22 November 2009

MEMBELASAH DEMOKRASI

Definisi Demokrasi

Demokrasi – Demos = rakyat, kratos = kuasa.


Di dalam sebuah negara yang bertunjangkan demokrasi , kuasa dikatakan berada pada rakyat dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui kerajaan. Semestinya tidak mampu wujud sistem di mana setiap keputusan kerajaan perlu mendapat undi popular rakyat. Namun pemilihan wakil rakyat dipengaruhi oleh pendirian pemimpin dalam isu-isu berkaitan.


Keseluruhan sistem ini bersandarkan sangkaan bahawa majoriti keputusan individu di dalam sebuah populasi itu akan memilih yang benar atau yang terbaik. Bilangan keputusan yang betul akan mengatasi yang salah. Tetapi ini semestinya hanyalah suatu utopia.

Kita dapat lihat ‘psyche’ sekarang, ramai yang melaung-laung kuasa rakyat, hak rakyat dan suara rakyat. Bagai menjadi suatu ‘trend’ untuk menyokong gerakan pro-demokrasi tersebut, lagi-lagilah untuk ‘intellectual virgins’ yang bersepah di Malaysia.

Patutkah kuasa diberi pada rakyat?

Mari kita persoalkan, patutkah kuasa itu diberikan pada rakyat awam? Sewaktu ideologi demokrasi diserap ke perlembagaan Amerika Syarikat dulu pada awal-awalnya, suara undi hanya diberikan pada mereka yang berharta. Kemudian barulah ianya diperluaskan meliputi semua orang awam termasuk wanita. Maka jadilah kini dogma bahawa setiap orang berhak mengundi. Bodohlah atau kolotlah kita jika berkata tidak.


Di negara kita, syarat kelayakan berumur 21 tahun dikenakan pada pengundi. Ini adalah umur yang dianggap seseorang itu matang untuk membuat keputusan mengundi. Namun adakah semua orang yang melepasi umur 21 tahun itu cukup matang? Adakah mereka akan mengundi mengikut sentimen dan persepsi semata-mata? Patutkah kita membenarkan mereka yang tidak mampu menilai dan membuat keputusan ni menentukan masa depan negara?

Kalaulah mereka sudah cukup matang, mampukah rakyat awam ini mencerna isu-isu politik, ekonomi dan sosial dengan baik? Berapa peratuskah antara rakyat yang faham apa itu KKDN(GDP)? Atau mereka hanya mengharapkan kata orang ketiga yang membuat rasionalisasi dan kesimpulan untuk mereka? Patutkah masa depan negara diletakkan pada bahu orang-orang ini?


Kita juga perlu lihat pada ketamadunan pemikiran rakyat sebuah negara. Di Thailand, sebahagian besar rakyatnya masih sujud di depan raja mereka. Di Indonesia yang masih dibelenggu kemiskinan di kalangan sebahagian besar rakyat mereka. Di Afghanistan pula, sebahagian rakyat masih setia pada ketua mullah bersenjata mereka. Mereka menyerang pusat undi dan mengugut untuk mencederakan sesiapa yang keluar mengundi. Adakah rakyat negara tersebut mampu untuk menganalisis dan menilai isu-isu negara mereka dengan efektif?

Jadi mengapa kita masih gila-gila mempertahankan hak setiap rakyat untuk mengundi sedangkan tidak ramai di kalangan mereka mampu untuk melaksanakannya dengan sempurna?

Ianya bukan sekadar bergantung pada kualiti rakyat, malah juga memerlukan ‘instrumen’ tertentu seperti kedaulatan sebuah negara, kebebasan dan ketulusan akhbar, keterbukaan minda dalam perbezaan pendapat dan sebagainya.

Tanggungjawab di sebalik kuasa
Satu yang gagal dipertonjolkan oleh pejuang demokrasi adalah tanggungjawab sebagai rakyat di dalam sebuah sistem demokrasi. Di sebalik melaungkan kegagalan kerajaan untuk menjaga hak itu dan ini mereka, mereka pula gagal untuk melaksanakan tanggungjawab asasi mereka. Seperti di dalam mana-mana kontrak, setiap individu apabila diberikan hak, pasti juga akan mempunyai tanggungjawab.


Tidak pernah kita dengar tertubuhnya Suruhanjaya Tanggungjawab Asasi Manusia, sesuai dengan tabiat manusia yang lebih suka bercakap tentang kekurangan orang lain tetapi tidak pada diri sendiri. Mentaliti sedemikian yang telah menjadi budaya, perlu diubah.

Jika rakyat mahu menjadi pemegang kuasa di dalam sebuah sistem demokrasi, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab di pihak mereka. Ini termasuk, melibatkan diri dalam menjayakan perancangan kerajaan(spt projek kitar semula), tidak memberi rasuah(dalam usaha membanteras rasuah di kalangan polis), berusaha untuk mengubah nasib sendiri(setelah pelbagai bantuan dan subsidi diberikan) dan sebagainya.

Kerana apa segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan sekalipun pun, jika tidak disokong penyertaan rakyat, maka ianya tidak akan berjaya. Jikalau tidak, dapatlah kita lihat fenomena seperti tong kitar semula yang tidak diguna pakai, pemberi rasuah menyalahkan polis dan bukan dirinya yang melanggar peraturan. Rakyat perlu sedar tanggungjawab mereka bukan sekadar mengundi sahaja.

Kesimpulan yang saya ingin sampaikan di atas adalah implementasi demokrasi secara ‘absolute’ memerlukan syarat-syarat tertentu yakni kesediaan rakyat(budaya pemikiran, pemahaman konsep demokrasi,ketamadunan), suasana yang kondusif(kedaulatan, kebebasan dan kewibawaan kewartawanan dan sbgnya) dan kemudian kepimpinan reformis(membina ketamadunan rakyat dan persekitaran kondusif ke arah demokrasi).

Evolusi struktur pemerintahan

Pemerintahan itu mengalami evolusi dari semasa ke semasa. Adalah salah untuk mengatakan bahawa rakyat dahulu ditindas di bawah sistem pemerintahan beraja. Kerana faktor seperti keterhadan peluang mendapat maklumat(belum ada revolusi percetakan), pendidikan formal yang terhad(rendah ketamadunan pemikiran), suasana perang dan peluasan tanah jajahan(perlukan ‘authority’ penuh oleh pemimpin) tidak langsung mengizinkan suasana kreativiti(demokrasi). Tidak diketepikan juga ramai raja di pelusuk dunia yang terkenal dengan keadilan mereka, dan diingati sehingga sekarang.



Seperti juga apa yang dipanggil oleh Tun Mahathir sebagai demokrasi relatif, di mana sistem demokrasi disertai dengan pemerintahan yang authoritatif(pengawalan maklumat melalui penguasaan akhbar, undang-undang anti-penentangan spt ISA), yang beliau percaya lebih sesuai untuk bangsa Asia. Saya percaya ini adalah satu proses transisi sebelum demokrasi tulen(jika betul-betul mahu) dapat dilaksanakan. Kita dapat lihat negara seperti Singapura(yang menjadi kiblat Anwar Ibrahim) juga mengamalkan pemerintahan sedemikian di bawah pentadbiran Lee Kuan Yew sehingga sekarang oleh anaknya Lee Hsien Leong. Secara amnya kita dapat lihat banyak manfaat yang diperoleh kedua-dua negara daripada kestabilan di bawah pemerintahan tersebut berbanding negara dunia ke-3 yang lain, terutama dari segi perkembangan ekonomi.

Cuba bayangkan jika demokrasi tulen(‘absolute’) diamalkan pada waktu 50-an dan 60-an di Persekutuan Melayu ketika itu. Cuba bayangkan jika demonstrasi jalanan berleluasa ketika itu di bawah pimpinan Anwar Ibrahim. Apa akan terjadi pada negara kita?

Demokrasi pra-matang?

Semestinya golongan intelektual kerajaan Amerika Syarikat juga menyedari bahawa demokrasi memerlukan suasana yang kondusif di Afghanistan untuk ia berjaya. Maka kenapa demokrasi masih dipaksa masuk sedangkan ketamadunan rakyat sana masih belum bersedia? Inilah apa yang berlaku apabila demokrasi cuba diserap secara pra-matang. Ia mendedahkan sistem politik mereka kepada manipulasi, samada daripada kuasa dalam atau luar, suatu kelebihan atau mungkin keinginan untuk Amerika Syarikat.

Manipulasi yang mungkin kita dapat lihat adalah seperti apa yang berlaku di Thailand dan Indonesia di mana, rakyat diperkotak-katikkan dan dipergunakan oleh orang politik. Demonstrasi yang tiada kesudahan hampir melumpuhkan kerajaan Thailand . Apabila kerajaan ditukar , penyokong fanatik pihak lain pula melakukan demonstrasi. Begitulah juga yang berlaku di Indonesia, di mana presidennya datang bersilih ganti daripada BJ Habibie, Gus Dur, Megawati Sukarnoputri akibat demonstrasi mahasiswa.

Intellectual virgins
Inilah yang berlaku apabila perjuangan demokrasi disandarkan pada mereka yang saya panggil sebagai ‘intellectual virgins’. Golongan yang terangsang dengan ideologi demokrasi(tidak salah) namun segala fakta, hujah dan rasional ideologi tersebut hampir kesemuanya disuap oleh pemimpin mereka ataupun mengikut ‘trend’ semasa. Mereka ini bagaikan orang yang baru memeluk agama baru dan begitu bersemangat(enthusiastic) untuk memperjuangkan agama mereka.


Masalahnya adalah apabila mereka tidak mampu sedikit pun bersikap kritikal terhadap diri sendiri dan ideologi mereka akibat dikaburi euphoria yang dikecapi daripada ‘enlightenment’ yang baru dijumpai. Kalau dalam bidang agama, mereka dipanggil sebagai ‘religious zealots or bigots’.

Jika anda mahu Malaysia berubah kepada sistem pemerintahan demokrasi ‘absolute’(tulen) seperti yang dilaung-laungkan oleh pembangkang dan barat, fahamilah konsep demokrasi secara menyeluruh, 3 faktor yang membolehkan demokrasi dilaksanakan(spt yang saya sebut di atas), bebaskanlah diri anda daripada budaya fanatik, ambil dan baca buku berkenaan demokrasi dan akhir sekali, binalah minda berdikari di dalam diri anda.

Ahli politik kesemuanya pasti menggelabah jika semua rakyat Malaysia berbuat demikian.



Maaf terhadap kualiti artikel kali ini disebabkan sudah lama rehat menulis.

1 ulasan:

  1. Salam azzad.

    Diharapkan anda sentiasa tabah menghadapi cabaran sebagai HO.

    Sememangnya otak aku terbuka jua selepas membaca entri-entri dari kau dan rakanku Hazreen (http://blogerm.wordpress.com). Walaubagaimanapun, terdapat beberapa hujah yang ingin ku sampaikan.

    Memang, dalam 2 entri tersebut, kau dan Hazreen membahaskan kekurangan sistem demokrasi yang telah banyak dikuasai oleh emosi dan ketidak matangan pengundi itu sendiri. Masalahnya saya rasa bukanlah terletak kepada sistem politik itu semata-mata. Tetapi terletak kepada kekurangan ahli-ahli politik yang berkaliber. Jikalah yang diundi itu menjalankan tanggungjawab, maka adakah boleh dikira demokrasi itu berkesan ataupun ahli politik itu yang bagus?

    Tidak dinafikan jugak dengan lahirnya sistem demokrasi ini, lahirlah mentaliti 'gila parti politik', yang sibuk menghentam sana sini. Hinggakan parti politik lebih dijulang tinggi melangit. Bukan sekadar pengundi 21 tahun, yang veteran pun turut serta beremosi, tidak bertindak ikut rasional masing-masing.

    Oleh itu, ada cadangan menubuhkan sistem Shura di Malaysia. Aku tidak tahu banyak tentang sistem ini. Yang aku faham, ketuanya dipilih oleh satu golongan terpilih, dan bukannya oleh rakyat jelata. Memang, ia telah diamalkan oleh khalifa rashidun dulu, tapi bukankah ia juga ada kelemahan. Pada zaman khalifah ke 3 Uthman bin Affan, dia telah menjalankan nepotisme dan banyak tindakannya dipersoalkan. Salahkan siapa? Sistem Shura? Ahli-ahlinya kerana telah salah memilih pemimpin? Ataupun nak salahkan Uthman bin Affan sendiri?

    Dari sudut shiah pula, mereka langsung tidak mengiktiraf khalifah kerana anggapan mereka yang Saidina Ali jualah yang patut menjadi pemimpin selepas Nabi Muhammad. Dikatakan juga Abu Bakar ada personal problems dengan Ali, sebab itulah Ali hanya boleh jadi khalifah ke4.

    Resolusi memang susah dicapai, tetapi jika platform yang sedia ada hanyalah sistem demokrasi di Malaysia, kita perlu mengadaptasikan diri kepada sistem ini sebelum apa-apa perubahan boleh dicapai.

    Di sini saya sertakan satu soalan. Adakah kau menganggap sistem shura itu bakal berkesan? Takpa, kau boleh reply bila-bila masa. Aku tau kau sibuk.

    Good luck azzad. All the best. Salam.

    BalasPadam

Sila berfikir sebelum berkata.

Blog ini tidak menyokog konsep 'baling batu sorok tangan' atau dengan nama lain pengecut. Komen yang diberi tanpa nama(sekurang-kurangnya nama singkatan), tidak akan diluluskan.