19 Disember 2009

YANG MEMBUAT MANUSIA TERUS HIDUP

Menjalani kehidupan ini, pasti sesekali kita akan berdepan dengan persoalan hidup. Lagi-lagi di waktu kita berada di ‘bawah’. Tatkala itu, timbul persoalan, apa itu sebuah kehidupan, apa ada padanya?


Dari mana asal usul kita? Monyet atau Adam? Apa makna hidup kita? Untuk sengsara dan merana? Apa hala tuju hidup ini? Hanya sekadar putaran hidup dan mati? Atau ke syurga kalau wujudlah?

Adakah kita daripada golongan yang berfikir tentang perkara ini? Atau kita golongan yang ‘tunduk’pada indoktrinisasi agama, atau golongan agnostik, atau kita tidak ambil peduli langsung.

Adakah persoalan hidup ini persoalan falsafah atau persoalan saintifik? Kerana soalan falsafah terjawap dengan pengamatan pada manusia dan alam, manakala persoalan saintifik memerlukan bukti saintifik. Saya biar anda fikirkan sendiri.

Menyedihkan hanya sebahagian kecil daripada kita yang memikirkannya secara berhadapan. Anda mungkin fikir anda sebagai golongan berpegang pada agama, sudah tahu segala jawapannya. Maka tanya diri anda pada saat ini juga, apa yang membuktikan Tuhan itu wujud? Tulis pada sekeping kertas, dan lihat betapa ‘bodoh’nya anda.


Ramai daripada kita yang sebenarnya tidak menjawap PERSOALAN HIDUP sebaliknya mengelak daripada menjawap secara sedar atau tidak sedar. Kenapa kita mengelak?

Golongan agama apabila ditanya bertubi-tubi tidak dapat menjawap yang jelas kerana mereka tiada jawapan. Budaya berfikir adalah elemen yang semakin pupus dalam agama. Mempersoal mereka adalah suatu dosa. Semuanya adalah dogma, dogma dan dogma. Golongan ahli agama kini bukan terdiri daripada golongan cerdik pandai kesan daripada sekularisma. Jadi bila bertanya orang bodoh, dia tidak tahu jawapan, maka dia menggunakan nama agama untuk menundukkan pengikutnya. Maka pemimpin dan pengikutnya tidak terjawap persoalan ini.

Golongan ‘anti agama’pula, sudah terang lagi disuluh, tidak gemar berhadapan persoalan sedemikian. Kerana ia akan menarik mereka ke dunia realiti, kepada peraturan hidup, larangan itu dan ini. Ini akan ‘mengancam’ cara hidup mereka dan ‘sumber’keseronokoan mereka.


Sesungguhnya Tuhan telah menciptakan manusia diprogramkan untuk memikirkan tentang persoalan ini. Manusia akan pada satu ketika walau seronok mana pun hidupnya, akan merasai KEKOSONGAN HATI. Seperti perasaan sesuatu yang tidak lengkap dalam hidup, hati yang tidak tenteram, tercari-cari akan makna hidup. Orang putih kata midlife crisis atau perubatan kata kemurungan.

Anda fikir anda sudah memiliki ketenangan hidup? Saya cabar anda hidup tanpa hiburan(muzik, gitar, wayang, televisyen dan sbgnya), tanpa kawan, tanpa melakukan apa yang anda sukai dan kurang bercakap selama 3 hari. InsyaAllah anda akan ketahui sama ada hati anda kosong atau anda benar-benar telah menjumpai jawapan kepada persoalan hidup.


Jadi jika manusia masih tidak menjawap persoalan hidup, dan merasai kekosongan hati, maka mengapa mereka masih gagal mengenal atau mendekati Tuhan? Kerana semua ini memuncak ke arah tersebut.

Kehidupan manusia boleh dirumuskan bersandarkan euphoria atau kegembiraan. Kita semua perlukan sumber kegembiraan, kebahagiaan dan keseronokan di dalam hidup masing-masing. Tanpanya, kita akan melihat hidup ini sebagai kesengsaraan. Ianya tidak salah, tetapi menjadi masalah apabila ianya mengalih perhatian kita daripada persoalan hidup.

Keseronokan duniawilah yang membutakan diri kita daripada mengenal Tuhan. Di mana kekosongan hati telah disumbat dengan euphoria ecstacy, meneguk arak, menghisap ganja dan pergi clubbing. Sesetengah pula mencari euphoria berzina, bertukar-tukar pasangan dan bercinta. Sesetengah lagi menyibukkan diri dengan kerja senantiasa, mengejar nama, kecantikan dan harta kerana ini memberi euphoria gah di mata manusia lain.


Daripada mereka yang mendengar muzik kuat-kuat senantiasa hingga yang menonton rancangan televisyen 24 jam sehari, semua euphoria ini untuk menutup kekosongan hati/jiwa mereka yang meronta-ronta. Jadi tatkala sumber-sumber euphoria mereka ini diputuskan daripada mereka, mereka akan mula merasa gelisah, tak sedap duduk, bosan dan ketagih. Kerna sumber ketenangan sementara inilah yang mengubat kekosongan hati mereka selama ini.

Jadi pilihlah, sama ada mahu menyorok di sebalik iPod shuffle anda atau BERDEPAN DAN MENJAWAB persoalan hidup. Itu pilihan anda.

1 ulasan:

  1. sempat jugak ko tulis blog..ingat dh berhenti sbb sibuk

    BalasPadam

Sila berfikir sebelum berkata.

Blog ini tidak menyokog konsep 'baling batu sorok tangan' atau dengan nama lain pengecut. Komen yang diberi tanpa nama(sekurang-kurangnya nama singkatan), tidak akan diluluskan.