28 Oktober 2007

Negarakuku

Assalamu’alaikum

Beberapa bulan yang lepas, suatu perkara yang kecil asalnya, diperbesarkan di media Malaysia, iaitu penghasilan satu klip video rap “negarakuku”, yang berlatarbelakangkan lagu Negaraku yang telah diubahsuai. Berbekalkan kata-kata benci dan “hina”, ianya menjadi satu pakej lengkap mengundang kontroversi.

Sebagai Negara yang berbilang agama, adalah menyakitkan hati apabila ada di antara kita yang masih tidak boleh menerima sebaliknya mengutuk amalan agama selain daripada agama kita. Di dalam kes ini, ianya melibatkan agama Islam. Alasan berdasarkan kreativiti dan konsep rap tidak sama sekali membenarkan seseorang menghina lagu patriotik Negara.
Namun, disebabkan ianya mendapat maklumbalas yang negatif pada pihak kerajaan, adalah rugi apabila tidak diberi perhatian akan kandungan lain iaitu antara luahan perasaan seseorang rakyat Malaysia yang berbangsa Cina. Antaranya adalah tersisih daripada peluang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, polis dan rasuah, batasan dalam ekonomi, tindasan oleh Dasar Ekonomi Baru(DEB) dll.

Dalam membincangkan isu DEB, sebagai rakyat Malaysia kita harus faham akan sejarahnya. Selepas peristiwa 13 Mei, DEB diperkenalkan di bawah pimpinan Allahyarhan Tun Abdul Razak(. Ianya ketika itu merupakan satu langkah yang radikal iaitu memperkenalkan pertumbuhan berdasarkan ekuiti dengan bermatlamatkan penguasaan 30% ekonomi oleh orang bumiputra. Haruslah diingat bahawa rancangan ini dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bumiputra dan bukan bumiputra pada ketika itu di atas kesedaran pentingnya kestabilan kuasa ekonomi di kalangan rakyat yang berbilang kaum bagi membawa keamanan kepada negara. DEB telah diletakkan sasaran kejayaan dan mengikut perancangan akan diimplementasikan selama 20 tahun.

Namun sehingga kini, 20 tahun sudah berlalu, dan sasaran masih tidak tercapai. Pemimpin negara wajib tahu dan faham bahawa jangkamasa yang diberikan mempunyai signifikannya. DEB adalah bukan untuk selama-lamanya, kerana ianya mengandungi unsur diskriminasi. Pada asalnya, DEB dirancang supaya dapat melonjakkan atau mempercepatkan pemilikan ekuiti bumiputra di dalam ekonomi Negara kerana kita tahu kebaikan daripada pencapaian sasaran ini mengatasi keburukan diskriminasi yang terpaksa dialami, dengan syarat ianya tidak boleh berpanjangan. Kita telah sampai kepada satu tahap di mana ketegangan kaum akibat diskriminasi ini telah mula meningkat dan melampaui kebaikan daripada polisi DEB apatah lagi nilai sasaran dan realiti masih jauh berbeza. Ini diburukkan lagi dengan pembudayaan rasuah di dalam melaksanakan polisi. Perancangan yang baik, tetapi perlaksanaan yang lemah.
Sudah tiba masa untuk kerajaan memikirkan cara baru untuk mencapai penguasaan ekuiti bumiputra. Kita telah tersalah langkah di dalam perlaksanaan dan amalan rasuah yang terpaksa dipikul tidak memudahkan kita untuk meneruskan perancangan lama. Orang bumiputra harus didedahkan dengan persaingan supaya menjadi lebih kompetitif dan mampu berdikari tanpa bantuan kerajaan. Lambat laun kita akan sedari bahawa ini adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan.

Cadangan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya diadakan medium untuk berdiskusi antara kaum berkenaan isu-isu sensitif adalah satu idea yang matang dan bernas. Ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan antara kaum. Ia juga membolehkan pihak yang merasa tertindas ketahui bahawa suara mereka didengar dan memberi peluang kepada kerajaan untuk menerangkan justifikasi polisi mereka. Untuk mengajar rakyat bersuara bebas tetapi dengan bertanggungjawab memerlukan kerajaan memberi ruang untuk mereka bersuara.
Pensyarah Psikologi, Miss Guba pernah berkata, “Why do we need negative emotions when we have positive emotions?”, “Because without negative emotions how do we know or appreciate positive emotions.”

Ianya boleh dianalogikan di dalam situasi kita. Janganlah kita tunggu negara porak poranda barulah kita mahu menghargai keamanan yang kita ada. Jika wujud golongan yang batu api di kalangan kita, janganlah kita mengipas-ngipaskannya. Janganlah kita bergaduh, marilah kita cari jalan penyelesaian bersama. InsyaAllah satu hari nanti kita semua rakyat Malaysia akan dapat melihat negara kita Malaysia bukan sebagai negaraku, bukan juga negarakuku, sebaliknya negarakita.

Reference:
Bakri Musa, 2007, Towards a competitive Malaysia.

Usul Kelab UMNO Volgograd

Assalamu’alaikum, Bismillahirrahmanirrahim,

Ketika ini wujud 2 pihak dalam Islam yang bertelagah. Golongan professional yang lebih liberal pemikirannya (bukan Islam liberal) dan ahli agama yang lebih konservatif. Ini dapat dilihat di Malaysia, Pakistan, Indonesia, Arab Saudi, malah di medan perang Palestin. Sewaktu zaman kegemilangan Islam, wujud juga golongan ahli agama yang kuno. Contohnya sewaktu Ibnu Hazm mengkaji punca penyakit, ada ahli agama yang persoalkannya, mencebiknya kerana dikatakan penyakit itu adalah balasan daripada Allah s.w.t.. Kini ahli agama mengagung-agungkan tokoh Islam lama sedangkan segolongan mereka tiada bezanya dengan golongan tersebut.

Namun polariti zaman sekarang semakin kuat antara dua pihak, sehinggakan fitnah-menfitnah dan bunuh-membunuh. Antara punca-puncanya, adalah sekularisma. Untuk mempermudahkan pemahaman, sekularisma telah mengalihkan golongan bijak pandai di kalangan umat Islam kepada bidang ilmu duniawi maka membentuk pemikiran, pemahaman dan pengamalan yang berserabut di dalam kedua-dua belah pihak.

Ianya sangat mudah, kalau kita lihat segala bidang, golongan bijak pandai adalah penerajunya, daripada bidang perniagaan, ekonomi, teknologi, perubatan hingga ke bidang pertanian(dengan bioteknologinya). Maka apabila bidang agama Islam ketandusan golongan ini, ia mencetuskan masalah terutamanya pemikiran yang sempit. Di dalam buku Fikah Luar Negara tulisan Maszlee Malik, pensyarah UIAM, beliau menilai golongan ahli agama konservatif ini dengan tepat. “…bertuhankan syeikh-syeikh mereka….taklid yang mengagungkan teks-teks lama…zaman Abassiyah.“. Pemimpin yang sedemikian tidak mampu membawa umat Islam ke arah kejayaan ataupun perubahan sebaliknya membawa penyudahan seperti peperangan, demonstrasi, kebencian yang akhirnya merumitkan lagi situasi orang Islam. Masalah ini akan dibincangkan dalam artikel yang lain.

Golongan intelektual ataupun professional pula sukar untuk menerima hukum yang diberikan sesetengah ahli agama. Ini memandangkan mereka mengeluarkan hukum tanpa mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam sesuatu bidang walaupun mereka mengambil kira pendapat daripada pakar-pakar. Akhirnya agama dilihat sebagai halangan kerana golongan intelektual sendiri tidak memahami dengan sedalamnya akan asas hukum-hakam Islam.
Tidak mengejutkan atau pelik apabila kita melihat golongan profesional inilah yang menjadi para pemimpin persatuan, pertubuhan dan negara-negara Islam. Ini kerana mereka dilihat sebagai orang yang berjaya dalam bidang masing-masing dan mempunyai kredibiliti untuk memimpin sedangkan ahli-ahli agama melaungkan ‘hak’ mereka menjadi pemimpin atas dasar mereka sebagai pewaris nabi. Mereka melihat sesuatu perkara itu tidak Islamik selagi bukan mereka yang menjadi pemimpinnya.

Kebangkitan Islam di akhir zaman akan dipacu oleh golongan profesional yang mempunyai ‘latarbelakang’ agama yang kukuh. Hanya dengan cara inilah dapat kita hapuskan jurang antara 2 puak dalam Islam, pancung pemimpin mereka dan fokuskan umat Islam bersatu untuk bangkit sebagai satu tamadun yang maju. Golongan agama yang konservatif ini tidak akan berubah mahupun melihat sedikitpun kesilapan di dalam diri mereka apatah lagi mampu memikirkan kemaslahatan umat Islam secara umum.

Maka pada Perhimpunan Agung UMNO ’07 nanti, Kelab UMNO Volgograd akan membawa usul supaya kerajaan melahirkan generasi intelektual yang mempunyai pengetahuan Islam yang tinggi. Objektif ini mampu dicapai dengan:-
“Menggalakkan dan memberi bantuan kepada golongan cerdik pandai Islam di IPT tempatan untuk membuat ‘double degree’ di dalam bidang ilmu Islam”.

Diharap pada masa hadapan akan dapat dilahirkan mufti yang mempunyai ijazah ekonomi, syarikat multinasional yang dimilki oleh seorang ulama, ahli sains Islam yang mahsyur di seluruh dunia sekaligus menunjukkan Islam mempunyai tempat selain daripada masjid dan madrasah.

Semoga usul KUV akan diterima untuk mewakili usul Kelab UMNO Luar Negara di hadapan pemimpin negara nanti.

Azzad bin Hamzah
Pengerusi,
Kelab UMNO Volgograd