22 Mei 2010

TRILOGI ANJAKAN MINDA: EPISOD 2: LELAKI YANG SUPERIOR, PEREMPUAN YANG INFERIOR

Salam,

Menongkah Arus

Sigmund Freud ada melontarkan kenyataan yang menarik berkenaan wanita. Mengikut struktur model beliau berkenaan psyche(Id, ego dan super-ego), beliau mengatakan wanita membentuk super-ego yang lemah disebabkan mereka tidak memiliki penis(hahaha). Tanpa penis, mereka tidak mampu membentuk castration complex, yang penting dalam membentuk super-ego. Dengan super-ego yang lemah, mereka kurang mampu bersifat kritikal, mengawal diri dan menjunjung nilai moral. `

Dalam dunia sekarang, kenyataan sedemikian akan dicemuh sebagai sexist. Di mana minda kita sudah tertanam dengan dogma dan stigma, contohnya dalam kes ini, kesamarataan lelaki dan perempuan. Namun seperti biasa, saya peduli apa. Maka kali ini saya ingin mengajak pembaca mengembara idea yang mengatakan lelaki lebih superior daripada perempuan(wanita).

Acuan terkini

Sebelum itu, penting untuk kita eksplorasi tentang dogmatisma. Dogma – sesuatu konsep yang dianggap benar dan tidak perlu dipersoalkan. Contohnya demokrasi ciptaan barat yang diagung-agungkan semua. Sehinggakan ada sarjana Islam cuba menyatakan bahawa demokrasi turut disemai semasa zaman Nabi Muhammad dahulu lagi. Begitulah taksubnya kita dengan demokrasi.

Dogma ada tempatnya, namun dari semasa ke semasa ia perlu dilawati dan diselidiki semula.

Wahyu bagaikan kejutan elektrik

Surah An-Nisaa’ 4:34

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,.....

Daripada ayat di atas, jelas Allah mengatakan bahawa lelaki telah diberikan kelebihan berbanding wanita dari segi kebolehan, kedudukan dan juga tanggungjawab. Malah perempuan disuruh taat pada suaminya. Malah seorang lelaki boleh beristeri empat namun tidak pula sebaliknya, malah lelaki diberi hak lebih dalam mewarisi harta dan sebagainya.

Namun ini bertentangan dengan logik akal yang mengatakan ini suatu yang tidak adil, diskriminasi dan penindasan terhadap wanita. Maka semestinya Islam itu tidak adil.

Hypothesis

Apa kata kita membuat hypothesis atau anjuran bahawa lelaki itu memang superior daripada wanita. Sekadar hypothesis, bahawa di dalam sistem alam semulajadi ini, lelaki diciptakan lebih superior daripada wanita. Maka ia akan diiringi dengan hak dan tanggungjawab yang lebih memihak kepada lelaki.

Kemudian kita menidak kelebihan(hak) mereka, kita samaratakan hak dengan wanita akibat daripada dogma yang kita peluk kini. Mungkinkah ini dikira sebagai pencabulan hak lelaki, penindasan terhadap mereka? Adakah ini akan mengubah corak hubungan antara lelaki dan wanita, suami dan isteri, ibu dan anak dan sebagainya? Dan jika kita melihat pada skop yang lebih besar, adakah ini akan mengacau struktur rumah tangga hingga ke peringkat masyarakat?

Ianya pasti akan memberi kesan, namun kesan yang bagaimana? Perlukah lagi lelaki mempunyai intuisi melindung wanita, menolong dan melayan dengan lemah lembut terhadap mereka? Patutkah lelaki berbelas kasihan apabila melihat seorang wanita menangis, atau patut dia melihat mereka sebagai seorang lelaki(samarata) yang menangis? Mungkinkah disebabkan itu, kini lelaki sudah tidak memainkan lagi peranan sebagai pelindung kepada kaum wanita?

Penggantian

Jika di dalam hypothesis tersebut, anda bersetuju dengan kenyataan di atas, maka kita berbalik ke persoalan pangkal. Adakah lelaki dan wanita itu sama dan patut dilayan dengan sama? Lelaki dan perempuan sangat jelas perbezaannya dari segi fizikal, fisiologi, pemikiran, sifat, kecenderungan dan sebagainya.

Namun persoalan superior-inferior ini membawa perasaan yang tidak selesa kepada wanita moden. Jadi mungkin lebih 'politically correct' menggunakan perkataan ‘berbeza’ dalam mencirikan hubungan antara lelaki dan wanita(bukan superior-inferior), dan menggantikan kesamarataan dengan ‘keadilan’ yang mengikut definisi sarjana Islam – meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adakah lelaki dan wanita itu berbeza? Ya, jawapan akal yang waras.

Indah khabar daripada rupa

Peralihan kepada hubungan yang disyorkan oleh Islam tidak semudah yang dipandang. Kelebihan dan hak pada lelaki bukan mutlak tanpa dipersoal, dan juga datang dengan pakejnya seperti bertanggungjawab membelanjakan nafkah pada isteri, membuka pintu kereta untuk isteri(haha), mengorbankan tubuhnya menepis peluru(hahaha) dan sebagainya.

Adakah hubungan sedemikian akan menyelesaikan masalah sosial yang melanda kita? Buang bayi luar nikah, suami yang mendera isteri, tidak menunaikan nafkah dan sebagainya. Tidak sepenuhnya, kerana ianya bergantung pada lelaki untuk faham akan hak dan tanggungjawabnya. Seperti kuasa yang diberi pada pemerintah, begitulah jua pada lelaki, adakah mereka akan menggunakannya dengan saksama.

Anjakan minda

Begitulah konsep yang menggegar minda manusia, apabila logik minda kita dilonjak ke tahap ‘pesisir minda manusia’ yang hanya mampu dicapai dengan merenungi ayat al-Quran. Apabila sesetengah sarjana Islam dan pendukung Islam liberal cuba mempertahankan bahawa Islam melayan lelaki dan perempuan secara sama rata, al-Quran membawa pemikir kepada hakikat lelaki dan wanita itu, yang mungkin akhirnya membawa kita kepada penyelesai masalah ketamadunan manusia. 'Quantum leap' minda inilah yang membuktikan al-Quran sebagai satu mukjizat. Jadi di sinilah tercetusnya idea bahawa dogma yang kita junjungi tidaklah seindah kata.

Terserah pada Allah swt.
Yeehhaaa lelaki lagi superior!!
Salam

20 Mei 2010

SAJAK UNTUK UMMU

Ummu,
Hadirmu mengubah persepsi,
Apa itu cantik,
Bukan sekadar retorik,
Malah hakikatnya,
Tidak perlu menggedik-gedik,
Tidak perlu bertentangan mata,
Tiada apa perlu ditonjol,
Hanya kesopanan dan kewanitaan.

Ummu,
Mungkinkah kau wanita melayu terakhir,
Berbaju kurung,
Merah jambu bertukar putih,
Dipadankan selipar warnanya,
Malu tetapi berkeyakinan diri,
Petah bertutur,
Lembut pergerakan,
Mungkinkah?

Pabila kau menghidangkan aku,
Ku terasa,
Akulah lelaki terpenting di dunia,
Dibelai perhatian dan kelembutan,
Buat ku,
Hilang segala tekanan,
Begitu sahaja,
Lalu ku beranikan diri,
Siapa nama?
Kau jawab "Ummu".

15 Mei 2010

TRILOGI ANJAKAN MINDA: EPISOD 1: PESISIR AKAL MANUSIA

Segala perkongsian pemikiran di dalam artikel ini adalah pendapat penulis semata-mata. Ianya tidak harus dianggap sebagai mewakili Islam. Namun semoga ianya memberi pahala kepada penulis dan manfaat kepada pembaca.

Salam,
Manusia ciptaan unggul

Evolusi mendeskripsi manusia sebagai makhluk unggul, hasil daripada segala proses percambahan dan ‘pemilihan semulajadi’(natural selection). Keunggulan manusia adalah pada akalnya, di mana dalam masa 100 tahun generasi kita, kita dapat lihat dunia telah berubah daripada enjin stim kepada kecanggihan telekomunikasi.

Ahli falsafah Nietzhe pula melontarkan idea, bahawa pada satu tahap manusia boleh meninggalkan kebergantungannya kepada Tuhan(yang sebenarnya diada-adakan oleh minda manusia), untuk mencapai tahap manusia super(superhuman). Ini menggambarkan superioriti manusia di kalangan makhluk semulajadi.

Kehebatan akal

Kalau hendak dibandingkan dengan haiwan, iaitu makhluk yang lebih inferior, ketiadaan akal atau intelek tinggi, menjadikan mereka tidak mampu mempersoal, merungkai dan mencari jawapan terhadap fenomena di sekeliling mereka. Malah haiwan ‘cerdik’ seperti chimpanzee, ikan lumba-lumba dan anjing hanya mampu mempelajari helah mudah dan perkiraan asas.

Namun manusia dengan intelek tingginya memiliki keupayaan meneroka dunia falsafah, sains dan teknologi, politik, ekonomi dan sosial dan sebagainya.

Jika sedemikian, bagaimana pula jika saya katakan wujud makhluk yang berintelek agung, yang mengatasi akal manusia. Apakah yang mereka mampu lakukan yang di luar kemampuan kita? Adakah kita akan masih lagi bongkak dengan keupayaan akal kita? Mengapa kita menganggap kita paling superior?

Had akal manusia

Setiap manusia berasal daripada generasi sebelumnya. Begitu juga flora dan fauna. Alam semesta(yang merangkumi semua) pula, berdasarkan kajian saintis, tercipta daripada proses ‘big bang’, satu letupan yang menghasilkan kepulan-kepulan awan galaksi, galaksi bima sakti, sistem suria dan juga bumi kita.

Jangan kita berhenti setakat di situ. Bagaimana boleh berlakunya letupan ini? Mana mungkin ia secara spontan berlaku?

Creationist berkata ianya proses ciptaan Tuhan. “Penggerak yang tidak bergerak” kata Plato. Adakah kita akan berhenti setakat di sini?

Jika Tuhan itu wujud, dari mana pula asal-Nya? Apakah zat-Nya? Logikkah terdapat zat yang senantiasa ada, tiada penciptaan dan tiada tamat? Ahli agama jumud akan menegah kita daripada memikirkannya.

Pasti minda pembaca mula bercelaru, tertekan dan tidak selesa. Kerana kita telah sampai ke ‘tebing akal manusia’. Di sinilah kita boleh perasan terdapatnya had pada akal manusia. Di mana, perkara menjadi tidak logik, namun pada masa yang sama tiada jawapan atau penjelasan. Maka isu menjadi tergantung atau dipersoalkan.

Tebing akal manusia

Manusia bersenjatakan akal telah dilantik menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Cukupkah dengan akal?

Di samping ketamadunan yang telah dibina manusia, terdapat pelbagai masalah umum yang sukar untuk ditangani. Isu seperti kesaksamaan ekonomi, peningkatan jenayah, keruntuhan institusi sosial masyarakat, walaupun cuba ditangani dengan percambahan pemikiran dan ideologi, masih belum dapat dileraikan dengan berkesan.

Mungkinkah manusia telah sampai ke tebing akalnya dalam mencari penyelesaian? Jika lembu tidak reti mengira kerana kebodohannya, adakah masalah dunia tiada penyelesaian kerana bodohnya manusia?

Pesisir akal manusia

Daripada pemerhatian dan renungan, terdapat perkara yang tidak tergapai oleh akal manusia – namun jika diberi panduan, manusia mampu melihat logiknya. Ini penulis panggil sebagai berada di ‘pesisir akal manusia’.

Di mana kita boleh keluar daripada tebing(had) akal manusia, dan nampak sesuatu yang tidak logik, menjadi logik. Ianya tidak memerlukan manusia berintelek Einstein untuk mengecapi ‘pesisir akal manusia’. Apabila kita mengecapinya, ia membuat kita menjerit “Eureka”(spt Archimedes).

Panduan tersebut tidak lain, tidak bukan, adalah daripada kitab-kitab Allah. Bermula dengan semangat inkuiri dan bersifat sederhana kritikal, inilah yang penulis dapati setelah meneliti sebahagian daripada ajaran Islam.

InsyaAllah, di dalam beberapa artikel seterusnya, penulis akan cuba merungkai firman-firman yang tidak logik, barbarik atau tidak bertamadun, secara ilmiah dan rasional. Dengan harapan, kita semua akan meninggalkan budaya taqlid(mengikut secara membuta).

Supaya ahli agama berasa malu kerana mereka malas berfikir.

Salam

07 Mei 2010

SEKULARISMA YANG TIDAK DICERITAKAN

Artikel ini telah siap ditulis sejak November tahun lepas, namun tidak di terbit ketika itu, atas sebab-sebab yang tertentu.

Salam
Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya) dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya) dan Dia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.

 Az-Zumar 39:5
Saya ingin ajak pembaca menerokai tentang sekularisma.

Sekularisma boleh dikatakan bermula kurun ke-16, di mana ketika itu Nicolaus Copernicus telah mengeluarkan hypothesis matahari sebagai pusat alam (heliocentric) manakala bumi serta planet lain mengelilinginya. Ini bertentangan dengan pendirian Gereja Katolik ketika itu yakni, berdasarkan interpretasi mereka terhadap kitab bible ketika itu, bumi sebagai pusat alam (Ptolemaic). Galilei Galileo turut bersetuju dengan pendapat itu berdasarkan pemerhatian pergerakan planet-planet. Kedua-dua mereka telah dilarang gereja untuk menyebarkan kajian tersebut. Akibat menerbit buku The Dialogue on the Two Chief World Systems, Galileo telah dipenjara seumur hidup.

Sikap gereja ketika itu berbeza dengan sejarah sebelum ini di mana mereka melahirkan ahli falsafah seperti Thomas Aquinas. Jangan terkejut bila tahu, Galileo sebenarnya merupakan penganut Katolik yang taat. Beliau kecewa dan berpendapat pihak gereja tidak patut campur tangan jika sebuah hasil kerja saintifik itu bertentangan dengan interpretasi kitab bible.

Jika kita lihat ayat 39:5 di atas, ia juga nampak menggambarkan bahawa bulan dan matahari mengelilingi bumi, lagi-lagi jika kita hidup di abad sebelum ke-16. Namun jika kita hidup di abad ke-20, kita akan tahu tiada percanggahan antara ayat tersebut dan penemuan saintifik. Kerana kita tahu bahawa matahari tetap beredar, tetapi bukan mengelilingi bumi, sebaliknya pada paksinya di dalam bima sakti.

Charles Darwin juga menerima cemuhan dan ejekan daripada gereja malah rakan saintis lain apabila beliau mengajukan teori evolusi-nya yang dihujahkan atas pemilihan semulajadi(natural selection) di dalam bukunya The Origin of Species. Manusia dikatakan bernenek moyangkan monyet bertentangan dengan ajaran gereja bahawa mereka berasal daripada keturunan Adam dan Hawa yang turun dari syurga.
Malah penemuan tersebut juga bertentangan dengan ajaran Islam. Maka teori tersebut ditolak mentah-mentah oleh kita.

Namun ahli saintis berpegangan agama yang terbuka mindanya, kini bersetuju dengan teori tersebut cuma ianya berlaku pada kadar yang minima(microevolution) namun tidak sampai hingga ke skala mampu mengubah monyet menjadi manusia(macroevolution). Masakan tidak, jika manusia semua bernenek moyangkan Adam dan Hawa, maka bagaimana wujud pelbagai bangsa dengan berbagai warna kulit, raut wajah, ketinggian, warna mata dan sebagainya. Sekali lagi, penemuan saintifik tidak lari daripada ajaran agama.

Namun kedua-dua peristiwa inilah contoh sebab berlakunya pemecahan antara 'semangat' agama dan 'semangat' sains. Seolah-olah kita perlu memilih antara Tuhan dan mencari kebenaran, sedangkan ianya patut datang bersama.

Sudah nyata lagi jelas bahawa hanya Allah yang Maha Mengetahui. Bagaimana manusia membuat interpretasi pun, hak sesuatu perkara itu hanya Allah yang ketahui. Ini mengingatkan saya tentang penerangan Aistotle/Plato bahawa kita hanya mampu mengetahui dengan lebih mendalam sesuatu itu dari semasa ke semasa. Namun kita tidak akan dapat tahu sifat hakiki sesuatu itu sampai bila-bila.

Sekularisma bukan sahaja 'terpaksa' dibentuk akibat penapisan penemuan sains oleh ahli agama, malah juga disebabkan penyalahgunaan kuasa dan penindasan oleh mereka dalam pentadbiran di empayar-empayar Eropah atas nama agama.

Kenapakah Renaissance mampu bangkit di Eropah ketika itu? Kerana mereka telah 'meninggalkan' agama mereka dan memilih untuk mencari kebenaran melalui sains, kerana mereka 'terpaksa' memilih.

Sejarah berulang lagi. Seperti mana gereja telah membawa Eropah ke Zaman Gelap-nya, sebegitulah, 'ahli-ahli agama' Islam jugalah yang telah membawa kejatuhan tamadun Islam. Di puncak ketamadunan satu ketika dulu, ketika itulah ahli-ahli agama telah mengajak umat Islam 'meninggalkan' urusan dunia lari daripada kehidupan materialistik. Disangkakan kemusnahan dunia semakin hampir, umat diajar mengasingkan diri dan menjebakkan diri dalam kesufian(mysticism). Maka wujudlah kelompok umat Islam yang tidak mempedulikan hal dunia, dan hanya memerap di masjid mengagung-agungkan guru-guru tarekat mereka, suatu keganjilan berbanding Islam yang diajar nabi. Ahli-ahli agama juga telah menjadikan Islam 'keras', dengan terlalu tertumpu pada fiqah agama dengan terlalu terperinci(berapa pergerakan dibenarkan dalam solat, berapa nafas ketika membaca fatihah, pembacaan niat dan sebagainya).

Di zaman kegelapan Islam sekarang ini, ahli-ahli agama jugalah yang menjadi pembakar semangat kepada pejuang berani mati yang meletupkan diri membunuh orang awam atas nama Islam(seperti pengeboman hotel di Jakarta). Dan mereka yakin bahawa mereka akan masuk ke syurga, masakan tidak setelah mempercaya bulat-bulat apa yang diajar tok guru mereka, hanyalah jika mereka mempunyai kewarasan walaupun sedikit.

Ramai juga yang melibatkan diri dalam pergerakan tabligh, yang pada hemat saya tidak memahami 'semangat Islam. Pergi meninggalkan isteri dan anak-anak di rumah, sampai seminggu hingga berbulan, sesetengah hingga ke luar negara untuk mencari ketenangan di rumah Allah. Setelah pulang, mula ketagih balik ketenangan yang telah dikecapi, maka tinggallah lagi si polan anak isterinya. Bukankah ketenangan yang dikurniakan Allah itu boleh dikecapi di mana-mana? Tahajud itu sendiri boleh diamalkan di rumah.

Inilah cerita sekularisma yang tidak diceritakan. Sekularisma yang sebenarnya patut dipersalahkan pada ahli agama. Sekularisma ini memisahkan umat Islam daripada dunia realiti melahirkan umat yang jumud dari segi politik, ekonomi dan sosial. Umat yang tumpul akal fikirannya disebab tidak berani mempersoal, cetek pengetahuan kerana memperendah urusan dunia.

Rakan saya pernah bertanya, "Kenapa kau selalu salahkan orang agama?"

Inilah sebahagian daripada jawapannya. Mereka adalah punca kita berada pada keadaan kita sekarang. Namun tiada siapa yang berani bersuara malah mungkin tiada siapa pun pernah sangka.

Kerana apa? Kerana mereka adalah pihak authoratif di dalam bidang agama, dan sebahagian daripada mereka menggunakannya pada jalan yang salah.

Kenapa? Panjang ceritanya, kalau ada masa nanti saya ceritakan.