Graviti isu
Ada satu bidang yang menjadi ‘taboo’ untuk dibincangkan secara terbuka, kerana ia antara isu yang sukar untuk dihuraikan oleh umat Islam. Ianya ialah sistem perundangan Islam.
Kalau ISA dilabelkan ‘draconian’ di Malaysia, di barat undang-undang Islam dilabelkan sebagai undang-undang barbarik. Hukuman memotong tangan, rejam antaranya,bunuh untuk bunuh bertentangan dengan munasabah minda tamadun manusia kini.
Namun satu perkara penting kita perlu sedar, undang-undang sedemikian pernah diterima pada zaman dahulu di tamadun lain.
Nilai yang dipegang
Satu perkara yang fundamental di dalam isu ini adalah nilai moral yang dipegang oleh manusia. Timbul persoalan adakah nilai moral itu sesuatu yang relatif? Kerana jika ia sesuatu yang relatif mengikut keadaan dan masa, maka ini menjadi batu penghalang utama dalam penerimaan undang-undang Islam. Kerana menjadi ciri utamanya sesuai sepanjang zaman.
Di zaman samurai Jepun dahulu kala, maruah menjadi nilai agung bagi mereka, sehinggakan ‘harakiri’(bunuh diri) demi menjaga maruah dianggap perbuatan yang mulia. Nilai malu mendapat tempat yang tinggi di dalam budaya Melayu, sehinggakan mereka sanggup ditindas dalam banyak perkara.
Maka di zaman ini yang berpegang teguh kepada nilai hak asasi manusia, undang-undang Islam pasti kelihatan barbarik. Zina dianggap jijik oleh Islam, tetapi satu kebiasaan di barat. Hatta pasti berlaku pertelingkahan dalam falsafah perundangan apabila nilai yang dipegang bertentangan.
Semangat Islam
Bagaimanapun pada pihak umat Islam juga terdapat kecelaruan kerana gagal memahami semangat Islam. Golongan literalist hanya mengikut ajaran setiap ayat al-Quran tanpa berfikir dengan meluas. Mereka tidak faham akan ‘semangat Islam’ yakni apa yang cuba dicapai di dalam setiap ajaran-Nya.
Dengan memahami semangat Islam, kita tahu mengapa Rasulullah saw melarang Saidina Ali ra berkahwin dua, menangguh-nangguhkan hukuman rejam seorang wanita penzina yang mengandung.
Elemen/unsur undang-undang Islam
Undang-undang perlu dilihat semula daripada pandangan atas. Mengapakah kita memerlukan undang-undang? Majoriti akan mengatakan bahawa ianya untuk menghukum pesalah.
Satu elemen asas dalam undang-undang Islam, namun semakin pudar dalam undang-undang konvensional adalah elemen pencegahan. Undang-undang bukan sekadar menghukum tetapi juga, malah lebih penting, sebagai pencegah kepada jenayah. Kita lebih mahu hidup dalam suasana yang tiada jenayah, di mana kita tidak berasa takut untuk keluar rumah, tidak risau tentang anak-anak tanpa pemerhatian. Bukan sekadar penjenayah dihukum.
Maka disebabkan itu hukuman hudud dan qisas mengenakan hukuman yang amat ‘kejam’ terhadap perbuatan-perbuatan yang dianggap musuh terhadap sistem sosial masyarakat. Kerana ia menimbulkan rasa gerun pada manusia supaya mengelak daripada melakukan jenayah. Di sini keberkesanan undang-undang dirasai tanpa perlu melaksanakannya. Cuba bandingkan dengan undang-undang negara kita terhadap penjualan VCD ciplak.
‘Di khalayak ramai’
Satu lagi ciri perundangan Islam adalah ianya dilaksanakan di khalayak ramai. Sekali lagi ini perbuatan yang tidak bertamadun. Mengapakah kita perlu memalukan pesalah sedemikian sekali?
Kita selalu melihat di pameran kereta antarabangsa, seorang wanita cantik berpakaian ketat dan seksi(saya suka) dipamerkan bersebelahan kereta yang cuba dikomersilkan. Mereka menggunakan konsep ‘conditioning’ Pavlov(spt eksperimen anjing dan air liur tu). Dalam klasifikasi ‘mind controlling’, ini terletak di bawah kategori ‘behavior control’. Di mana minda akan mengaitkan rasa ‘ghairah’ terhadap wanita tersebut dengan perasaan kita terhadap kereta tersebut.
Dengan menghukum di khalayak ramai, ianya mengaitkan perasaan gerun terhadap hukuman yang dilaksanakan dengan jenayah yang telah dilakukan pesalah di dalam minda pemerhati(conditioning). Mirror neurons juga mampu menghidupkan perasaan penyesalan yang dirasai pesalah apabila saksi melihatnya. Adakah ini mampu mengajar individu dan masyarakat supaya takut melakukan jenayah?
Sekali lagi, elemen pencegahan undang-undang Islam juga dapat dilihat pada waktu hukuman dilaksanakan.
‘Prerequisite’
Perlaksaan undang-undang Islam juga perlu diperhalusi dengan jelas sebelum kita boleh menilainya dengan betul. Begitu juga dengan apa-apa isu. Syarat-syarat yang diperkenakan sebelum hukuman boleh dilaksanakan, dengan rasional yang mudah menunjukkan bahawa ianya bukan sekadar menghukum dan menghukum. Sebaliknya ianya mempunyai hikmah yang tinggi.
Dengan menerap semangat Islam, memahami dengan terperinci undang-undang Islam, penggunaan akal yang rasional dan kritikal, ianya mampu membawa pemikir ke tahap logik baru, yakni seperti yang saya telah perjelaskan sebelum ini , ke ‘pesisir akal manusia’. Hanyalah jika kita berfikir.
Jadi selepas ini, jika ada insan bertanya berkenaan undang-undang Islam, jangan sekadar mengulangi kata ustaz-ustaz pondok, ini undang-undang Allah dan Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Gunakanlah akal kita untuk memperhalusi ajaran Islam. Banyak lagi yang akan kita nampak.
Kita gelakkan mereka yang berkata “Bukan semua ajaran Islam itu boleh difahami akal.” Padahal merekalah golongan yang malas berfikir.
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila berfikir sebelum berkata.
Blog ini tidak menyokog konsep 'baling batu sorok tangan' atau dengan nama lain pengecut. Komen yang diberi tanpa nama(sekurang-kurangnya nama singkatan), tidak akan diluluskan.