai korupsi.

Golongan muda seharusnya menggunakan era muda untuk menerima seberapa banyak ilmu dan maklumat yang mungkin. Bukan suka menjatuhkan hukum terhadap sekelompok manusia. Inilah masa untuk kita melibatkan diri dalam dialektik yakni diskusi intelektual yang menggalakkan kita mempertimbang balik pendirian kita, mengasah ketajaman fikiran, bersifat terbuka terhadap pandangan lawan dan juga berhujah berdasarkan logik dan rasional.

Apabila saudara Shaza mengungkit budaya nepotism dan kronism, saya ingatkan beliau tentang tuduhan nepotism terhadap khalifah Uthman r.a. semasa pemerintahannya. Cepat beliau mempertahankan bahawa itu mungkin disebabkan mereka benar-benar berkelayakan.

Bila saudara Tiramisu mengatakan mentaliti kita tidak akan dapat diubah oleh sesiapapun, saya kata jika ahli-ahli agama boleh mengkafirkan lawan politik mereka dan orang kita turut kafirkan mereka, kenapa tidak boleh ahli-ahli agama ini mengubah mentaliti masyarakat kita jika begitu mendalam sekali pengaruh mereka. Cuma sayang barisan ahli agama hari ini bukan terdiri daripada golongan cerdik pandai, tidak seperti semasa zaman kegemilangan Islam dulu. Saudara Tiramisu yang terkenal dengan kedegilannya akhirnya angguk setuju di akhir diskusi.

Saudara Kerang berkata parti yang disokongnya adalah parti yang memperjuangkan Islam dan patut disokong kita semua. Tidakkah beliau peka terhadap kejayaan AK Party(Justice and Development Party) di Turkey mengambil alih kuasa kerajaan melalui pilihanraya dan akhirnya menamatkan larangan memakai hijab di kampus universiti-universiti? Dan kini mereka diancam pembubaran oleh golongan sekular kerana dikatakan menyimpan agenda Islamik. Mereka ini tidak pernah melaung-laung untuk menubuh negara Islam malah menerima sistem sekular yang sudah lama terbentuk. Mereka tidak menyorok atas nama sebuah parti Islam, malah tidak sampai 10 tahun dibentuk, sedangkan parti saudara Kerang ini sudah beberapa dekad dibentuk dan apa yang telah dicapainya.

Ini adalah beberapa contoh diskusi yang menarik antara saya dan rakan-rakan di sebuah lokasi rahsia(memandangkan kami dikelilingi oleh golongan fanatik sebuah parti). Masing-masing berpeluang memberi pendapat mereka berserta hujah-hujah, mendengar dengan niat ingin memahami dan menilai untuk mencari keputusan yang terbaik. Saya percaya di setiap akhir diskusi kami, masing-masing akan tersentak dengan pendirian sebelum ini dan menjadikan kami individu yang lebih matang bila ingin menilai. Kamilah golongan Ulul Albab. Walaupun majalah bulanan kami telah diubahsuai oleh pihak tak bertanggungjawab, kami akan tetap terus bersuara demi kebenaran. Tiada sesiapa boleh menghalang kami.



Oleh: Azzad bin Hamzah

05 April 2008

Boycotting!!??

Bismillahirrahmanirrahim

Penulis ingin mengeluarkan pendapat berkenaan isu pemboikotan dan mungkin memberi jawapbalas terhadap artikel Fitnah filem fitna oleh saudara Abu Said.

Secara umumnya, pemboikotan ada asasnya dan ada kesannya terhadap apa yang diperjuangkan. Namun kita harus faham kenapa dan bagaimana ianya patut dilaksanakan.

‘Kenapa’

Berbezanya isu penghasilan filem fitna di Belanda dan isu lukisan karikatur Nabi Muhammad di Denmark sebelum ini, adalah reaksi dan pendirian yang ditunjukkan oleh para pemimpin negara tersebut. Penulis percaya reaksi yang berbeza kali ini oleh Belanda adalah berpunca daripada impak yang telah dirasai oleh Denmark akibat daripada tindakbalas umat Islam. Iaitu sebagai balasan pemberian ‘restu’ kerajaan Denmark terhadap penghasilan karikatur tersebut. Masakan tidak, bagaimana negara Belanda yang mahsyur dengan pelacuran ‘red light district’ dan hisap ganja ini begitu mengambil berat akan sentimen umat Islam dan menolak kebebasan bersuara mutlak yang diwar-warkan negara-negara barat. Malah European Union (EU) muncul mengeluar kenyataan membidas penghasilan filem berkenaan. Di manakah mereka sebelum ini ketika penyiaran berleluasa lukisan bom di atas kepala karikatur Nabi Muhammad? Ini menunjukkan sentimen umat Islam sebelum ini telah mendapat perhatian dan memberi kesan terhadap pendirian mereka di masa hadapan.

Kita mesti faham, bahawa tindakan memboikot ini bukan sekadar ingin melepaskan geram terhadap seseorang individu yang bernama Geert Wilders, tetapi adalah sebagai tindak balas terhadap provokasi anti-Islam. Provokasi ini timbul disebabkan pertembungan ideologi Islam dan Barat yang banyak berbeda tetapi tidak semestinya tidak mampu untuk wujud seiringan. Hanya pemikiran dangkal akan menganggap bahawa kita hanya berhadapan beberapa individu yang menunjukkan sikap anti-Islam. Dunia internet menjadi saksi betapa rakusnya propaganda mereka. Maka umat Islam harus tabah dan apabila perlu, memberi reaksi yang patut terhadap kempen yang melampau.

Penulis bersetuju bahawa rusuhan dan demonstrasi bukanlah jalan terbaik sebagai tindakbalas malah tidak melambangkan ciri-ciri perjuangan Islam (seperti juga di Malaysia). Kecaman melalui kenyataan rasmi dan pemboikotan adalah wadah yang sesuai untuk kita meluahkan perasaan marah dan amaran kita terhadap tindakan mereka. Ianya perlu kerana jika perasaan marah dan pendapat umat Islam tidak dapat diluahkan, akibatnya akan terhasilnya golongan ekstremis yang akhirnya akan memilih jalan membunuh, mengebom, menculik dan sebagainya sebagai tindakbalas. Memboikot ialah tindakan ‘pasif-agresif’ yang menyuruh kita bertoleransi dan pada masa yang sama mengambil tindakan yang sewajarnya.

Satu persoalan besar yang bangkit adalah bagaimana boikot ini akan turut memberi kesan kepada mereka yang tak berkaitan. Dalam satu tindakan secara besar-besaran, pastinya akan melibatkan mereka yang tak bersalah. Kita ambil contoh sekatan ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Korea Utara. Disebabkan keangkuhan dan kedegilan pemimpin negara tersebut yang tetap mahu meneruskan program nuklearnya, rakyat Korea Utara lah yang sebenarnya menjadi mangsa. Sesetengah aktivis hak asasi manusia malah menentang sekatan tersebut kerana ianya hanya akan menerukkan lagi situasi kekurangan makanan ruji di sana.

Timbul persoalan, adakah rakyat Belanda akan kehilangan keperluan asas hidup atau peniaga-peniaga tempatan di Malaysia akan bankrap atas pemboikotan kita? Tidak semestinya. Tetapi pemboikotan kita akan memberi kesan terhadap ekonomi mereka yang bergantung besar terhadap pendapatan eksport. Tindakan pemboikotan ini diharap memberi tekanan kepada pemimpin Belanda, Eropah dan rakyatnya, supaya menimbangkan kembali pendirian mereka terhadap sensitiviti agama dan kebebasan bersuara mutlak.

‘Bagaimana’

Pada pendapat penulis, pemboikotan harus dilakukan mengikut kemampuan masing-masing dan bukan secara ‘total’ dan bukan juga untuk selama-lamanya. Lagi-lagi di Malaysia contohnya, yang kebanyakan barang-barang keperluan adalah di bawah naungan jenama asing. Kita mempunyai banyak pilihan lain sebagai ganti dan paling kurangpun kita boleh mengurangkan penggunaan barang tersebut.

Keputusan yang dibuat oleh Pasaraya Maidin untuk melabel semua barang-barang jenama Belanda supaya mudah pembeli mengenalpasti barang tersebut patut dipuji. Semestinya mereka sendiri akan mengalami ‘sedikit’ kerugian akibat tindakan mereka sendiri. Ini menunjukkan betapa kuatnya jati diri Islam individu tersebut di waktu peniaga-peniaga Islam lain merungut.

Para pengguna beragama Islam yang menjadi tenaga penggerak patut bersatu-padu menyokong tindakan memboikot yang telah disokong oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, para pemimpin negara Islam dan pertubuhan Islam. Janganlah kita mudah terpengaruh dengan kata-kata orang Islam yang lemah jati dirinya lagi-lagi mereka yang berpendirian bagaikan lalang, yakni asik berubah-ubah pendirian mereka.

Klik sini untuk melihat senarai barang-barang jenama Belanda.



Oleh: Azzad bin Hamzah
PS: Artikel ini bukan ingin mengutuk sesiapa yang tidak memboikot. Saya hormati mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk tidak memboikot.

23 Mac 2008

SAY PASS TO FANATICISM


Worldview

In a worldview of current issues, we are able to isolate a string of problem which seems to be the fundamental cause of tension and instability worldwide. This problem is fanaticism. Media exploitation on world issues such as Israel-Palestine conflict, Darfur conflict, turmoil in South Thailand and Mindanao are indirectly pointing to this stagnant problem. Undeniably, with all these press frenzy, human race as a whole unanimously oppose this extremism which until now the world leaders are still unable to comprehend and resolve. Unfortunately, but as expected, the world has stereotyped this illness with Islam. These fanatics never seem to go tired causing hatred and a sense of terror among their proponent and opponent respectively. Thus it suitably describes their definition:

Fanaticism : an overzealous, overenthusiastic approach to something.

Understanding

They who confront these fanatics must understand their attributes. Being labeled fanatics, must not stop us from listening and exploring their world. Unlike criminals, fanatics define their action and justify them, base on the end, aim or purpose which to them are holy, virtuous or for the good. Thus, though appalling to others, their actions e.g. beheading their victim, killing children, exploding a public bus, crashing an airplane into a building, are well justified. The end permits the mean. They believe that their actions are for the greater good.

When we narrow it down to religious fanaticism, it gets worse. There is almost no room to convince these fanatics of their wrongdoing. When the pertaining issues involved touches on God and religion, any opposition will be seen as an intimidation, heresy or blasphemy. Their actions are unquestionable and uncritical, which usually are advocated by extreme religious scholars. A simple judgement with reasons and logic can totally reject this action and even the thought of it. Here lies the fundamental essence of fanaticism, which is when a person ceases to use his mind. In Islam we call it ‘taqlid’(following blindfoldly). In the Koran, human are differentiated from animals by their mind (aqal). The loss of it leads to human acting like animals, which give births to fanatics.

Identifying

Fanaticism among the religious scholars can be considered as a fanatic-producing factory. They speak authoritatively. Their words are immaculately the word of God. They dare to accuse other Muslims as ‘kafir’, declare death sentence etc. There can never be any intellectual argument with them, for they themselves are unable to reason what they claim. Their social lives are secluded to their religious activities and interaction with their obedient followers.

But what is of most crucial is the dissemination of fanaticism among the ‘enlightened’ people. Islam is at the ejection point of a new bloom of civilization. There are more and more individuals who embrace Islam, and among the Muslims themselves, more are beginning to re-embrace and practice its teaching. These people who are “touched” by Islam are the most vulnerable to fanaticism. The euphoria of experiencing the truth might capture them in the taqlid doctrine. When engaging with other fanatics, they can be easily persuaded to rationalize every mindless action. Thus it is important for these newly convert to be rightly guided in their early introduction to Islam as a whole.

The ‘truth’

Al-Fatihaah 1:6-7
Show us the straight way, The way of those on whom Thou hast bestowed Thy Grace, those whose (portion) is not wrath, and who go not astray.

In our daily prayers, we tirelessly read the surah Fatihaah. In the last 2 verse, we pray so that Allah shall not let us go astray (misled). People, who are misled in their belief, do not realize that they are lost. They sincerely believe that they are on the right path. What could be worse than living and believing in something, which is actually wrong and not knowing about it?

Al-Qasas 28:63
Those against whom the charge will be proved, will say: "Our Lord! these are the ones whom we led astray: we led them astray, as we were astray ourselves: we free ourselves (from them) in Thy presence: it was not us they worshipped."

On the Day of Judgment, there will be confession by leaders(fanatic scholars) who are strayed, and many people were strayed by following them. Thus we must be cautious in our believe and action. Blindfoldly following these fanatic leaders, will cause wrath upon us, which we will hold responsibility upon ourselves. There will be no blaming.

Revival

To dump the ‘barbaric’ image and revive the majestic Islamic civilization, Muslim must dump fanaticism. Not only does it portray a negative image, it is causing a split into factions in the Muslim society. The worst is that these factions are hostile to each other.

To heal this illness, we must promote intellectual discussion not only in scientific field but necessarily in the religious field among the factions. If we acknowledge ‘khilaf’ among the mazhab as ‘rahmat’, then we must not be afraid to pursue these in complex issues such as implementation of hudud, evolution of Islamic finance, Israel-Palestine status etc. This is vital, as ‘honoring’ our mind, in debates surrounded by tolerance will naturally and drastically push fanaticism aside. Though not completely, but moderates approach will ultimately take centre stage, and fanatics will lose its voice and influence.

No one is immune to critics, including religious scholars. Scholars have a special place in Islam. They must be honored and respected. Not questioning their altruistic intention, but no human is flawless, comfort and too much respect can indulge them in riaq, takbur, ego-centricity, stubbornness etc. The fight against fanaticism must be initiated and supported by them and among them.

Tolerance should be a compulsory character in present Muslims. Our anger instead should be placed in striving for excellence in economy, knowledge, technology, education, living standard etc and not war, killing, kidnapping and destroying. Inert does not necessarily mean being weak or a betrayal to Islam.

The abandonment of fanaticism will be a giant leap for Islam to take a stand in world politics.



Wrote by:
Azzad bin Hamzah