08 Mac 2008

Apakah peranan wanita dalam membentuk masyarakat Islam?

Sebelum menjawab soalan di atas, wanita muslimah seharusnya memahami akan cabaran yang mereka hadapi pada masa ini kerana tidak pernah dalam sejarah ketamadunan Islam, seseorang muslimah harus bangun menghadapi cabaran sedemikian.

‘Cabaran’

Wanita Islam dinihari dilihat oleh masyarakat moden terutamanya golongan feminis sebagai mereka yang telah ditindas dan dizalimi oleh golongan lelaki, budaya dan agama mereka. Gambaran yang dijaja oleh media, wanita-wanita di Afghanistan dan Iraq yang berlitupan (hijab) seperti niqab dan burqa, cukup untuk mempengaruhi akal yang sihat dan rasional bahawa mereka ditindas. Wanita yang bagaimana sudi berpakaian sedemikian ?

Timbul persoalan di sini. Adakah mereka benar-benar dizalimi? Seorang ekstremis hanya akan menjawab bahawa ini adalah tuntutan Islam yang termaktub di dalam al-Quran. Semahu-mahunya kita ingin mempertahankan kod etika pakaian di dalam Islam, jangan sesekali kita menutup minda kita daripada menilai dengan rasional dan adil terhadap isu yang berkaitan.

Wanita dilarang menuntut ilmu di sekolah, pembunuhan mereka demi maruah (honor killing), mengahwinkan mereka demi wang oleh si bapa, penderaan mereka dll amat nyata bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara pertama yang harus diiktiraf “acknowledged” oleh umat Islam, adalah sebahagian wanita Islam di sesetengah tempat di muka bumi ini “memang” ditindas, dan yang paling hina adalah bahawa tindakan sedemikian dilakukan atas hujah-hujah al-Quran yang diputarbelitkan.

Penjualan anak untuk dikahwinkan adalah khianat terhadap tanggungjawab si bapa untuk mencarikan calon yang sekufu untuk anaknya. Penderaan isteri adalah khianat terhadap kebenaran yang diberikan untuk 'memukul' si isteri setelah dinasihati. Satu kecelakaan apabila “honour killing” dikaitkan dengan sekeping ayat al-Quran. Umat Islam tidak patut berdolak-dalik dan takut untuk menentang kesalahan yang berlaku dalam masyarakat mereka, yang berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.

Laungan feminism pada zaman kita, memerlukan wanita Islam itu sendiri menentang diskriminasi terhadap mereka dan pada masa yang sama bersuara memperbetulkan tanggapan yang salah Barat terhadap wanita Islam. Kerna lemahnya muslimah zaman kini, kita dapat lihat feminism dipelopori dan diterajui oleh mereka tidak miliki jati Islam dalam diri.

Lihat saja contoh seperti Sisters in Islam. Tolaklah tanggapan sebagaimanapun, tetapi hakikatnya merekalah yang telah membantu wanita Islam yang didiskriminasi. Janda-janda yang beranak, yang bekas suaminya tidak membayar nafkah ketika edah, nafkah untuk anak-anak mereka, siapakah yang bangun untuk mempertahan dan membantu mereka, kalau bukan golongan feminis ini. Di manakah golongan muslimah pada waktu runcing ini? Tiada seorangpun yang datang untuk membantu mereka. Jadi wajarkah kita mengutuk golongan feminis ini menyebarkan dakyah-dakyah mereka sedangkan muslimah kita berpuas hati dengan hanya menjaga suami dan anak di rumah.

Wanita Islam itu sendiri tidak memahami kedudukan mereka di sisi Islam. Apakah yang anda faham apabila dikatakan Islam melihat hubungan wanita dan lelaki lebih kepada ‘complementary’ daripada ‘equality’?

Dogma-dogma ‘judgemental’ yang wujud dalam masyarakat Islam juga harus dihapuskan. Masyarakat Islam harus berhenti menilai wanita hanya dengan pakaiannya semata-mata kerana ianya tidak adil dan tidak tepat. Kerana kita takut mereka yang baik hatinya akan semakin menjauhi Islam semata-mata kerna benci akan cara kita menegur mereka.

Kebiasaan kita untuk menyalahkan wanita dalam isu seperti peningkatan jenayah rogol, gejala maksiat dll harus diubah. Kenyataan seperti “Peningkatan gejala maksiat di kalangan generasi muda adalah disebabkan peningkatan bilangan ibu yang bekerja sehinggakan didikan anak-anak terabai” seharusnya diubah kepada “Negara menghadapi masalah gejala sosial di kalangan generasi muda disebabkan kehilangan peranan yang dimainkan oleh ibubapa yang kini menumpukan kepada keperluan material”.

Apa yang ingin dinyatakan adalah janganlah kita terlalu cepat menghukum wanita. Berikanlah mereka ruang untuk berfikir, membuat pilihan dan memperbaiki diri sendiri.

Lebih daripada itu, kini Islam dan wanitanya menghadapi serangan Islamophobia yang semakin menular. Penghentam-penghentam Islam ini sungguh licik. Mereka mendalami hujah-hujah Islam dan menjadikannya sebagai bahan untuk diperkotak-katikkan. Klip video “Submission”(part 1) (part 2) oleh Theo van Gogh yang mengundang kemarahan umat Islam adalah contoh dakyah kelas tinggi. Namun pembunuhannya oleh seorang muslim sendiri amat dikesali.

‘Peranan’

Ada dua perkara yang memerlukan komitmen yang tinggi daripada golongan muslimah.

Pertamanya adalah, wanita Islam perlu bersuara dan mengeluarkan pendapat terhadap isu-isu yang dihadapi. Mereka tidak boleh lagi melihat peranan mereka begitu sempit dalam masyarakat seperti sekarang. Merobak mentaliti mereka adalah perkara yang sukar.

Muslimah harus berani menolak diskriminasi dan penindasan terhadap mereka. Isu etika pemakaian wanita dalam Islam harus diperjelaskan oleh mereka sendiri supaya ianya tidak dilihat sebagai paksaan oleh lelaki, budaya atau agama. Peranan seorang ibu, seorang suri rumah dan seorang isteri yang dijunjung oleh Islam, tidak patut dibenarkan dilihat sebagai konservatif atau kolot.

Dalam usaha menjelaskan pendirian Islam di dalam isu-isu tersebut, kita harus faham bahawa dalil aqli adalah senjata utama selain dalil nakli untuk mematahkan serangan mereka. Kerana dalil nakli hanya boleh diterima oleh orang Islam yakni orang yang mempercayai al-Quran. Umat Islam yang sudah lama ditenggelami kegelapan, pasti menghadapi kesukaran dalam perkara ini. Jawapan paling menakjubkan yang pernah didengar oleh penulis tentang rasionalnya etika pemakaian wanita Islam, keluar dari mulut seorang bukan Islam. Jawapannya membuat penulis tergamam. Tidak malukah muslimah dalam hal ini?

Peranan ini jangan dihadkan daripada individu ke individu, sebaliknya dimanifestasikan pada peringkat persatuan, pertubuhan dan kerajaan, nasional dan global. Jangan kita benarkan golongan heretik dan sekular menguasai pentas pertubuhan bukan kerajaan(NGO).

Keduanya, pada pendapat peribadi penulis, imej wanita Islam harus berubah. Seperti kata Pak Lah, “Packaging is everything”. Penglibatan busana muslimah dalam industri fesyen seperti Islamic Fashion Festival(IFF) baru-baru ini adalah satu lonjakan yang diperlukan.

Fesyen wanita yang berlandaskan etika pemakaian Islam harus dibangunkan dan diperkembangkan. Penulis percaya bidang fesyen busana muslimah mampu mengubah imej penindas, kuno dan pelik di mata orang bukan Islam terhadap Islam dalam sekelip mata kerana percayalah bahwa wanita Islam adalah imej Islam. Ini juga selaras dengan naluri wanita yang ingin kelihatan cantik. Dengan itu wanita Islam mampu mengisi nalurinya dan pada masa yang sama memenuhi kriteria etika pemakaian Islam tanpa rasa tertekan.

Menjadi harapan pada masa hadapan, akan bertebaran brand designer berkonsepkan busana muslimah yang menjadi igauan peminat fesyen. Imej muslimah tidak lagi dilihat sebagai radikal sebaliknya satu cabang daripada bidang fesyen. Tetapi seperti biasa, sekarang ini industri busana muslimah diterajui oleh mereka yang kurang punyai jati diri Islam di peringkat antarabangsa.

Jadi kita berbalik semula kepada masalah mentaliti Islam dan Melayu yang selalu penulis jajakan di kalangan rakan-rakan. Jika wanita Islam mampu melepasi ‘mental barrier’ ini, insyaallah, Islam mampu bangkit semula.





Oleh:
Azzad bin Hamzah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila berfikir sebelum berkata.

Blog ini tidak menyokog konsep 'baling batu sorok tangan' atau dengan nama lain pengecut. Komen yang diberi tanpa nama(sekurang-kurangnya nama singkatan), tidak akan diluluskan.