Assalamu’alaikum
Beberapa bulan yang lepas, suatu perkara yang kecil asalnya, diperbesarkan di media Malaysia, iaitu penghasilan satu klip video rap “negarakuku”, yang berlatarbelakangkan lagu Negaraku yang telah diubahsuai. Berbekalkan kata-kata benci dan “hina”, ianya menjadi satu pakej lengkap mengundang kontroversi.
Sebagai Negara yang berbilang agama, adalah menyakitkan hati apabila ada di antara kita yang masih tidak boleh menerima sebaliknya mengutuk amalan agama selain daripada agama kita. Di dalam kes ini, ianya melibatkan agama Islam. Alasan berdasarkan kreativiti dan konsep rap tidak sama sekali membenarkan seseorang menghina lagu patriotik Negara.
Namun, disebabkan ianya mendapat maklumbalas yang negatif pada pihak kerajaan, adalah rugi apabila tidak diberi perhatian akan kandungan lain iaitu antara luahan perasaan seseorang rakyat Malaysia yang berbangsa Cina. Antaranya adalah tersisih daripada peluang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, polis dan rasuah, batasan dalam ekonomi, tindasan oleh Dasar Ekonomi Baru(DEB) dll.
Dalam membincangkan isu DEB, sebagai rakyat Malaysia kita harus faham akan sejarahnya. Selepas peristiwa 13 Mei, DEB diperkenalkan di bawah pimpinan Allahyarhan Tun Abdul Razak(. Ianya ketika itu merupakan satu langkah yang radikal iaitu memperkenalkan pertumbuhan berdasarkan ekuiti dengan bermatlamatkan penguasaan 30% ekonomi oleh orang bumiputra. Haruslah diingat bahawa rancangan ini dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bumiputra dan bukan bumiputra pada ketika itu di atas kesedaran pentingnya kestabilan kuasa ekonomi di kalangan rakyat yang berbilang kaum bagi membawa keamanan kepada negara. DEB telah diletakkan sasaran kejayaan dan mengikut perancangan akan diimplementasikan selama 20 tahun.
Namun sehingga kini, 20 tahun sudah berlalu, dan sasaran masih tidak tercapai. Pemimpin negara wajib tahu dan faham bahawa jangkamasa yang diberikan mempunyai signifikannya. DEB adalah bukan untuk selama-lamanya, kerana ianya mengandungi unsur diskriminasi. Pada asalnya, DEB dirancang supaya dapat melonjakkan atau mempercepatkan pemilikan ekuiti bumiputra di dalam ekonomi Negara kerana kita tahu kebaikan daripada pencapaian sasaran ini mengatasi keburukan diskriminasi yang terpaksa dialami, dengan syarat ianya tidak boleh berpanjangan. Kita telah sampai kepada satu tahap di mana ketegangan kaum akibat diskriminasi ini telah mula meningkat dan melampaui kebaikan daripada polisi DEB apatah lagi nilai sasaran dan realiti masih jauh berbeza. Ini diburukkan lagi dengan pembudayaan rasuah di dalam melaksanakan polisi. Perancangan yang baik, tetapi perlaksanaan yang lemah.
Sudah tiba masa untuk kerajaan memikirkan cara baru untuk mencapai penguasaan ekuiti bumiputra. Kita telah tersalah langkah di dalam perlaksanaan dan amalan rasuah yang terpaksa dipikul tidak memudahkan kita untuk meneruskan perancangan lama. Orang bumiputra harus didedahkan dengan persaingan supaya menjadi lebih kompetitif dan mampu berdikari tanpa bantuan kerajaan. Lambat laun kita akan sedari bahawa ini adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan.
Cadangan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya diadakan medium untuk berdiskusi antara kaum berkenaan isu-isu sensitif adalah satu idea yang matang dan bernas. Ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan antara kaum. Ia juga membolehkan pihak yang merasa tertindas ketahui bahawa suara mereka didengar dan memberi peluang kepada kerajaan untuk menerangkan justifikasi polisi mereka. Untuk mengajar rakyat bersuara bebas tetapi dengan bertanggungjawab memerlukan kerajaan memberi ruang untuk mereka bersuara.
Pensyarah Psikologi, Miss Guba pernah berkata, “Why do we need negative emotions when we have positive emotions?”, “Because without negative emotions how do we know or appreciate positive emotions.”
Ianya boleh dianalogikan di dalam situasi kita. Janganlah kita tunggu negara porak poranda barulah kita mahu menghargai keamanan yang kita ada. Jika wujud golongan yang batu api di kalangan kita, janganlah kita mengipas-ngipaskannya. Janganlah kita bergaduh, marilah kita cari jalan penyelesaian bersama. InsyaAllah satu hari nanti kita semua rakyat Malaysia akan dapat melihat negara kita Malaysia bukan sebagai negaraku, bukan juga negarakuku, sebaliknya negarakita.
Reference:
Bakri Musa, 2007, Towards a competitive Malaysia.
28 Oktober 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila berfikir sebelum berkata.
Blog ini tidak menyokog konsep 'baling batu sorok tangan' atau dengan nama lain pengecut. Komen yang diberi tanpa nama(sekurang-kurangnya nama singkatan), tidak akan diluluskan.