Salam,
Manusia ciptaan unggul
Evolusi mendeskripsi manusia sebagai makhluk unggul, hasil daripada segala proses percambahan dan ‘pemilihan semulajadi’(natural selection). Keunggulan manusia adalah pada akalnya, di mana dalam masa 100 tahun generasi kita, kita dapat lihat dunia telah berubah daripada enjin stim kepada kecanggihan telekomunikasi.
Ahli falsafah Nietzhe pula melontarkan idea, bahawa pada satu tahap manusia boleh meninggalkan kebergantungannya kepada Tuhan(yang sebenarnya diada-adakan oleh minda manusia), untuk mencapai tahap manusia super(superhuman). Ini menggambarkan superioriti manusia di kalangan makhluk semulajadi.
Kehebatan akal
Kalau hendak dibandingkan dengan haiwan, iaitu makhluk yang lebih inferior, ketiadaan akal atau intelek tinggi, menjadikan mereka tidak mampu mempersoal, merungkai dan mencari jawapan terhadap fenomena di sekeliling mereka. Malah haiwan ‘cerdik’ seperti chimpanzee, ikan lumba-lumba dan anjing hanya mampu mempelajari helah mudah dan perkiraan asas.
Namun manusia dengan intelek tingginya memiliki keupayaan meneroka dunia falsafah, sains dan teknologi, politik, ekonomi dan sosial dan sebagainya.
Jika sedemikian, bagaimana pula jika saya katakan wujud makhluk yang berintelek agung, yang mengatasi akal manusia. Apakah yang mereka mampu lakukan yang di luar kemampuan kita? Adakah kita akan masih lagi bongkak dengan keupayaan akal kita? Mengapa kita menganggap kita paling superior?
Had akal manusia
Setiap manusia berasal daripada generasi sebelumnya. Begitu juga flora dan fauna. Alam semesta(yang merangkumi semua) pula, berdasarkan kajian saintis, tercipta daripada proses ‘big bang’, satu letupan yang menghasilkan kepulan-kepulan awan galaksi, galaksi bima sakti, sistem suria dan juga bumi kita.
Jangan kita berhenti setakat di situ. Bagaimana boleh berlakunya letupan ini? Mana mungkin ia secara spontan berlaku?
Creationist berkata ianya proses ciptaan Tuhan. “Penggerak yang tidak bergerak” kata Plato. Adakah kita akan berhenti setakat di sini?
Jika Tuhan itu wujud, dari mana pula asal-Nya? Apakah zat-Nya? Logikkah terdapat zat yang senantiasa ada, tiada penciptaan dan tiada tamat? Ahli agama jumud akan menegah kita daripada memikirkannya.
Pasti minda pembaca mula bercelaru, tertekan dan tidak selesa. Kerana kita telah sampai ke ‘tebing akal manusia’. Di sinilah kita boleh perasan terdapatnya had pada akal manusia. Di mana, perkara menjadi tidak logik, namun pada masa yang sama tiada jawapan atau penjelasan. Maka isu menjadi tergantung atau dipersoalkan.
Tebing akal manusia
Manusia bersenjatakan akal telah dilantik menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Cukupkah dengan akal?
Di samping ketamadunan yang telah dibina manusia, terdapat pelbagai masalah umum yang sukar untuk ditangani. Isu seperti kesaksamaan ekonomi, peningkatan jenayah, keruntuhan institusi sosial masyarakat, walaupun cuba ditangani dengan percambahan pemikiran dan ideologi, masih belum dapat dileraikan dengan berkesan.
Mungkinkah manusia telah sampai ke tebing akalnya dalam mencari penyelesaian? Jika lembu tidak reti mengira kerana kebodohannya, adakah masalah dunia tiada penyelesaian kerana bodohnya manusia?
Pesisir akal manusia
Daripada pemerhatian dan renungan, terdapat perkara yang tidak tergapai oleh akal manusia – namun jika diberi panduan, manusia mampu melihat logiknya. Ini penulis panggil sebagai berada di ‘pesisir akal manusia’.
Di mana kita boleh keluar daripada tebing(had) akal manusia, dan nampak sesuatu yang tidak logik, menjadi logik. Ianya tidak memerlukan manusia berintelek Einstein untuk mengecapi ‘pesisir akal manusia’. Apabila kita mengecapinya, ia membuat kita menjerit “Eureka”(spt Archimedes).
Panduan tersebut tidak lain, tidak bukan, adalah daripada kitab-kitab Allah. Bermula dengan semangat inkuiri dan bersifat sederhana kritikal, inilah yang penulis dapati setelah meneliti sebahagian daripada ajaran Islam.
InsyaAllah, di dalam beberapa artikel seterusnya, penulis akan cuba merungkai firman-firman yang tidak logik, barbarik atau tidak bertamadun, secara ilmiah dan rasional. Dengan harapan, kita semua akan meninggalkan budaya taqlid(mengikut secara membuta).
Supaya ahli agama berasa malu kerana mereka malas berfikir.
Salam
effort gak ko nih....ada masa ke nak buat post lawa mcm nih?
BalasPadam